Kehamilan

Kerap Bercakap Semasa Bayi Dalam Kandungan Bantu Perkembangan Otak Lebih Bijak

Share

Ibu dan ayah boleh mula bercakap-cakap sejak bayi mereka dalam kandungan lagi. Kajian menunjukkan bercakap-cakap dengan bayi di dalam kandungan membantu perkembangan otak bayi untuk kemahiran bahasa dan pendengaran.

Menurut Puan Nik Eliani, pengasas dan penulis buku Set Bacalah Anakku Kaedah Fonik, bayi dalam kandungan mula mendengar bermula umur 5 bulan dan lebih peka pada waktu malam di antara pukul 8 hingga 12 malam (waktu paling baik untuk meransang bayi dalam kandungan).

Bayi dapat mendengar degupan jantung ibu, bunyi perut ibu yang sedang berkeroncong kelaparan dan juga bunyi dari luar.

Kajian Sains juga menunjukkan bayi dalam kandungan memberi respon dengan menendang atau bergerak apabila mendengar bunyi muzik, suara ibu atau bunyi yang terlalu kuat. Terdapat juga kajian yang mengukur degupan jantung bayi apabila mendengar rakaman sajak yang dibacakan oleh ibu mereka.

Bunyi suara ibu antara bunyi yang selalu didengar oleh bayi dan bayi akan merasa selesa mendengar suara ibu apabila lahir kelak.

Apa yang perlu dibualkan?

Berbuallah dengan pelbagai nada dan intonasi dengan bayi. Berceritalah tentang aktiviti yang ibu lakukan, perasaan ibu atau apa sahaja yang ibu ingin katakan. Ibu atau ayah juga boleh bacakan cerita, membaca ayat-ayat al-Quran, zikir, selawat, menyanyi lagu kanak-kanak dan sebagainya.

Biarpun bayi tidak memahami apa yang ibu dan ayah bacakan, katakan dan nyanyikan kepada mereka, namun menurut kajian, bunyi suara ibu terutamanya membuatkan bayi teruja.

Saya masih ingat sewaktu mengandung anak ketiga, saya kerap membaca Al-Fatihah pada waktu malam sambil memegang perut. Setelah bayi lahir, apabila saya bacakan Al-Fatihah, matanya memandang ke arah saya dan mulut saya, seolah-olah mengamati apa yang saya bunyikan.

Usap perut dari bawah ke atas dengan lembut, sebaik-baiknya ketahui kedudukan badan anak. Gosok persekitaran perut dengan perlahan.

Usap dengan lembut sambil ibu berkata-kata dengan perlahan. Apabila anda merasa bayi bergerak, balaslah dengan sentuhan dan usapan penuh kasih sayang. Ada kalanya ibu dapat merasa bayi bertindak balas/memberi respon terhadap sentuhan yang diberikan. Ia seperti satu ikatan mesra yang terbina antara bayi dan ibu sejak dari dalam kandungan. Juga pastinya ibu dan ayah teruja, melihat pergerakan bayi seperti bonjolan tajam yang bergerak di dalam perut.

Di Malaysia, belum ada kajian yang terperinci tentang kesan bercakap atau berbual dengan bayi di dalam kandungan menjadikan bayi tersebut seorang yang pintar dan bijak kelak.

Namun, seringkali saya mendengar nasihat kepada ibu yang kandungannya sonsang untuk berbual, bercakap dan memujuk bayi sambil mengusap perut supaya bayi mengubah kedudukannya kepada kedudukan normal. Setakat mana kebenarannya, tidak dapat disahkan.

Selain itu, bagi ibu Muslim, sangat digalakkan untuk membaca al-Quran, berzikir dan selawat sepanjang tempoh kehamilan. Walaupun tidak dapat disahkan secara saintifik, namun saya percaya, dengan membaca al-Quran, zikir dan selawat, emosi ibu lebih tenang dan stabil, menjadikan degupan jantung ibu juga stabil, maka anak yang di dalam kandungan juga dapat membesar dengan tenang dan baik.

Sumber: puanfaridahyusof.blogspot.my

Published by
Wan Amy