Asid folik yang juga dikenali sebagai folat, ialah vitamin B-kompleks – vitamin B9. Vitamin ini amat penting untuk tubuh mencipta sel-sel baru, membina DNA baru serta membaiki DNA yang telah rosak.
Folat juga diketahui dan dikenali akan peranannya dalam mencegah kecacatan kelahiran, kelahiran pramatang dan banyak lagi masalah kesihatan kelahiran yang lain.
Pun begitu, fakta yang ramai individu tidak tahu adalah asid folik juga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kesuburan.
National Institute of Health menyarankan pengambilan kira-kira 400 mikrogram folat pada setiap hari untuk kebanyakan individu dewasa. Walau bagaimanapun, jika anda sedang dalam fasa mencuba untuk hamil, anda mungkin memerlukan dua kali ganda daripada jumlah ini, atau juga mungkin lebih.
Asid folik untuk apa? Folat mempunyai banyak fungsi dalam tubuh badan manusia antaranya adalah dalam membantu pertumbuhan tisu dan sel berfungsi, bekerja dengan vitamin B12 dan vitamin C untuk membantu tubuh memecah, mengguna dan membuat protein baru, membantu membentuk sel darah merah serta membantu menghasilkan DNA.
Ads
Folat juga dapat membantu mencegah pelbagai masalah kesihatan seperti anemia, diarhea dan ulser, begitu juga kondisi yang kronik seperti strok, kanser, penyakit jantung dan gangguan neurologi.
Disebabkan asid folik boleh membantu mencegah kecacatan kelahiran dan kelahiran pramatang, vitamin ini juga diketahui akan kepentingannya dalam perkembangan janin.
Ia juga penting bersama-sama dengan nutrien penting lain bagi membantu seseorang individu untuk kekal sihat.
Folat boleh didapati melalui makanan seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan sitrus dan banyak lagi makanan yang lain.
Ads
Namun begitu, disebabkan sukar untuk mendapat cukup folat melalui makanan, ramai wanita yang sedang merancang untuk hamil perlu mendapatkan vitamin ini melalui suplemen vitamin ini.
Pengambilan jumlah asid folik yang betul sebelum dan semasa hamil dapat membantu mencegah kecacatan tiub neural, termasuklah spina bifida. Ini tujuan asid folik untuk wanita.
Ads
Malahan, pengambilan dos tinggi folat sebelum kehamilan dan semasa trimester pertama juga dapat membantu mengurangkan risiko anda mengalami keguguran. Ini menjawab persoalan asid folik untuk apa.
Makanan tinggi asid folik
Paling utama, asid folik untuk wanita boleh didapati dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam serta buah-buahan sitrus seperti oren.
Selain itu, U.S. Food and Drug Administration juga telah menyatakan dan menyarankan anda untuk mengambil makanan yang mempunyai kandungan folat yang tinggi seperti berikut:
* Bijirin
* Kekacang
* Roti
* Nasi
* Pasta
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila ibu bersalin, mereka akan kehilangan banyak darah serta tenaganya. Tak kisahlah bersalin normal atau melalui pembedahan, letihnya sama saja. Badan penat, minda dan emosi juga mudah terusik. Ibu selepas bersalin memerlukan rehat yang cukup serta mengamalkan pemakanan yang berkhasiat untuk mengembalikan tenaganya.
Dalam perkongsiannya, Dr Zubaidi Hj Ahmad menasihatkan semua ibu lepas bersalin supaya tidak memandang ringan terhadap kesihatan diri sendiri terutama jika mengalami beberapa gejala selepas bersalin yang dianggap bahaya dan boleh mengancam nyawa ibu!
GEJALA SELEPAS BERSALIN YANG TAK BOLEH DIPANDANG RINGAN
TANDA PALING BAHAYA!
#Kehilangan banyak darah dengan tiba-tiba atau berterusan, termasuk darah beku
#Sakit kepala yang teruk atau berpanjangan, mungkin kesan sampingan suntikan epidural, terutamanya duduk atau berdiri.
#Tekanan darah tinggi bersama sakit kepala, penglihatan kabur atau berasa loya.
#Nafas pendek seperti selepas mendaki bukit. Dibimbangi mengalami masalah darah beku tersekat pada salah satu saluran darah di paru-paru (embolisme pulmonari).
#Sakit dada sama ada akibat jangkitan kuman pada paru-paru atau ketegangan otot akibat meneran semasa bersalin. Ia juga mungkin tanda embolisme pulmonari.
#Sakit pada bahagian betis, mungkin akibat trombosis vena dalam (deep vein thrombosis – DVT). Ia adalah pembekuan darah pada vena dalam otot dan boleh membawa maut. Terutama jika ada tanda merah di pelipat, dan rasa panas di bahagian tersebut.
#Berkelakuan pelik seperti mudah rasa gelisah. Kekacauan pemikiran, terlalu mudah rasa gelisah, kekeliruan dan delusi boleh jadi permulaan sejenis keadaan kesihatan yang jarang berlaku, dikenali sebagai psikosis pospartum.
#Demam yang sangat panas (38 darjah C), sama ada disertai dengan menggigil atau tidak. Ia adalah satu tanda jangkitan kuman terutama pada ruang antara vagina dah rektum (perineum), luka pembedahan caesar, saluran kencing atau di uterus (rahim) anda.
#Tidak dapat membuang air kecil dalam enam jam pertama selepas bersalin akibat kesan suntikan epidural.
#Lendiran faraj yang berbau busuk, akibat jangkitan pada rahim atau faraj.
#Buasir yang teruk atau bengkak pada lubang dubur selepas bersalin.
#Rasa letih, tidak bersemangat, tidak menguruskan diri dan tidak berminat untuk berjumpa orang selepas beberapa hari bersalin. Ia tanda kemurungan selepas bersalin (meroyan).
#Sakit yang teruk pada perineum, mungkin bersama air kencing yang memedihkan dan/atau berbau busuk, mungkin akibat jangkitan pada jahitan atau jangkitan saluran kencing.
Tidak dapat mengawal buang air besar. Najis keluar dengan sendiri dan tidak dapat dikawal dengan baik. Mungkin disebabkan oleh koyakan atau darah beku (haematoma) pada lubang dubur.
#Sembelit selepas beberapa hari melahirkan anak.
Kebiasaannya orang Melayu akan melakukan beberapa pantang dan pengambilan herba untuk mengembalikan tenaga dan mempercepatkan kesembuhan.
Jangan ambil mudah sekiranya anda merasakan simptom-simptom ini. Untuk orang sekeliling, jangan dibiarkan si ibu bersendiri dan terasa diabaikan. Bersalin sememangnya memenatkan, si ibu sangat memerlukan perhatian dan rehat yang banyak. Semoga dengan perkongsian Dr Zubaidi ini dapat membantu anda melalui fasa berpantang dengan baik.
Untuk menyedapkan rasa masakan, para ibu akan menambah garam ketika memasak (kecuali makanan untuk bayi). Garam digunakan bertujuan untuk membangkitkan rasa masakan. Walaupun begitu, ada segelintir ibu yang was-was waktu paling sesuai untuk meletakkan garam di dalam masakan.
Memetik perkongsian Dr Fatimah Salim via grup Makmal Makanan (MaMa) di Facebook, garam boleh dicampurkan ke dalam masakan mengikut keselesaan orang memasak. Ia tidak memudaratkan kesihatan, kecuali diambil secara berlebihan.
Merujuk kepada ss di bawah, penambahan garam ke dalam masakan adalah TERPULANG ikut suka dan tujuan masing-masing. Ianya TIDAK akan berubah menjadi racun (kecuali lah sengaja diambil secara berlebihan).
Cuma ada beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai kesan garam dalam masakan.
• Garam terdiri daripada kristal natrium klorida (NaCl). Dan rasa masin garam adalah disebabkan interaksi ion Na+ dengan reseptor masin pada lidah. Maksudnya garam apa pun yang anda guna, kemasinan adalah bergantung kepada jumlah ion natrium dalamnya.
• Meletakkan garam pada bila-bila masa dalam masakan tidak akan mengubah kimianya. Ion natrium adalah sangat stabil dalam keadaannya. Kalaulah ianya berubah sifat, boleh meletup kuali anda.
• Meletakkan garam pada awal masakan akan memberikan rasa masin yang sebati kerana keterlarutan dan cukup serapan dalam komponen masakan.
• Meletakkan garam selepas (makanan tanpa air) akan buat rasa makanan lebih unik disebabkan sensasi rasa kristal garam yang larut dalam air liur.
• Meletakkan garam awal dalam masakan berprotein (terutamanya daging lembu) akan membuatkan isinya menjadi keras kerana garam berupaya mengeluarkan air (aka jus) daripada isi daging. Namun apabila dimasak lebih lama, daging akan empuk semula dan akan memberikan rasa kuah yang lebih sebati.
• Memerap daging dengan garam lebih daripada 40 minit akan membuatkan daging menjadi lebih empuk apabila dimasak. Ini kerana apabila diberikan masa yang cukup, garam membantu dalam melemahkan ikatan dalam protein daging.
• Untuk memanggang daging tanpa perapan, letakkan garam hanya apabila daging hendak dimasak terus saja. Perapan kurang daripada 40 minit akan menyebabkan isi daging menjadi keras (seperti kes di atas).
Semoga dengan penerangan dari Dr Fatimah ini memberi penjelasan kepada kita tentang waktu yang paling sesuai untuk memasukkan garam ke dalam masakan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hari ini, bilangan wanita yang mengalami PCOS semakin ramai. Kesedaran PCOS atau ovari polisistik semakin meluas dan banyak kempen atau program yang diadakan bagi memberi lebih banyak pendedahan tentang hal ini. September merupakan Bulan Kesedaran PCOS, oleh itu marilah sama-sama kita belajar sesuatu mengenai PCOS.
Melalui perkongsian di laman Facebook, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak yang merupakan Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi menjelaskan bahawa PCOS adalah keadaan yang boleh menganggu kesuburan wanita, hormon dan penampilan seseorang wanita. PCOS mempunyai kesan jangka masa panjang kepada kesihatan. Dalam setiap 100 wanita 2 hingga 26 wanita akan mengalami masalah ini.
Apakah ovari polisistik ni?
Ovari polisistik adalah ovari yang lebih besar dari ovari-ovari yang normal dan mempunyai 2 kali ganda folikel ruang kosong dalam ovari yang berisi air selepas ovari menetaskan telur dalam setiap ovulasi).
Maka, dengan mempunyai ovari polisistik tak bermakna anda mengalami PCOS. Tetapi wanita yang telah didiagnos dengan PCOS mempunyai ovari polisistik.
Apakah gejala-gejala PCOS?
Haid menjadi tak teratur atau tiada langsung
Pertumbuhan bulu lebih banyak di muka dan badan (hirsuitism)
Kepala botak
Berat badan menjadi berlebihan – berat badan naik dengan cepat dan susah nak diturunkan
Kulit berminyak dan senang naik jerawat
Sukar untuk hamil
Kemurungan dan masalah psikologi
Gejala ini berbeza antara satu pesakit dengan yang lain. Ada yang mengalami gejala yang sedikit, walaubagaimanapun ada yang mengalami gejala yang melampau.
Apakah sebenarnya punca PCOS?
Tidak diketahui, tapi ianya diwarisi. Jika mak, makcik atau adik beradik mempunyai PCOS, kemungkinan anda mendapat PCOS pun meningkat.
Perlu diketahui gejala yang timbul akibat PCOS sebenarnya berpunca dari ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Hormon testosteron (hormon lelaki) dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit oleh ovari semua wanita. Wanita yang menghidap PCOS mempunyai paras hormon testosteron yang lebih tinggi dari biasa dan menyebabkan seseorang wanita itu ‘menyerupai’ lelaki
Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab mengawal atur paras gula dalam darah. Bagi wanita yang menghidap PCOS, insulin dalam badan menghadapi kerintangan dan tidak dapat berfungsi seperti biasa. Hasilnya paras gula dalam darah meningkat.
