Ibu lepas bersalin asyik rasa serba tak kena. Semua benda nampak salah, asyik sedih. Kadang-kadang nak marah tak tentu pasal. Para suami, jika ada tanda-tanda ini pada isteri anda segeralah dapatkan bantuan. Itu mungkin simptom yang menunjukkan isteri anda sedang mengalami postpartum depression.
Melalui segmen Tanya Pakar, Pa&Ma mendapatkan Dr Umi Adzlin yang merupakan seorang Pakar Psikiatri untuk menjelaskan tentang topik ini. Menurutnya, kemurungan selepas melahirkan anak adalah gangguan emosi. Mama yang mengalami masalah ini biasanya akan berada dalam kesedihan yang berpanjangan, melebihi tempoh dua minggu.
Tak ada semangat, rasa nak MATI!
Perasaan sedih ini pula bukannya biasa-biasa kerana ia boleh sehingga ke tahap mama merasa tidak bersemangat, tiada motivasi untuk bangun atau melakukan kerja-kerja mudah dan untuk membuat keputusan juga menjadi sukar. Bahkan mama akan menangis sepanjang hari sehingga waktu makan dan tidur juga terganggu.
Lebih teruk lagi, ada juga mama yang akan mengatakan lebih baik mereka mati sahaja! Tahukah para suami, perasaan sedih begini TIDAK NORMAL. Biasanya perasaan sedih seseorang tidak akan berpanjangan sehingga dua minggu tanpa sebab.
Waktu untuk seseorang itu menghadapi postpartum depression?
Selepas dua minggu berterusan, ketika itulah doktor atau pakar akan mempertimbangkan untuk mendiagnos seseorang mama itu sekiranya mereka menghidap postpartum depression. Tempoh kemurungan ini boleh berlanjutan sehingga usia anak satu ke dua tahun dan ia berkaitan dengan penjagaan anak dan bukannya isu lain.
Siapa yang berisiko?
Semua wanita berisiko untuk mengalaminya. Bukan sahaja anak pertama, bahkan mama yang sudah beberapa kali bersalin pun boleh kemurungan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, baik dari golongan profesional atau suri rumah.
Ia bukan perkara main-main kerana 1 dari 10 wanita mengalami kemurungan selepas melahirkan bayi (sama ada mereka memilih untuk menderita dalam senyap atau mendapatkan rawatan).
Baca Juga:
Bangga Dengan Kerja Ayah! Kanak-Kanak Ni Gayakan Uniform Ayah Untuk Tema Kerjaya
“Anak Tu Kan Rezeki Dari Allah.” 14 Tahun Berkahwin, Beto Kusyairy Bahagia Bersama Isteri
‘Kantoi’ Tengah Seronok Makan Tepi Fridge, Menangis Bila Butter Kena Rampas. Lucu Sungguh!
Kemurungan boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya;
Sebagai contoh, mama mahukan kelahiran secara normal tetapi terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.
Sebagai contoh, bayi mengalami jaundis berpanjangan atau anak ada masalah kesihatan yang lain.
Sekiranya suami sudah nampak isteri mengalami perubahan tingkah laku dan tidak sama seperti biasa atau mungkin lebih emosi (risaukan perkara yang tak rasional, tidak yakin, terlebih sensitif dan sebagainya), itu mungkin simptom mereka mengalami kemurungan selepas bersalin.
Antara tanda lain adalah apabila mama tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa. Mereka juga mungkin mengalami kesukaran untuk menguruskan diri sendiri apatah lagi anak-anak. Sekiranya ini berlaku, usah bertangguh! Segeralah dapatkan bantuan dan penilaian dari doktor atau pakar.
Suami boleh membawa isteri berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan mahupun pakar di hospital. Biasanya rawatan awal berbentuk penilaian untuk melihat tahap kemurungan si isteri sama ada ia ringan, sederhana atau berat.
Sekiranya berada di tahap ringan atau sederhana, rawatan berbentuk terapi psikologi akan diberikan. Namun jika sudah memasuki kemurungan tahap berat, pakar akan mengadakan sesi terapi psikologi dan memberi ubat tertentu untuk membantu.
Suami mainkan peranan penting!
Suami merupakan support system terbesar buat isteri yang baharu melahirkan bayi. Berilah sokongan kepada isteri kerana ia adalah rawatan terbaik buat wanita yang mengalami kemurungan. Sesi terapi psikologi dengan pakar mungkin mengambil masa satu ke dua jam (mungkin 1-2 sesi setiap minggu) tetapi keberadaan suami di sisi isteri adalah setiap masa. Oleh itu, peranan suami sangat besar.
Berikan sokongan praktikal kepada isteri yang berbentuk bantuan seperti ambilkan air, tolong jagakan anak dan sebagainya sudah cukup untuk membuatkan isteri merasa dihargai. Selain itu, sokongan emosi juga sangat penting. Jadilah pendengar yang baik dan penuh empati supaya isteri terasa dirinya didengari.
Suami juga boleh mendapat risiko kemurungan selepas isteri bersalin! Sekurang-kurangnya 1 daripada 20 orang lelaki mengalaminya selepas isteri mereka melahirkan bayi. Ia mungkin berlaku kerana si suami terlalu risaukan isteri dan anak mereka.
Tekanan untuk menyediakan yang terbaik juga boleh menjadi pencetus kepada masalah kemurungan ini. Oleh itu, suami isteri perlu saling membantu antara satu sama lain bagi memudahkan segala urusan selepas mendapat cahaya mata tersayang.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)