Larangan merokok di restoran, premis makanan di negara ini telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah berkuatkuasa 1 Januari 2019. Rata-rata masyarakat telah sedar akan undang-undang tersebut dan ramai yang mula menghisap rokok di luar kedai makanan dengan jarak yang telah ditetapkan.
Namun, kisah yang dikongsikan oleh Puan Umm Zainab menarik perhatian apabila ada suami yang terlupa bahawa mereka datang bersama isteri untuk makan di kedai makanan dan selepas itu pulang sendiri selepas merokok dan meninggalkan isterinya hanya kerana rokok.
SUAMI BUAT ISYARAT TANDA NAK MEROKOK
Semalam, kami keluar ambil angin. Zainab mahu makan roti canai, jadi setelah bersiar-siar, kami singgah ke restoran nasi kandar untuk minum petang. Di hadapan meja kami, ada pasangan sedang makan nasi kandar (sempat saya jeling dalam pinggan mereka haha).
Belum lagi order kami sampai, lelaki yang duduk bertentangan selesai makan, membasuh tangan, ambil tisu, pulang ke meja, lap mulut, duduk dalam suku minit, lantas keluar dari restoran setelah mencuit bahu pasangannya memberi isyarat tangan yang saya pun tidak faham. Tinggallah wanita itu menghabiskan makanan yang masih berbaki.
Tidak lama kemudian makanan kami tiba. Wanita di hadapan masih sedang makan. Anak-anak saya pun mulai makan. Setelah roti canai separuh dijamah, saya menjeling kembali kepada wanita itu, sudah habis makan nampaknya. Kelihatan resah (I aced my psy posting, and I am a trainee psychiatrist, so I judged people ok).
RESAH TUNGGU SUAMI TAK MASUK KE DALAM KEDAI
Kemudian wanita itu mengambil beg tangannya, melangkah melepasi kaunter bayaran. Seorang pekerja restoran mengekorinya dari belakang. Kecoh seketika.
“Kakak ini makanan belum bayar”.
“Saya nak pergi depan ni je. Nak panggil abang. Tadi dia pi merokok”.
Pekerja restoran terdiam. Wajahnya tidak terlalu berpuas hati. Takut dimarahi majikan barangkali. Saya faham. Bukan salahnya. Wanita itu memang kelihatan seperti mahu pergi terus tadi. Siap mengelek beg tangan. Iyalah bahaya juga meninggalkan beg tangan sembarangan. Takut dicuri orang pula. Malang tidak berbau.
CALL SUAMI MINTA DATANG AMBIL
Lebih kurang seminit kemudian, wanita itu masuk semula. Mejanya tadi sudah dibersihkan. Ada pelanggan lain sudah duduk di sana. Dia merapati kami.
“Encik boleh pinjam power bank tak. Handphone habis bateri. Hendak call suami. Tadi dia pergi merokok di depan. Ini dah tak ada pula”. Dia berkata kepada suami saya yang duduk paling tepi.
Saya menghulurkan power bank dari dalam beg kepadanya. Terpandang perutnya. Dia sedang hamil. Kurang lebih 6 bulan. Naluri keiibuan, dan mungkin juga naluri pengamal perubatan saya terusik. Lantas saya tarik kerusi di sebelah Sakinah, mengajaknya duduk. Dia mencuba mengecas telefon bimbitnya menggunakan power bank kami. Tetapi tidak boleh, entah di mana silapnya. Lalu saya tawarkan dia menggunakan telefon bimbit saya, sekiranya dia ingat nombor telefon suaminya. Dia bersetuju.
SUAMI DAH BALIK, LUPA ISTERI MASIH DI KEDAI MAKAN
Dia mendail. Panggilan bersambut. Saya sebolehnya tidak mahu mencuri dengar. Pura-pura sibuk melayan anak-anak. Tapi terdengar juga perbualannya.
“Dah balik? Macam mana boleh lupa. Sampai hati. Kan ayang tengah makan tadi. Ishh abang ni”.
Wanita itu meletak panggilan, memulangkan telefon bimbit kepada saya. Tanpa ditanya dia berkata, “Dia boleh pulak dah balik sorang. Terlupa saya ada sini. Itulah biasa dia mai sorang, hari ni saya ada, tak ingatlah tu. Lagipun kerajaan dah tak bagi merokok dalam kedai makan tu yang dia pi merokok luar, balik terus tu, biasa siap-siap makan merokok terus start motor balik”.
SARAT HAMIL
Meski dalam nada gelak, saya dapat merasa ada rona sedih, atau mungkin tangis yang tertahan pada suaranya. (Again, I judge people for a living. I work in a psy department, dont blame me). Namun masih dia cuba menjustifikasi perbuatan suaminya, mencuba memberi alasan atas perbuatan suaminya dengan mengatakan suaminya tidak biasa membawa dia ke restoran itu, tambahan pula suaminya perlu merokok di luar premis – jika bukan alasan untuk menghias tingkah laku suaminya di mata kami, orang asing yang tidak dikenali, alasan itu untuk hatinya sendiri. Ditambah dengan keadaan dirinya yang sedang hamil saya faham benar betapa sensitifnya perasaan. Pernah tengok drama aidil fitri, Daun Ketupat Kering, pada babak sewaktu Rita Rudaini bangun tidur dan menangis kerana menyangka Rosyam Nor telah pulang ke kampung meninggalkan dirinya yang sedang sarat hamil.
Beberapa minit kemudian suami wanita itu sampai. Tersengih-sengih sambil berkata kepada si isteri, “Sorry, abang terlupa. Pi merokok tadi tak ingat apa dah, start motor terus cabut. Badan pulak sengal-sengal lesu dari semalam, memang nampak bantal katil je lah”.
Wanita itu mengucapkan terima kasih kepada saya dan suami, sambil memicit pipi Sakinah, lantas melangkah mengikuti suaminya yang baru selesai membayar harga makanan mereka. Saya dan suami berpandangan sesama sendiri. Tidak terkata apa. Seorang pekerja restoran berjanggut lebat yang sedari tadi memerhati, memandang kami sambil menggeleng, lalu berkata, “Ini macam punya orang pun ada”. Suami saya membalas dengan senyuman tawar.
BAHAYA ROKOK DALAM KEHIDUPAN
Itulah penangan rokok kepada kehidupan, bagaimana rokok boleh merompak sebuah perkahwinan, kasih sayang dan perhatian seseorang kepada pasangan dan keluarganya.
Kenapa saya kata ini penangan rokok? Sebab dalam pengajian PhD saya, saya mengkaji tentang otak manusia, dan akibat ketagihan kepada organ penting yang satu ini, daripada isipadu cecair di dalamnya, sehingga kesan pengambilan berterusan kepada tabiat, tingkah laku manusia. Antara addicting substances yang kami kaji adalah rokok.
Dalam rokok, bahan yang menyebabkan ketagihan adalah nikotin. Dos nikotin dalam sebatang rokok cukup tinggi untuk bertindak sebagai addictive central nervous system (CNS) stimulant. Dalam layman’s nya begini, bila seseorang merokok, nikotine akan menepu dalam darah, dan merentasi blood- brain barrier. Ini akan mengakibatkan perencatan (supression) dalam penghasilan dopamine kerana dos tinggi tadi menjadi ganglionic blockage iaitu penghalang penghantaran isyarat penghasilan dopamine kepada hypothalamus, jadi lama kelamaan badan akan menjadi lali dengan penghasilan dopamine pada kadar yang biasa-biasa.
Dopamine ini adalah hormon untuk keterujaan. Oleh itu, untuk menjadi teruja, perokok tegar perlu merokok lagi dan lagi, bermakna mengambil lebih banyak nikotine, bagi menghasilkan dopamine, dalam masa yang sama tabiat ini membebaskan lebih banyak epinephrine daripada adrenal cortex, menyebabkan penghasilan lebih banyak glucose, yang mana stimulasi ini akan diikuti oleh rasa tertekan tanpa sebab jelas dan keletihan (psychoactive depression and fatigue), menjadikan perokok mudah hyperglysemic (kandungan gula dalam darah yang tinggi) yang hanya menjadi lega apabila dia merokok lagi.
Ia seumpama vicious cycle, bila tidak merokok hidup rasa hambar sebab dopamine kurang – penyelesaiannya hisap rokok – hasilnya badan lesu, penat – tiada tenaga untuk teruja – penyelesaiannya hisap rokok lagi – hidup hambar semula sebab dopamine kurang juga – hisap rokok lagi – badan lesu juga – hisap rokok lagi sebab ingatkan boleh beri tenaga – tiada juga rasa teruja – inilah KETAGIHAN.
ROKOK TIDAK BAIK UNTUK PERKAHWINAN
Sebab itu perbuatan menghisap rokok ini tidak baik untuk perkahwinan kerana ia meragut kebahagiaan, keterujaan dan kegembiraan. Perkahwinan sepatutnya membawa pelbagai khabar gembira, berkongsi segala cerita, berita kehamilan, kisah lawak, aktiviti seharian, menyambut kelahiran anak yang mengujakan.
Tapi ianya sudah dirompak oleh kebergantungan kepada rokok untuk mendapatkan keterujaan. Sebagai wanita, ibu, isteri, pengamal perubatan, saya simpati pada isteri perokok jika kisahnya, aktiviti sehariannya, kehamilannya tidak mampu menterujakan suaminya. Tengah makan pun boleh kena tinggal. Saya tahu ramai orang yang suaminya tidak merokok, suaminya teruja pada setiap kehamilan, layankan permintaan ibu hamil yang sensitifnya lebih daripada biasa, selera makannya berkobar sentiasa. Bila suami tidak merokok, masa untuk merokok dan menikmati rokok boleh digunakan untuk melayan ragam isteri yang hamil sekali sekala, bukan sampai tuapun hamil, biasa umur 20-40 sahaja usia normal membina keluarga.
AJAK SUAMI BERHENTI PERLAHAN-LAHAN
Yang sudah berkahwin dengan perokok, ajaklah suami berhenti perlahan-lahan. Banyak cara dan jalan. *kami sedia membantu*. Tidak pulang modal berpisah hanya kerana rokok. Selamatkan perkahwinan, selamatkan kesihatan. Tapi pada akhirnya, hidayah tetap milik Allah jua. Orang merokok bukan hina, berilah masa.
Yang belum kahwin, fikir bagi terang. Bukan sahaja kaum perempuan, malahan lelaki juga. Bersedia dengan ilmu dan pengetahuan (ilmu kewangan juga, harga rokok mahalkan, simpan-simpan boleh buat beli rumah pertama yang besar sikit)
Jika cinta, maka hiduplah dengan sihat sejahtera bersama, kasih sehingga syurga.
Merokok ini pilihan, bukan kewajiban. Banyak cara lain boleh tunjukkan kehebatan dan keberhasilan dalam kehidupan
Sumber: Umm Zainab Ab Ghafar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI