Memang ada bayi yang suka menyusu pada sebelah payudara sahaja. Cuma mama tentulah rasa pelik, kenapa satu payudara sahaja yang jadi favourite dia? Bila diberi payudara yang bukan favourite, mula menangis tanda protes.
Kebanyakan ibu tentu tertanya-tanya normalkah bayi yang suka menghisap sebelah sahaja payudarah hinggakan kuantiti susu bila diperah juga tidak seimbang di mana payudara bukan favourite tidak semeriah yang sebelah.
Menurut Rita Rahayu Omar, Pakar Laktasi & IBCLC, memang ada sesetengah bayi yang akan menggemari sebelah payu dara sahaja apabila menyusu. Ia adalah situasi penyusuan yang agak normal.
Amalan penyusuan sebegini berkemungkinan akan menyebabkan payu dara ibu akan besar sebelah (lopsided).
Namun, ia dapat diatasi setelah bayi bercerai susu kelak. Gemar pada sebelah payu dara merupakan masalah penyusuan yang biasa terutamanya di kalangan bayi baru lahir. Lazimnya, bayi akan menolak, meragam atau menyusu sekejap sahaja apabila disusukan di payu dara yang tidak digemarinya.
7 SEBAB BAYI SUKA PADA SEBELAH PAYUDARA
Menurut Rita, keadaan bayi yang suka menyusu pada sebelah payudara ini kebanyakannya adalah disebabkan oleh 7 sebab ini.
1.Kadang kala trauma kelahiran akan menyebabkan bayi mengalami kesukaran untuk menyusu di sebelah payu dara akibat ketidakselesaan atau kesakitan pada kawasan tertentu di kepalanya (biasanya melibatkan alat bantuan kelahiran – vakum dan forsep).
2.Payu dara ibu bengkak sebelah. Payu dara yang bengkak menyebabkan bayi perlu berusaha keras untuk cuba melekap dengan baik. Kesan kepayahan yang dialami, dia cenderung untuk menggemari payu dara yang mudah melekap.
3.Jika ibu mengalami mastitis di sebelah payu dara, bayi mungkin tidak mahu menyusu menerusinya kerana rasa yang berbeza (lebih masin disebabkan peningkatan kandungan sodium). Malah, rasa susu di sebelah payu dara yang jarang dikosongkan juga boleh menjadi lebih masin.
4.Keadaan fizikal payudara itu sendiri boleh menyebabkan bayi suka menyusu pada sebelah payudara. Perbezaan areola/puting agak biasa berlaku iaitu sama ada puting tenggelam atau leper. Keadaan ini menyebabkan bayi lebih mudah dan gemar melekap pada payu dara yang berkeadaan normal.
5.Perbezaan aliran susu juga menjadi faktor bayi lebih gemar menyusu pada sebelah sahaja. Bayi lebih suka menyusu daripada payu dara yang mempunyai aliran susu yang lebih baik. Ada kalanya refleks pancutan susu terlalu perlahan atau terlalu laju atau bekalan susu berkurangan juga boleh menjadi masalah.
6.Antara sedar atau tidak, ibu mungkin lebih kerap menawarkan sebelah payu dara. Biasanya perkara ini berlaku pada waktu malam apabila ibu tanpa sedar kerana terlalu letih atau mengantuk. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan bekalan susu di kedua-dua belah payu dara. Bekalan susu di payu dara yang jarang diberikan akan berkurangan!
7.Pembedahan atau kecederaan. Jika salah satu payu dara pernah cedera atau dibedah, ia mungkin mempengaruhi bekalan atau aliran susu pada payu dara tersebut.
Walau pun begitu, bayi masih boleh mendapat semua zat pemakanan yang diperlukannya selagi dia disusukan secara eksklusif (bagi bayi enam bulan ke bawah) tanpa had biar pun dia hanya menyusu pada sebelah payu dara sahaja. Lebih banyak bayi minum daripada sebelah payu dara, lebih banyak payu dara berkenaan akan menghasilkan susu penuh khasiat yang diperlukannya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI