Setiap kelahiran bayi kebanyakannya melibatkan koyakkan pada bahagian perineum akibat regangan kulit, episiotomi dan penggunaan alat bantu semasa proses kelahiran berlaku. Ikuti info lanjut dari Dr Ivan Lee Kick Kit dari KPJ Seremban Specialist Hospital.
Koyakan ini lazimnya terjadi secara semula jadi semasa proses meneran atau insisi episiotomi yang dilakukan oleh bidan atau doktor untuk memudahkan proses bayi dapat dikeluarkan semasa proses kelahiran.
Jenis-jenis koyakan
Menurut Dr Ivan, jenis dan tahap koyakan semasa proses kelahiran boleh diklasifikasikan mengikut tempat ia terjadi dan ukuran kedalamannya. Ia melibatkan bahagian vulva, faraj (vagina), serviks dan rahim. Lazimnya, koyakan semasa bersalin terjadi pada faraj dan vulva sahaja.
Empat tahap koyakan perineum semasa kelahiran
- Darjah pertama iaitu satu koyakan kecil pada kulit yang lazimnya pulih sendiri dan tidak memerlukan jahitan.
- Darjah kedua iaitu koyakan yang lebih mendalam yang melibatkan otot-otot dan kulit dan biasanya memerlukan jahitan.
- Darjah ketiga iaitu koyakan dalam yang melibatkan kulit dan otot-otot perineum. Koyakan itu juga melibatkan otot-otot yang mengelilingi anus (otot sfinkter) dan memerlukan jahitan.
- Darjah keempat iaitu koyakan parah yang melampaui otot-otot dubur. Koyakan mungkin melepasi dubur dan memerlukan jahitan.
Episiotomi
Episiotomi ialah guntingan yang dilakukan oleh doktor pada kulit dan otot antara vagina dan anus. Tujuannya untuk melebarkan jalan kelahiran bayi. Biasanya doktor akan memberikan bius lokal sebelum episiotomi. Namun, dalam keadaan kecemasan episotomi dilakukan tanpa bius. Episiotomi dilakukan untuk melebarkan laluan kelahiran. Doktor akan mempertimbangkan beberapa faktor sebelum memutuskan episiotomi iaitu;
- Episiotomi dilakukan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kelahiran bayi untuk mengelakkan bayi lemas atau fetal distress.
- Menjangkakan bahu bayi akan tersangkut.
- Kes kelahiran yang memerlukan bantuan instrumen (bagi kelahiran normal) iaitu seperti ventouse dan
- Boleh mengelakkan ibu bersalin mengalami kekoyakan perineum yang teruk, terutamanya apabila saiz bayi yang besar.
Risiko luka yang teruk
Kira-kira hanya satu daripada 100 orang ibu yang bersalin secara vagina mengalami koyakan darjah ketiga atau keempat. Selalunya, kes berikut cenderung mengakibatkan koyakan parah.
- Kelahiran bayi pertama,
- Bayi dalam posisi belakang-menghadap-belakang.
- Berat badan bayi anda melebihi 4kg.
- Kelahiran dengan bantuan forseps.
Penjagaan luka pada vagina selepas bersalin
Ibu disarankan untuk mengamalkan beberapa langkah untuk menjaga luka dan menggalakkan penyembuhan.
- Tukar tuala wanita setiap dua hingga empat jam atau apabila pad sudah basah sepenuhnya oleh darah nifas (lokia).
- Mencuci bersih kawasan perineum setiap kali selepas membuang air kecil atau besar.
- Sentiasa memastikan kawasan tersebut kering dan bersih.
- Menggunakan larutan antiseptik yang dibekalkan pada tempat jahitan dua hingga tiga kali sehari.
- Mengamalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat menggalakkan proses penyembuhan luka.
Ada kalanya, ibu merasa kurang selesa dengan luka sehingga mengganggu pergerakan. Antara tip yang boleh dilakukan untuk melegakan ketidakselesaan ialah:
- Memakai pakaian longgar seperti kain batik atau skirt.
- Meletakkan pek ais pada tempat jahitan untuk meredakanbengkak dan kesakitan terutamanya semasa 24 jam pertama.
- Ubat analgesia seperti Ponstan atau Ibuprofen boleh mengurangkan kesakitan.
- Cuba elakkan sembelit dengan memakan makanan serat tinggi seperti sayur-sayuran dan minum air secukupnya.
- Boleh mengambil pelembut najis jika perlu.
Kebanyakan ibu-ibu mendapati koyakan dan episiotomi akan pulih tanpa masalah. Kesan bengkak dan lebam biasanya pulih selepas beberapa hari dan jahitan selalunya akan pulih dalam tiga hingga empat minggu selepas kelahiran. Selepas dua bulan,
Dapatkan rawatan segera sekiranya luka berbau, menyakitkan dan tidak sembuh kerana ia kemungkinan berlakunya infeksi. Tanda-tanda lain yang tidak patut diambil mudah ialah seperti kegagalan untuk menahan kencing atau air besar dan tidak berupaya menahan kentut.
Sitz bath ialah rendaman bahagian genital di dalam larutan air suam yang dicampurkan dengan garam. Sitz bath boleh membantu proses penyembuhan luka dengan mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan pada tempat jahitan. Ia juga membantu membersihkan kawasan perineum dan menggalakkan proses penyembuhan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI