Bersalin menggunakan kaedah indius kadangkala digeruni ibu-ibu. Tapi pengalaman ini sebaliknya. Proses bukaan serviks menjadi cepat dan mudah.
Indius ialah proses memulakan proses bersalin dengan menggunakan ubat-ubatan dan cara mekanikal.
Ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Indius adalah salah satu pilihan bagi doktor yang sudah mengambil kira tempoh menunggu memberikan risiko yang tinggi kepada ibu dan bayi berbanding risiko indius.
Perkongsian ibu ini tentang pengalamannya melahirkan menggunakan kaedah indius belon (Foley balloon cathether) mendapat perhatian warganet. Ia menjadi langkah penyelamat yang tepat untuk melahirkan bayi dalam kandungan yang kurang bergerak. Bayi juga agak besar saiznya iaitu seberat 4.15kg. Berikut perkongsian Puan Syahirah Dedy berkongsi prosedur indius yang dilaluinya semasa melahirkan anak sulung.
Saya nak share pengalaman saya bersalin dengan cara induce belon. Since ramai yang tertanya-tanya macam mana induce belon. Just sharing. Saya selamat melahirkan seorang baby boy dengan berat 4.15 kg.
MASUK WAD KERANA BAYI KURANG PERGERAKAN
Saya admit wad sebab rasa baby kurang gerak. Pukul 2.40 petang saya ke hospital. Check bukaan baru 2 cm. So doc decide utk admit kan saya ke wad.
INDIUS BELON, PADA AWALNYA RASA SEPERTI SENGGUGUT
Keesokan hari nya baru lah saya kena induce belon pukul 8 pagi. Awalnya saya takde rasa sakit sangat pun. Just rasa macam senggugut sikit-sikit sahaja.
BANYAK BERJALAN
Saya bawak banyak berjalan. Tak berhenti. Berhenti bila rasa lenguh je. Sebab nurse kata belon hanya akan berfungsi bila kita banyak berjalan.
MALAMNYA SAKIT SANGAT
Lepas saya solat Maghrib, baru terasa contraction yang melampau. Sakit tak tahu nak cakap. Pukul 10 saya jumpa nurse, minta cabut belon, sebab rasa sakit sangat-sangat. Tapi nurse tak bagi. Kena tunggu 24 jam juga kata nya.
MASA KETUK KETAMPI BELON JATUH
Pukul 2.30 pagi, saya terasa nak mandi. Saya pun mandi lah, pakej ketuk ketampi dalam toilet. Tiba2 belon jatuh. Terkejut sangat. Macam tu rupanya rasa belon jatuh. Saya senyum seorang diri sebab rasa sakit hilang sekejap.
LEPAS BELON JATUH BUKAAN 7CM
Saya pun bawak lah belon tu jumpa nurse. Lepas tunjuk kat nurse, check bukaan dah 7cm. Kelam-kabut nurse tolak ke labour room.
TAK SAMPAI 40 MINIT
Tak sampai 40 minit di labour room, lahirlah baby boy saya. Alhamdulillah. Lepas baby keluar, hilang rasa semua sakit. Saya doakan semoga urusan ibu-bi yang nak bersalin pun dipermudahkan.
Puan Syahirah yang dihubungi Pa&Ma memberitahu dia langsung tidak menjangka bayi dalam kandungannya seberat 4.15kg. Sepanjang kehamilan dia tidak mengalami sebarang komplikasi.
TAK JANGKA BAYI SEBESAR INI
“Alhamdulillah sihat. Bayi pun tak jangka sebesar tu. Sebab last scan berat baby 3.55 kg je,” katanya.
Ibu ini juga turut berpesan kepada ibu lain agar tabah dan reda. “Pesanan saya, ibu hamil bertabah dan redalah sekiranya doktor decide untuk induce. In shaa Allah, Allah dah memang ciptakan perempuan memang kuat luar dan dalam.
“Semua perempuan mesti boleh lalui. Takde proses bersalin yang langsung tak sakit. Semua pun sakit. Setiap orang lalui proses yang berbeza-beza. Takpe, lepas nampak muka baby mesti hilang sakit. In shaa allah, Aaminn,” katanya.
Pa&Ma juga ingin berkongsi tentang jenis-jenis cara indius yang digunakan untuk mencetuskan kelahiran.
Proses indius dilakukan dengan dua cara yang berlainan bergantung pada keadaan pangkal rahim atau ripening of the cervix. Dua cara indius akan ditentukan sama ada indius yang menggunakan ubat-ubatan atau peralatan.
Pemilihan jenis ubat-ubatan ditentukan berdasarkan keadaan semasa pangkal rahim.
-Prostaglandin ialah sejenis hormon yang dimasukkan menerusi vagina semasa pangkal rahim masih ketat (bukaan 0sm) dan tebal. Ia bertujuan untuk melembutkan serviks dan memulakan kontraksi.
-Oxytocin/ pitocin diberikan dalam bentuk cecair intravena apabila serviks sudah lembut dan ketuban boleh dipecahkan.
Sweepe & strecth (S&S)
Ia adalah satu prosedur yang memisahkan kantung ketuban bayi daripada serviks menggunakan jari tangan. Tindakan ini akan membantu perembesan hormon prostaglandin semula jadi dari tubuh anda yang bakal menggalakkan bukaan serviks.
Amni hook
Apabila bahagian serviks sudah terbuka, doktor akan memecahkan membran kantung ketuban dengan menggunakan amni hook untuk memecahkan selaput rahim dan akan dibantu oleh pitocin yang dialirkan melalui intravena.
Foley balloon cathether
Foley balloon cathether pula ialah sejenis alat yang mempunyai belon di hujungnya. Alat ini dimasukkan ke dalam pangkal rahim untuk merangsang perembesan hormon prostaglandin semula jadi yang akan membuka serviks untuk melancarkan proses kelahiran.
Sumber: Syahirah Dedy