KUALA LUMPUR 05 DISEMBER 2018. Masalah kejang kaki dalam kalangan wanita hamil. NSTP/EMAIL

Kaki bengkak semasa mengandung kerap berlaku ke atas ibu hamil. Ia adalah perkara normal yang disebabkan oleh perubahan hormon yang mendadak semasa mengandung.

Masalah bengkak kaki menyebabkan ramai ibu hamil berasa tidak selesa dan menyukarkan pergerakan harian mereka.

Bengkak kaki akan bermula dari buku lali, betis dan menular naik ke paras paha. Bagaimanapun jika bengkak ini berlarutan dan turut melibatkan seluruh tubuh badan maka ia perlu dirujuk kepada doktor kerana bimbang disebabkan penyakit lain.

Bagaimana terjadi kaki bengkak?

Menurut Dr Mardiana Kipli, Pakar Obstetrik & Ginekologi seperti dikongsi dalam The Malaysian Medical Gazzete  situasi ini kebiasaannya terjadi selepas usia kandungan mencecah 20 minggu.

Waktu ini, janin yang membesar akan menekan salur ‘inferior vena cava’ (salur darah untuk membawa darah dari seluruh badan kembali ke jantung).

Ini menyebabkan perjalanan darah kurang lancar serta berkumpul pada kedua-dua belah kaki.

Perkara ini mengakibatkan perubahan tekanan di dalam salur pembuluh darah menyebabkan cecair badan akan tertapis keluar daripada salur darah dan berkumpul di celah-celah tisu badan.

Ads

Oleh itu, kedua-dua belah kaki akan mula membengkak dan selalunya ianya tidak menyebabkan kesakitan. Semakin banyak air tertapis keluar dari saluran darah, semakin besarlah bengkak pada kaki.

Tips kurangkan bengkak kedua-dua belah kaki

Kenapa Kaki Bengkak Semasa Mengandung? Ini Penjelasan Dari Doktor!

  1. Minum air yang mencukupi. Kebanyakan pesakit takut untuk minum air kerana beranggapan air yang banyak akan menyebabkan kaki lebih membengkak. Badan kita akan mengalami dehidrasi yang teruk kerana air di dalam salur darah sudahpun keluar. Dehidrasi dalam saluran darah akan menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan pembekuan darah senang terjadi. Hal ini akan mengundang kepada masalah lain seperti deep vein thrombosis.
  2. Meninggikan kaki semasa baring. Letakkan bantal di bawah kaki supaya aras kaki menjadi lebih tinggi dari pada paras jantung. Tarikan graviti boleh mengurangkan pengumpulan air pada kaki. Amalkan pada waktu malam.
  3. Baring mengiring di sebelah kiri badan. Dengan mengamalkan posisi ini, janin tidak akan menekan salur inferior vena cava dan pengaliran darah ke jantung akan lebih lancar.
  4. Aktif bergerak. Anggapan bahawa kaki akan lebih membengkak jika banyak bergerak adalah tidak benar. Pergerakan aktif adalah lebih baik untuk ibu hamil kerana pengaliran darah akan lebih lancar. Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan pembentukan darah beku pada salur darah kaki.
  5. Compression stockings. Stokin ini tidak sama seperti stokin harian yang biasa kita guna. Stokin ini direka khas untuk membantu melancarkan pengaliran darah pada kaki. Ia mempunyai keregangan tersendiri dan perlu diukur dengan tepat daripada aras paha hingga ke tapak kaki. Setiap bahagian stokin ini mempunyai tekanan dan keregangan yang berlainan. Compression stocking ini digalakkan penggunaannya pada waktu malam semasa tidur untuk disesuaikan dengan pengaliran darah menjadi perlahan semasa baring.
  6. Pakai kasut yang selesa. Sila gunakan kasut yang longgar dan bertapak rata untuk mengelakkan tekanan pada kaki yang boleh menyebabkan kesakitan.
  7. Merendam kaki. Setakat ini, tidak banyak bukti menyokong bahawa amalan merendam kaki boleh mengurangkan bengkak pada kaki. Namun begitu, kebanyakan pesakit berasa lebih selesa apabila kaki mereka direndam di dalam air sejuk. Amalan ini juga boleh mengurangkan lenguh pada tapak kaki.

Kenapa Kaki Bengkak Semasa Mengandung? Ini Penjelasan Dari Doktor!

Adakah bengkak kaki ini boleh disebabkan oleh penyakit?

Ya. Sekiranya bengkak ini semakin teruk sehingga ke paras pinggang, muka, di celah-celah jari dan bahagian kelamin, ini mungkin sesuatu yang abnormal. Hal ini perlu dipantau dengan lebih serius.

Ads

Apa yang membimbangkan, perkara ini boleh disebabkan oleh penyakit ‘pre-eclampsia’ atau tekanan darah tinggi semasa mengandung yang menyebabkan protein dikumuh keluar melalui air kencing.

Hal ini perlu diperiksa dengan teliti oleh klinik-klinik kesihatan untuk memastikan tekanan darah anda normal.

Sekiranya simptom seperti sakit kepala, pedih di hulu hati, mata kabur dan muntah yang teruk berlaku, sila dapatkan perhatian doktor dengan segera.

Menarik: Moga Jadi Anak Soleh, Puteri Aishah Kongsi Nama Anak, Makin Cantik Dalam Pantang

Ads

Stress Buat Wanita Susah Nak Hamil, Bakal Ibu Kena Tenang-Tenang Saja/

“Baby Alhamdulillah Sihat” Leeyana Rahman Lega Nak Masuk Trimester Kedua, Idam Dapat Anak Lelaki/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!

Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI