Perkembangan setiap anak kecil mungkin berbeza-beza, tapi jika ingin mengasah kemahiran motor halus anak, beberapa aktiviti yang akan menyeronokkan si kecil akan mengalihkan perhatian anak dari gajet.
Malah, tak perlu tunggu anak usia enam tahun untuk asah motor halusnya, takut nanti jejas pembelajarannya di tadika. Ini kerana kemahiran motor halus ini penting untuk anak-anak belajar menulis, zip baju, guna gunting dan sebagainya yang melibatkan pergerakaan jari.
Penguasaan skil motor halus amat penting untuk si kecil untuk menguasai pelbagai kemahiran sebelum ke sekolah. Mama dan papa boleh lakukan pelbagai 10 aktiviti ini di rumah untuk membantu mereka.
Penguasaan kemahiran motor halus amat mustahak untuk melakukan melibatkan penggunaan halus otot kecil yang mengawal tangan, jari dan ibu jari. Dengan perkembangan kemahiran ini, si manja dapat menyelesaikan tugas-tugas penting seperti menulis, memotong menggunakan gunting, menyuap makanan sendiri, membutangkan pakaian sendiri dan zip.
Mama dan papa boleh melakukan aktiviti rangsangan yang disarankan ini untuk membantu anak menguasainya. Lebih awal dilakukan maka lebih baik.
1.BERMAIN PASIR
Pasir sama ada pasir kinetik atau pasir biasa merangsang jari-jemari dan tapak tangan si kecil. Sediakan alatan yang lain seperti penceduk, trak kecil untuk mengangkut pasir dan acuan. Selain itu, isikan pasir ke dalam dulang dan biarkan si manja melakar di atasnya. Anda juga boleh membawa si kecil ke pantai dan ajaknya untuk membina istana pasir. Tentu dia seronok!
2.DOH MAINAN
Doh mainan memang sesuai untuk tujuan sensori motor halus. Dia bebas menguli, memicit, mencubit doh pelbagai warna. Ini adalah latihan yang baik untuk jari dan ibu jarinya. Berikan penggelek dan acuan untuk menjadikan permainan lebih menarik.
3.MENAMPAL
Menampal kertas mahu pun pelekat boleh menggalakkan si manja menggunakan tangannya. Anda boleh ajaknya membuat kolaj pelbagai bentuk seperti buah epal, payung dan sebagainya.
4.MENGKATEGORIKAN OBJEK KECIL
Objek kecil seperti butang, pompom, klip kertas dan tutup botol pelbagai warna boleh dimanfaatkan sebagai permainan si kecil. Anda boleh menyuruh si kecil mengasingkannya mengikut warna atau bentuk yang berlainan.
5.BUSY BOARD
Bermain dengan busy board ialah aktiviti yang bagus untuk si kecil. Ia menggalakkan penguasaan si manja untuk membutangkan baju, membuka tombol, membuka ikatan, memasang zip dan sebagainya.
6.MENYUSUN MENGIKUT BENTUK
Ambil sekeping kadbod dan lukis dua garisan iaitu zigzag dan berombak. Sediakan juga objek seperti kacang atau butang. Minta si manja untuk menyusun objek mengikut garisan-garisan ini. Penggunaan hujung jari untuk mengambil objek melenturkan otot jari dan tangan mereka.
7.MENJAHIT
Sediakan kadbod mengikut bentuk yang anda sukai dan tebuk lubang pada sekelilingnya. Berikan anak benang kasar atau tali dan minta mereka masukkan tali ke dalam lubang pada sekeliling kadbod. Ketika tangan memasukkan tali ke dalam lubang, mereka telah menggunakan jari dan serta koordinasi mata-tangan.
8.RANTAI PASTA
Sediakan semangkuk pasta penne dan seutas benang kasar yang bersaiz besar. Ajak anak untuk memasukkan benang ke dalam lubang pasta sehingga membentuk rantaian panjang. Anda boleh mewarnakan penne menggunakan pen penanda untuk efek yang lebih cantik dan menarik.
9.MENGGUNAKAN PENYEPIT
Anda boleh menyediakan objek seperti pompom, bebola kecil atau pasta penne berwarna dan biarkan si manja mengasingkannya mengikut warna menggunakan penyepit. Selain itu, boleh juga ajak si manja bermain air menggunakan syringe. Ia boleh menggalakkan penggunaan jari dan tangan.
10.MELAKAR MENGIKUT GARISAN
Melakar atau tracing adalah aktiviti yang baik untuk motor halus. Ia boleh dilakukan dengan membiarkan si manja melakar dengan meniru garisan yang telah anda buat pada kertas. Buku yang mempunyai latihan menyambungkan titik juga adalah saranan yang baik.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Jangan lupa untuk saksikan power talk istimewa #Nifightagainstcancer yang akan berbincang tentang topik kanser pada 18 November 2020 ini!