Ramai ibu ayah mengakui sukar untuk berhentikan anak minum susu dalam botol susu walaupun sudah berumur lebih 2 tahun. Ada yang masih lagi minum dalam botol susu walaupun sudah pergi ke tadika!
Mungkin ramai ibu-ibu yang menghadapi dilema anak enggan minum susu dalam cawan dan masih bergantung pada botol susu. Kadangkala akibat ‘malas’ nak layan amukan si anak dan risau anak menolak minum susu jika diberi dalam cawan maka ibu biarkan sahaja tabiat tersebut. Alasannya yang penting anak tak buat ragam!
Bolehkah begitu, apa kesannya pada perkembangan anak?
Tabiat minum susu dalam botol wajar dihentikan ketika kanak-kanak berusia antara satu tahun dan selewat-lewatnya dua tahun. Selepas kanak-kanak berhenti menyusu, perkenalkan kepadanya cara minum susu menggunakan ‘sippy cup’.
Bekas minuman berbentuk gelas yang bertutup ini boleh menggantikan cara minum di dalam botol susu. Penutup di permukaan atas dengan muncung menggantikan puting untuk kanak-kanak menyedut susu atau air dari dalam bekas.
Kalau anda masih teragak-agak atau membiarkan sahaja anak terus melekat dengan botol susu, lebih baik baca dulu sebab-sebab pentingnya mengajar anak minum susu dalam cawan.
1. Menggunakan cawan sedut ini akan melatih kanak-kanak minum air dengan betul apabila menggunakan cawan atau gelas sebenar. Ibu bapa digalakkan mengajar anak menggunakan sippy cup paling awal ketika si kecil berusia sembilan bulan.
2. Semakin awal melatih kanak-kanak menggunakan cawan penyedut maka semakin cepat mereka belajar minum susu menggunakan cawan atau gelas. Cawan ini direka khas untuk kanak-kanak supaya dapat meneguk air dengan betul.
3. Muncung penyedut yang kecil menggelakkan kanak-kanak daripada tersedak ketika minum. Kanak-kanak yang masih kecil boleh menggunakan cawan penyedut yang bertangkai untuk memudahkan mereka memegang cawan.
4. Biasanya ibu atau ayah mudah berubah hati apabila melihat si kecil menangis semasa proses menukar botol susu kepada cawan penyedut. Peranan ibu bapa penting untuk mendidik anak mengubah tabiat menggunakan botol susu.
5. Anak kecil biasanya menguji ibu bapa dengan menangis atau merengek apabila diberi minum susu dalam gelas atau cawan. Sikap ibu bapa yang mudah mengalah menyebabkan kanak-kanak masih terus menggunakan botol susu. Keadaan ini berlarutan dengan sikap manja dan terbawa-bawa hingga ke tadika.
6. Sekiranya masalah tingkah laku ini berterusan hingga ke taska dan tadika ia akan menimbulkan masalah tingkah laku kanak-kanak yang sentiasa ingin diberi perhatian seolah-olah dirinya masih kecil.
7. Anak juga berkemungkinan mudah hilang fokus dan suka bermain di dalam kelas selain tidak faham apa yang cikgu ajar.
Nampak remeh bila bercakap isu anak minum susu dalam botol tetapi rupanya ada kesan terhadap perkembangan si manja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bermain dengan si manja sebenarnya jauh lebih besar manfaatnya daripada yang kita sangka. Pada usia satu tahun, setiap sentuhan, warna, bunyi dan pergerakan mampu membantu mengasah kemahiran motor, komunikasi, keyakinan diri termasuklah kemahiran fizikal mereka. Inilah masa terbaik untuk ibu ayah meluangkan masa berkualiti sambil mengajar anak mengenali dunia sekeliling.
Sebagai ibu bapa, tentu kita mahukan yang terbaik untuk perkembangan anak. Selain ingin melihat mereka membesar menjadi insan hebat, kita juga berusaha mencari aktiviti yang boleh merangsang minda dan kemahiran mereka seawal usia bayi lagi. Walaupun bayi kecil banyak tidur, masih banyak aktiviti ringkas yang boleh dilakukan untuk merangsang deria mereka mengikut peringkat umur.
Masuk sahaja usia setahun, dunia anak semakin berkembang. Ada yang sudah mula merangkak, berdiri, malah sudah boleh berjalan. Pada fasa inilah ibu ayah disarankan menawarkan aktiviti yang merangsang deria, kekuatan otot, kreativiti dan daya fikir mereka. Pilihan aktiviti anak 1 tahun pada usia ini memberi kesan besar kepada pembangunan awal mereka.
Baru-baru ini, ramai ibu ayah di Threads berkongsi aktiviti menarik untuk anak usia setahun. Semuanya mudah, selamat dan boleh dilakukan di rumah:
Walaupun aktiviti ini kelihatan mudah, sebenarnya ia sangat membantu perkembangan awal anak. Aktiviti anak 1 tahun seperti ini memberi rangsangan keseluruhan deria mereka.
Menconteng krayon
Mengajar cara memegang alat, menguatkan jari & memperkenalkan warna.
Memindahkan objek
Mengasah tumpuan, koordinasi tangan-mata dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Messy play
Merangsang deria sentuhan, kreativiti dan keberanian meneroka.
Pretend play
Menggalakkan imaginasi dan kemahiran sosial awal.
Setiap kali anak mencuba perkara baru, mereka sebenarnya sedang membina keyakinan diri. Senyuman kecil dan sokongan ibu ayah menjadi dorongan paling besar untuk mereka terus belajar.
Menurut Pengamal Perubatan Klinik Afiya, Dr. Siti Amalina Mohd Noh:
Ibu ayah perlu ekstra berhati-hati kerana usia setahun adalah fasa anak suka memasukkan objek ke dalam mulut. Aktiviti anak 1 tahun perlu sentiasa dipantau supaya keselamatan terjamin.
Dalam seronok bermain, jangan lupa untuk sentiasa memberikan sokongan. Berbual, memberi galakan dan memuji usaha anak akan merangsang perkembangan bahasa mereka. Malah, aktiviti harian ini juga membantu mengurangkan kebergantungan anak kepada gajet kerana mereka asyik meneroka dunia sebenar.
Aktiviti bersama anak bukan hanya untuk mengisi masa lapang—ia adalah asas kepada perkembangan motor, bahasa dan emosi mereka. Yang penting bukan permainan yang mahal, tetapi masa dan perhatian yang diberikan oleh ibu ayah. Aktiviti anak 1 tahun yang ringkas tetapi konsisten mampu memberi impak besar kepada perkembangan awal mereka.
Ajar Anak Lelaki Supaya Jangan Buat 5 Benda Ni Pada Orang Perempuan supaya anak lelaki tak jadi BOSS Rumahtangga suatu hari nanti. Kebanyakkan ibu bapa sekarang hanya ajar anak perempuan untuk protect diri mereka, buat kerja rumah dan sebagainya.
Tapi ibu bapa lupa tentang anak lelaki, mereka juga harus diberi tunjuk ajar tentang apa yang boleh dan apa yang dilarang, tanggungjawab dan banyak lagi. Sifat lelaki sepatutnya melindungi wanita, jadi anda perlu sentiasa menasihati anak supaya menghormati perempuan. Ikuti perkongsian Dr. Taufiq;
1 – Jangan sentuh sembarangan
▪ Ajar anak lelaki kita jangan sentuh perempuan yang bukan mahramnya.
▪ Selama ni kita asyik ajar anak perempuan je supaya jerit dan lari jauh jauh kalau ada orang lain nak sentuh bibir, dada, fajar, punggung dan dubur tapi pernah tak kita ajar anak lelaki supaya jangan sentuh 4 titik tubuh ni terutamanya tubuh kawan perempuan dan sepupu sepupunya?
2 – Jangan Tabur Janji Sembarangan
▪ Ajar kita supaya jangan berbohong dan tabur janji manis pada orang lain terutamanya perempuan
▪ Kelebihan anak lelaki ni mulutnya sangat manis dan dia pandai memanipulasi emosi perempuan dengan suaranya dan percakapannya
▪ Tu la kenapa kalau hukum anak tu kena berpada pada. Berbohong adalah salah satu mekanisma pertahanan diri. Anak mesti akan berbohong kalau nak lepaskan diri daripada hukuman yang keterlaluan. Dari situlah banyak lahirnya sifat terbiasa berbohong pada diri anak kita
3 – Jangan Tengok Sembarangan
▪ Anak lelaki ni tinggi hormon Testosterone-nya. Tu lah kenapa anak lelaki lebih cepat teransang kalau melihat benda-benda yang terbuka auratnya walau sekecil kecil benda
▪ Ajar anak kita tunduk pandangan dan tutup mata kalau ada iklan tak senonoh muncul masa tengah main game atau masa tengah tengok TV
Anak perempuan ni lemah telinganya kalau dipujuk rayu dan digoda tetapi anak lelaki ni kelemahan terbesar mereka adalah pada matanya!
4 – Jangan Berkasar Pada Perempuan
▪ Fizikal anak lelaki memang dicipta lebih kuat dan lebih tangkas daripada anak perempuan
▪ Anak lelaki mempunyai otot yang lebih padat disebabkan oleh ‘testosterone-induced muscular hypertrophy’. Tulang, tendon dan ligament anak lelaki pun lebih kuat.
▪ Kita kena bagitahu anak lelaki yang mereka ni sebenarnya dilahirkan untuk melindungi, bukannya menindas adik beradik perempuannya
5 – Jangan bebankan kerja rumah pada adik beradik perempuan
▪ Bab kerja rumah sama je lelaki ke perempuan. Tak ada istilah lelaki itu raja, perempuan itu hamba
▪ Kita juga kena ajar lelaki untuk menjadi pemimpin rumahtangga dan sama-sama membantu orang di bawah jagaannya
▪ Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang memahami dan empati dengan keperitan pasangan
▪ Kita taknak anak kita jadi BOS RUMAHTANGGA, kita nak anak kita jadi PEMIMPIN YANG DICINTAI SELURUH AHLI KELUARGANYA
Benda ni sangat penting tapi saya rasa masih ramai mak ayah di luar sana yang belum tahu tentang benda ni. Tolong bagitahu mak ayah yang belum tahu ye.
Pernah terfikir tak saat anda membaca buku dengan si kecil, kenapa anda perlu membacanya dengan kuat? Sebenarnya ia berkaitan dengan manfaat tumbesaran anak. Katanya, ini juga merupakan teknik mengajar anak membaca yang betul.
Jom ketahuinya dengan lebih lanjut.
Teknik mengajar anak membaca buku
Anda masih tercari-cari kaedah atau cara untuk mempertingkatkan penggunaan tatabahasa anak?
Dalam masa yang sama anda ingin memupuk nilai moral dan pengajaran dalam kehidupan si manja, jadi sudah tentu membaca adalah jawapannya.
Pelbagai kajian menunjukkan bahawa membaca buku bersama si kecil memberikan pelbagai manfaat.
Ia dapat membantu mereka dalam aspek perkembangan sosial seperti belajar bercakap, berinteraksi serta meningkatkan kemahiran bahasa.
Selain akan mengeratkan hubungan dengan ibu bapa, tabiat mengajar anak membaca sedari awal usia juga dapat menjadikan mereka untuk lebih memahami dunia di sekeliling dan memiliki sifat jati diri.
Dalam kajian lain berkaitan tabiat ini, turut menyatakan bahawa masa yang diluangkan bersama anak juga dapat mengekang sebarang tingkah laku agresif, hiperaktif dan kesukaran untuk fokus.
Perlu ke membaca buku dengan kuat?
Membaca merupakan 1 bahagian penting dalam aspek perkembangan dinamik manusia.
Melaluinya, kita bukan sahaja belajar untuk berkomunikasi dan memperolehi ilmu pengetahuan, tetapi kita turut dapat pelbagai kemahiran dan manfaat lain.
Namun, adakah anda tahu sebenarnya terdapat kelebihan jika anda sebagai ibu bapa membacakan buku kepada anak-anak dengan suara yang kuat. Haa…tapi janganlah sampai terpekik terlolong, itu dah lain.
Kuat dalam konteks ini maksudnya dengan nada suara yang jelas dan bukan sekadar berbisik.
Lebih elok lagi jika anda dapat menunjukkan mimik muka atau melakukan perubahan nada suara seiring dengan watak dalam buku yang dibaca. Sudah tentulah ia dapat menarik minat si kecil, bukan?
9 manfaat membaca dengan kuat
Tabiat mengajar anak membaca bukan sekadar untuk menarik minat si kecil untuk mendengar anda membaca semata-mata, sebenarnya ada banyak manfaat dan kebaikan lain.
Jom ketahui 9 manfaat membaca buku dengan kuat.
Membantu perkembangan anak
Tabiat membaca dengan kuat kepada anak-anak seharusnya dimulakan selepas anak dilahirkan. Ia merupakan 1 cara terbaik untuk membiasakan si kecil yang baru lahir dengan suara anda.
Semakin mereka membesar, mereka akan memerhatikan anda saat anda membaca dengan menggerakkan mata dari kiri ke kanan sambil menggunakan mulut dan suara untuk memverbalkan apa yang tertulis di dalam buku.
Sementara anda membacakan buku kepadanya, tanpa disedari si kecil sedang memerhatikan anda.
Secara tidak langsung, mereka belajar beberapa kemahiran asas mengenai apa itu membaca. Bukankah itu satu manfaat yang baik?
Mempertingkatkan kemahiran bahasa
Untuk belajar bahasa baru, pertama sekali adalah untuk mendengarnya. Biasanya, perkataan yang kita gunakan dalam percakapan harian sangat terhad dan cenderung digunakan secara berulang kali.
Jadi saat anda bercerita dan membacakan buku kepada si kecil, ia merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan perkataan baharu.
Oleh itu, manfaat yang diperolehi adalah dapat membantu menambah perbendaharaan kata si kecil.
Lebih banyak perkataan baharu yang diketahui si kecil pastinya lebih baik. Ia bukan sahaja membantu mengenali perkataan baharu tetapi turut membolehkan si kecil untuk mengekspresikan dirinya dengan lebih baik.
Senaman otak
Saat kita bercerita kepada anak, kita sebenarnya mewujudkan 1 rangsangan di dalam otak mereka. Anak-anak bukan sekadar mendengar, tetapi turut mewujudkan idea yang berbeza di dalam fikiran.
Penyelidikan menunjukkan mengajar anak membaca buku akan merangsang aktiviti otak. Anda juga boleh menggalakkan mereka untuk berkongsi apa yang mereka fikirkan sekali gus mengajar mereka tentang kehidupan.
Saat kita membaca, kita sedang ‘menyuap’ imaginasi mereka dan membuka ruang untuk mereka berfantasi tanpa had.
Pupuk nilai moral
Adakah anak anda lebih mendengar kata-kata daripada individu luar seperti guru mereka di sekolah berbanding anda sebagai ibu bapa?
Jangan risau, anda tidak keseorangan, malahan ramai ibu bapa lain turut mengalami isu yang sama.
Jadi melalui bercerita dengan anak, ia adalah antara cara untuk si kecil mendengar nasihat anda.
Sebaiknya anda dinasihatkan untuk cuba menyelitkan sebarang nilai moral dan pengajaran berkaitan kehidupan dalam penceritaan anda.
Wujudkan sifat empati
Terdapat bukti mengatakan, pembacaan khususnya cerita fiksyen, dapat memberikan manfaat dalam membina sifat empati dalam diri anak.
Sebagai contoh, membaca mengenai perjuangan pahlawan, sudah tentu akan dapat mewujudkan rasa kecintaan kepada negara.
Sekiranya anda mahukan si kecil untuk mempunyai rasa tanggungjawab kepada dunia dan masyarakat sekeliling, berikan inspirasi kepada mereka melalui pembacaan.
Pemilihan buku yang baik juga dapat membantu mempertingkatkan sifat empati pada anak.
Meningkatkan fokus
Pasti anda pernah melalui saat di mana ketika sedang membacakan buku, si kecil sibuk bermain dengan anak patung atau permainan mereka.
Paling menguji kesabaran apabila mereka sibuk menyelak helaian buku berbanding mendengar apa yang anda ceritakan.
Anak-anak kecil memang sukar untuk duduk diam dan itu adalah kenyataan.
Fokus merupakan 1 kemahiran yang perlu dipelajari si kecil. Sebagai ibu bapa, anda jangan berputus asa.
Pastikan anda membaca kepada si kecil sekurang-kurangnya 4 hingga 5 minit setiap hari.
Percayalah, lama-kelamaan si manja akan belajar untuk menumpukan perhatian dan duduk diam dalam tempoh masa tertentu.
Jalinan kasih
Paling utama, manfaat yang diperolehi daripada membacakan buku kepada anak-anak adalah untuk dapat meluangkan masa bersama. Ia pastinya 1 perkara yang tidak boleh dijual beli.
Ia bukan sekadar membantu menambah kemahiran dalam diri mereka tetapi dalam masa yang sama mengeratkan jalinan antara ibu bapa dan anak-anak. Jangan lepaskan peluang ini, okay?
Mulakan membaca hari ini
Jika sebelum ini, anda tidak pernah membaca buku bersama anak, masih belum terlewat untuk melakukannya. Mulakan dengan buku cerita yang mempunyai watak kartun yang diminati si kecil.
Ketepikan segala gajet dan tugasan harian, luangkan masa paling tidak 5 hingga 10 minit untuk membacakan buku kepada si kecil. Gunakanlah masa yang ada untuk membina momen indah bersama anak-anak.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!