Untuk mengatasi masalah ini, badan secara automatik akan menghasilkan lebih banyak insulin. Insulin yang banyak ini menjadi punca kepada masalah kegemukkan, haid tak teratur, masalah kesuburan dan paras hormon lelaki (testosteron) yang tinggi.
Bagaimanakah PCOS dikenalpasti?
Wanita yang menghidap PCOS mempunyai gejala yang datang dan pergi, lebih-lebih lagi jika berat badan mereka bertambah dan berkurang. Keadaan ini menyukarkan doktor membuat diagnosis dan mungkin mengambil masa yang sedikit lama untuk mengenalpasti PCOS.
Walau bagaimanapun, diagnosis PCOS dikenalpasti bila anda mengalami mana-mana 2 simptom di bawah :
Haid tak teratur, atau tiada langsung
Pertumbuhan bulu di muka dan badan yang berlebihan atau ujian darah hormon menunjukkan paras testosteron lebih dari biasa
Pemeriksaan ultrasound menunjukkan ovari polisistik
Apa kesan PCOS kepada kesihatan dalam jangka masa panjang ?
Kerintangan Insulin / Diabetes
Jika paras gula darah tidak berada dalam lingkungan yang normal, keadaan ini boleh menyebabkan diabetes. 1 atau 2 dari 10 wanita yang menghidap PCOS akan menghidap kencing manis juga nanti . Diabetes yang tidak dirawat akan menyebabkan kesan buruk untuk jangka masa yang panjang. Jika anda penghidap PCOS, kemungkinan anda mendapat kencing manis meningkat sekiranya :
Umur lebih 40 tahun
Sejarah keluarga mengidap kencing manis
Menghidap kencing manis ketika hamil
BMI melebihi 30
Tekanan darah tinggi
Wanita yang menghidap PCOS akan mengalami tekanan darah tinggi yang mana disebabkan oleh kerintangan insulin dan berat badan berlebihan untuk mereka yang menghidap PCOS. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh menyebabkan sakit jantung, masalah buah pinggang dan strok.
Kanser
Jika anda didatangi haid kurang dari 3 kali setahun, dinding rahim akan jadi tebal lebih dari biasa dan boleh menyebabkan kanser rahim pada sebilangan kecil wanita.
Ada banyak cara untuk melindungi dinding rahim menggunakan hormon progesterone. Doktor akan berbincang dengan anda sama ada menggunakan pil hormon selama 5 hari berturut–turut untuk 3 atau 4 bulan, mengamalkan pil perancangan keluarga atau menggunakan alat dalam rahim (Mirena) . Cara-cara ini bergantung kepada hasrat pesakit sama ada mahu mengandung lagi atau tidak.
PCOS TIDAK meningkatkan risiko wanita mendapat kanser payu dara atau kanser ovari.
Kemurungan dan perubahan mood
Simptom PCOS boleh menyebabkan seseorang wanita kemurungan memikirkan perubahan yang terjadi pada diri dan berasa rendah diri
Apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko jangka panjang ?
Mengamalkan gaya hidup yang sihat
▪ Makan makanan yg seimbang
▪ Bersenam secara berkala ( 30 minit setiap sesi sekurang kurangnya 3 kali seminggu )
Dapatkan berat badan atau BMI yang ideal
Pemeriksaan doktor berkala untuk saringan kencing manis, darah tinggi, kanser Rahim atau masalah kemurungan
PCOS boleh sembuh?
PCOS tiada penawar dan tidak boleh sembuh. Rawatan perubatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan simptom-simptom PCOS di samping mencegah komplikasi yang boleh timbul akibat PCOS. Rawatan yang sangat berkesan adalah dengan mengurangkan berat badan dan bersenam dan mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat, bukan bergantung kepada ubat-ubatan semata-mata.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!