Tidak ramai diantara kita yang begitu memahami anak-anak istimewa dan berkeperluan khas, namun Al Khauthar dengan kerjasama Majalah Mingguan Wanita dan Majalah Nona baru-baru ini menganjurkan forum khas bagi mendekati anak-anak istimewa ini.
Forum yang berlangsung pada Ahad lalu di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur dengan seramai 100 orang peserta berjaya direalisasikan dengan jayanya.
Forum Anak Syurga ini dibahagikan kepada tiga bahagian, Power Up Mental & Fizikal di mana ia dimulakan dengan panel pertama yang terdiri dari pelakon, Zarina Zainuddin, Dr Norzila Zakaria serta pengasas Al Kauthar Eduqids (AKE), Datin Dr Nor Fadilah Alias.
Sesi kedua pula Kapsul Sihat & Cergas didominasikan oleh Dr. Malar Santhi, pempengaruh Norhaidda Hassan dan tidak ketinggalan perkongsian penyanyi, Fynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah pada sesi ketiga forum dengan fokus Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga.
Ketiga-tiga sesi ini merangkumi kupasan dan perkogsian pakar serta sesi soal jawab, juga tidak ketinggalan pengalaman daripada ibu bapa yang berjaya serta aktiviti interaktif yang dapat membantu peserta mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dalam kehidupan seharian.
Topik demi topik dikupas dengan baik dan santai agar segala ilmu dapat dikongsikan kepada ibubapa dengan baik sekaligus membantu anak-anak syurga ini menjalani kehidupan yang lebih baik.
Pada sebelah malamnya pula berlangsung ‘Malam Gala Ibu Anugerah Inspirasi Mingguan Wanita dan Nona’ yang turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan anakanda baginda YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut mencemar duli berangkat menyerikan majlis.