Kontraksi di bilik bersalin amat menyakitkan hingga menyebabkan mama tidak dapat mengawal diri. Suami lah yang membantu memberikan urutan dan kata-kata semangat. Sekurang-kurangnya dapatlah mama meluahkan dan berkongsi kesakitan yang dialami. Apa lagi peranan papa yang boleh dilakukan untuk mama? Jom kita ikuti tip penglibatan papa menjelang waktu bersalin.
Menjadi papa dan mama memang menguja, lebih-lebih lagi semasa proses. Tidak dinafikan banyak peranan papa di bilik bersalin yang boleh membantu mama melancarkan proses kelahiran. Papa tidak hanya diperlukan untuk memotong tali pusat, penglibatan dalam proses kelahiran akan memberikan impak yang positif kepada mama dari segi mental dan fizikal.
Urutan
Berikan urutan kepada mama. Urutan boleh menyebabkan pelepasan hormon endorfin yang menjadi pelega sakit kontraksi yang sedang dialami. Ia juga mampu melegakan kesakitan dan mengurangkan kebimbangan mama di peringkat pertama kelahiran. Urutlah pada bahagian bahu untuk membantu mama melegakan bahu dan bernafas secara teratur.
Kebanyakan wanita akan merasai kontraksi kuat pada bahagian belakang. Maka urutan pada belakang juga amat membantu. Selain itu, urut kaki dari buku lali ke jari kaki, atau membuat lingkaran dengan ibu jari di seluruh tapak kaki. Urutan pada kaki juga membantu memanaskan kaki yang sejuk. Urutan tangan melibatkan pergelangan dan tapak tangan pula boleh menjadi sangat menenangkan.
Teknik pernafasan
Ingatkan mama untuk mempraktikkan apa yang anda berdua pelajari semasa kelas antenatal iaitu teknik pernafasan yang betul supaya kelahiran mudah dan lancar. Teknik pernafasan yang betul juga boleh mengurangkan kesakitan.
Aromaterapi
Jika boleh, anda boleh memasang minyak pati aromaterapi yang membantu menenangkan mama yang bakal melahirkan. Sebagai contoh, lavender dan ylang ylang amat terkenal dengan sifat-sifat yang menenangkan.
Makan dan minum
Kebanyakan hospital rakan bayi membenarkan mama mengambil minuman semasa di bilik bersalin (bagi kelahiran berisiko rendah sahaja). Papa boleh membantu mama minum air sedikit demi sedikit. Tindakan ini tentunya boleh melegakan kesakitan yang sedang dialami.
Membantu
Kebanyakan papa tidak tahu tugas di bilik bersalin. Tidak dinafikan ramai yang terkedu terutamanya bagi yang kali pertama. Jadi, sediakan kelengkapan pakaian bayi dari beg hospital yang anda bawa. Sekurang-kurangnya ada sumbangan yang anda berikan semasa isteri sedang bergelut dengan kesakitan!
Semangat
Waktu menunggu tahap pembukaan serviks dan kontraksi yang dialami semakin hebat. Kata-kata semangat daripada papa tentu akan menyebabkan mama lebih bermotivasi. Bagi Muslim, boleh berzikir dan membaca ayat-ayat Al-Quran untuk menenangkan mama. Berikan tangan untuk mama genggam. Begitu juga semasa meneran, dorong mama untuk meneran sehabis baik supaya si kecil mudah dilahirkan. Jika boleh, pangku mama di katil semasa meneran jika dibenarkan pihak hospital.
Bagi Muslim, papa perlu bersedia untuk mengazankan dan mengiqamatkan si kecil sebaik sahaja lahir. Lakukan pembacaan dan buat catatan sekiranya ia merupakan kali pertama. Bimbang ketika cemas dan gugup di bilik bersalin, segala yang ada di dalam ingatan hilang begitu sahaja.