Kena Diabetes Waktu Hamil. Sekali Minum ‘Lepas’, Kali Kedua Ambil Air Gula ‘Terkantoi’!

Share

Bukanlah sesuatu yang asing apabila seseorang wanita mendapat kencing manis ketika hamil. Sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, ayuh ikuti penerangan dari Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan. Menurutnya, kencing manis ketika hamil dipanggil sebagai Gestional Diabetes.

Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan insulin – sejenis hormon yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung. Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.

14 November – Hari Diabetes Sedunia.

Sempena Hari Diabetes Sedunia, saya nak bercerita sikit pasal diabetes (kencing manis) ketika hamil.

Diabetes yang bermula apabila anda disahkan mengandung dikenali sebagai Gestational Diabetes. Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan insulin – sejenis hormon yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung. Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.

Pada kebiasaannya, keadaan Gestational Diabetes terjadi pada pertengahan ataupun pada lewat usia kandungan.

Keadaan Gestational Diabetes ini kerap berlaku. Kadar kebiasaannya, dalam 100 orang wanita mengandung, 18 orang akan menghidapi penyakit ini. Dalam erti kata lain, 18 % wanita mengandung akan ‘dihantui’ dengan masalah ini. Amat biasa bukan?

Apakah risiko-risiko bagi saya untuk menghidapi diabetes ketika hamil?

Anda berisiko tinggi menghidapi diabetes ketika mengandung, jika anda mempunyai salah satu daripada faktor-faktor yang tertera di bawah:

Indeks Jisim Badan (BMI) adalah 30 ataupun lebih
Sejarah kelahiran bayi besar, melebihi 4 kg ataupun lebih
Sejarah kandungan yang mempunyai Diabetes ketika mengandung
Ibu bapa, adik-beradik yang juga mempunyai Diabetes

Bagaimana saya tahu jika saya mempunyai kencing manis dalam kehamilan?

Jika anda mempunyai salah satu faktor seperti yang tertera, anda akan menjalani ujian toleransi glukosa (GTT) ketika mengandung. Ini adalah sejenis ujian mudah yang dijalankan pada awal peringkat kandungan dan akan diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu.

Ujian toleransi glukosa GTT memerlukan anda untuk berpuasa semalaman iaitu tidak makan atau minum, kecuali air kosong/ air mineral sahaja.

Pada awal pagi nya, sebelum anda menikmati sarapan, ujian darah akan dijalankan terlebih dahulu. Kemudian anda akan diminta untuk menghabiskan larutan gula yang berperisa Oren atau Cola.

Kemudian, ujian darah akan diulang sekali lagi selepas 2 jam anda menikmati larutan gula ini. Mudah bukan?

Artikel Menarik: [Batuk Dah Makin Teruk, Nak Makan Ubat Tak Berani. Boleh Ke Makan Madu?]

Jika anda menghidapi kencing manis pada kandungan sebelumnya, anda akan diminta membuat ujian toleransi glukosa GTT ini pada lebih awal kandungan untuk pengesanan awal Diabetes ketika mengandung, justeru dapat mengawal atur paras gula di dalam darah. Kawal atur gula di dalam darah pada peringkat awal mengandung adalah teramat penting dalam tempoh pembentukan organ-organ penting bayi anda pada ketika ini dan mengurangkan komplikasi Diabetes pada bayi dan juga ibu. Jika keputusan ujian toleransi glukosa GTT normal, ujian ini perlu diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu kandungan.

Apakah kesan kencing manis pada kehamilan saya?

Kebanyakan ibu yang menghidapi diabetes ketika mengandung ini tidak mempunyai masalah sepanjang proses kehamilan dan rata-rata melahirkan bayi yang sihat dan comel, tetapi terdapat segelintir kes diabetes ini membawa masalah yang serius pada ibu dan juga bayi, lebih-lebih lagi jika diabetis tidak dikesan awal dan dirawat dengan optimum. Kebolehan untuk mengesan awal diabetes ketika mengandung dan mengawal atur paras gula dengan optimum dapat mengurangkan banyak risiko serta komplikasi yang berkaitan.

Amatlah penting ibu-ibu sekalian memastikan paras glukosa di dalam darah terkawal. Jika paras gula di dalam darah ibu kekal tinggi dan tidak terkawal, bayi akan memberikan respon kepada paras gula yang tinggi ini dengan menghasilkan lebih banyak insulin, di mana bayi anda akan membesar secara berlebihan di dalam rahim, seterusnya anda akan diminta untuk bersalin lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin (induction), juga terdapat risiko berakhir dengan pembedahan caesaerean akibat daripada bayi besar ataupun kegagalan proses induksi (induction). Jika anda bersalin biasa pula, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran normal dan kecacatan saraf mungkin berlaku.

Risiko kematian bayi di dalam rahim (in utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula di dalam darah tidak dikawal.

Bayi anda yang menghasilkan lebihan hormon insulin tadi turut akan mengalami paras gula rendah pula selepas kelahiran. Maka, bayi anda perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi untuk pemerhatian oleh pakar paediatrik.

Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai kencing manis juga mempunyai risiko menghidap kencing manis dan masalah kegemukan bila ianya meningkat dewasa kelak.

Artikel Menarik: [Kalau Boleh Hari-Hari Nak Scan Baby. Tak Perlu Selalu. Dia Pun Tak Nak Tunjuk Muka!]

Maka, ibu-ibu perlu mengawal paras gula di dalam darah dalam proses kehamilan dan proses kelahiran untuk mengurangkan risiko dan komplikasi pada ibu dan juga bayi anda.

Bagaimanakah diabetes ketika hamil dirawat?

Jika anda menghidapi Diabetes ketika mengandung, anda perlukan rawatan susulan oleh pakar perbidanan dan sakit puan, pakar perubatan/ endokrinologi, pegawai zat makanan dan jururawat diabetes. Anda akan diminta supaya membuat rawatan susulan lebih kerap untuk pemeriksaan.

Yang penting ketika menghidapi diabetes adalah memastikan tabiat permakanan yang sihat dan senaman. Kebiasaanya diabetes ketika mengandung dapat dikawal dengan kawalan diet atau permakanan sahaja.

Walau bagaimanapun, daripada 5 ibu yang menghidapi diabetes, seorang ibu memerlukan rawatan insulin untuk mengawal paras gula di dalam darah. Jika anda memerlukan rawatan insulin, jururawat diabetes akan menerangkan kepada anda bagaimana anda boleh melakukannya.

Ibu-ibu tidak perlu risau, seharunya kesempatan ini diambil untuk berbincang dengan pegawai dietitik mengenai pemilihan makanan yang berkhasiat untuk anda dan bayi anda, dalam masa yang sama dapat mengawal paras gula pada tahap yang memuaskan.

Bagaimanakan proses kelahiran saya nanti? Bilakah saya akan diminta untuk bersalin?

Ibu yang menghidapi Diabetes ketika mengandung, akan diminta bersalin pada usia kandungan 38 hingga 40 minggu, mengikut keadaan Diabetes dan kawalan paras gula dalam darah. Cara kelahiran juga akan dibincangkan bersama anda dan pasangan, mengenai kelebihan bersalin biasa, induced labour ataupun pembedahan caesaerean mengikut keadaan Diabetes ibu dan juga anggaran saiz bayi.

Apakah yang perlu saya lakukan selepas bersalin?

Selepas tempoh pantang 6 minggu, temujanji akan diberikan kepada anda untuk mengulang semula ujian toleransi glukosa GTT, untuk memastikan anda bebas daripada Diabetes selepas kelahiran. Jika ujian ini tidak normal, anda akan dirujuk kepada pakar perubatan/endokrinologi untuk rawatan susulan diabetes.

Wanita yang menghidapi diabetes ketika mengandung, mempunyai kebarangkalian 1 di dalam 3 menghidapi Diabetes Jenis 2 dalam tempoh 5 tahun berikutnya. Justeru itu, anda dinasihatkan untuk menjalani Ujian Glukosa berpuasa (Fasting Blood Glucose) setahun sekali.

Bagaimana jika saya bercadang untuk hamil sekali lagi selepas ini?

Sebelum bercadang untuk mengandung lagi, pastikan berat badan anda sesuai dengan tinggi anda, mempunyai Indeks Jisim Badan BMI yang ideal, mengamalkan permakanan dan gaya hidup yang sihat, untuk mengurangkan risiko anda menghidapi sekali lagi diabetes ketika mengandung.

Jika bercadang untuk mengandung lagi, anda boleh memulakan pengambilan asid folik tambahan 5mg sehari sekali sebelum menghentikan perancangan keluarga dan pada 3 bulan pertama kehamilan. Anda memerlukan preskripsi doktor untuk ubat ini.

Artikel Menarik: [Bukan Saja-Saja Minta Picit Kaki. Waktu Hamil, Tumit Sakit Macam Terpijak Jarum!]

Kecacatan kelahiran adalah lebih tinggi dalam kehamilan diabetik berbanding dengan kehamilan biasa. Mengambil asid folik tambahan akan mencegah bayi anda daripada kecacatan kelahiran seperti spina bifida yang disebabkan oleh tiub saraf yang tidak tertutup dengan baik.

Cuba pastikan tahap gula dalam darah anda dikawal dengan baik sebelum anda hamil dan anda akan berada dalam keadaan yang lebih baik untuk mengawalnya sepanjang kehamilan anda. Ini akan mengurangkan risiko masalah kesihatan bertambah bagi anda dan bayi anda.

Kehamilan anda mungkin berisiko tinggi, tetapi ini tidak bermakna anda akan mengalami masalah, terutamanya jika anda terus mengawal tahap gula dalam darah anda pada tahap normal sebaik mungkin di bawah pengawasan doktor dan petugas kesihatan anda.

Published by
Emy Haznida Hazairul Sham