Menjadi kebimbangan buat ibu bapa jika anak kecil mengadu sakit. Macam mana tahap kesakitan mereka, apa punca mereka sakit dan pelbagai benda menjadi persoalan buat mereka.
Anak-anak dan makanan manis berpisah tiada. Pantang nampak makanan ringan seperti coklat dan aiskrim, terkinja-kinja mereka merayu nak makanan itu. Tapi awas ya ibu bapa sekalian, pengambilan makanan manis untuk anak-anak tak baik untuk kesihatan. Lebih-lebih lagi untuk gigi mereka.
Baru-baru ini Doktor Gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Karim, berkongsi tentang seorang pesakitnya yang mengalami bengkak gusi sehingga mengakibatkan “FACIAL CELLULITIS”. Ikuti perkongsian oleh Dr Azila tentang kisah adik berusia 5 tahun ini.
Suatu pagi Jumaat sebaik sahaja aku ‘parking’ kereta di hadapan klinik, aku disapa oleh seorang perempuan muda.
“Ini doktor Azila ke?” Aku menjawab “ya, saya..”. Beliau bertanya lagi “Boleh jumpa doktor terus di klinik tak?” Kepala aku ligat berfikir, seingat aku berderet temujanji aku pagi ini. Maka aku jawab sambil tersenyum “Cik, boleh terus telefon klinik untuk temujanji”. Tiba-tiba dia menarik seorang budak perempuan kecil lantas ditunjukkan mukanya pada aku. Astaghfirullahalazim.. tergamam aku, terus aku cakap “Naik atas terus, saya periksa”
3 Hari Tahan Sakit
Setelah masuk di bilik surgeri, begini ceritanya. Ibu bapa muda ini memberitahu anaknya sakit gigi belah kanan atas mulai 3 hari lalu.
Hari pertama : Mula-mula mereka membawa ke klinik gigi A. Setelah doktor tersebut memeriksa katanya ada gigi geraham susu yang berlubang besar. Lubang sudah mengenai saraf, maka perlu buat rawatan saraf. Tetapi doktor tersebut tidak membuat rawatan saraf (pulpotomi) pada kanak-kanak.
Doktor klinik gigi A memberi ubat tahan sakit dan antibiotik. a) Syrup Amoxycillin 3ml 3 kali sehari. b) Syrup Paracetamol 3ml 3 kali sehari.
Hari kedua: Pada hari tersebut ibu bapa membawa anak ke klinik gigi B. Mereka mencari klinik gigi yang membuat rawatan saraf kanak-kanak iaitu pulpotomi. Tidak pasti kenapa doktor tersebut tidak buat rawatan pulpotomi terus, kerana beliau memberi temujanji untuk rawatan pulpotomi. Aku berfikiran mungkin temujanji doktor tersebut penuh.
Doktor klinik gigi B memberi pula ubat tambahan : a) Syrup Metronidazole 8ml 3 kali sehari.
Mereka pulang, tiba-tiba malamnya muka anak menjadi bengkak sebegini (rujuk gambar). Umur pesakit 5 tahun. Kasihan sungguh, wajahnya.. pipi bawahnya bengkak sehingga tertarik kelopak mata kanan bawah. Tertutup mata kanan pesakit ! Keadaan ini di diagnosis sebagai “FACIAL CELLULITIS”.
Ads
Punca Sakit Gigi Dikenalpasti
Sesi soal siasat oleh doktor Azila dijalankan seperti biasa. Hasil temubual dengan ibu bapa adalah :
1. Sering memberi makanan manis iaitu ‘kinderjoy’ setiap pagi. Pesakit juga kerap makan makanan yang manis-manis belaka. 2. Tidak mengamalkan rutin wajib memberus gigi anak setiap hari. 3. Tidak membawa anak untuk jumpa doktor gigi secara berkala.
ramai ibu bapa terlepas pandang dan tidak faham sebenarnya memberi makanan minuman manis adalah musuh utama mulut anak. Ini mengakibatkan gigi rosak. Selain itu, ibu bapa perlu tahu bersihkan gigi anak itu penting. Jangan sampai gigi anak berkaries, mengadu sakit baru jumpa doktor gigi.
Adakah kita mahu anak kita berkeadaan sebegini? Kerana sikap kita yang sambil lewa gigi anak rosak, gusi bengkak kemudian muka bengkak.
Beri Rawatan Kecemasan, Henti Guna Ubat Sebelum Ini
Setelah aku berbincang dengan doktor Pakar Pergigian Kanak –Kanak, pesakit ini :
1. Aku preskripsi : a) Syrup Augmentin 5.3ml 2 kali sehari. b) Syrup Paracetamol 5.3ml 4 kali sehari. (Dos ubat – ubat yang diberi mengikut berat badan pesakit)
Ads
2. Pemantauan berkala dalam tempoh 24 jam oleh ibu bapa. Selagi anak boleh makan dan minum, badan tidak menolak sebarang makanan dan minuman yang diberi secara oral. Maka belum perlu pergi Bahagian Kecemasan Hospital. Pada “posting” akan datang, akan aku kongsikan ciri-ciri yang perlu dirujuk terus ke hospital.
Kebetulan ketika itu cuti umum 2 hari Ahad hingga Isnin. Aku juga berpesan sekiranya tiba-tiba bengkak kemuncak mendadak, terus pergi ke bahagian kecemasan hospital.
3. Hari ketiga iaitu Selasa, pesakit berjumpa aku semula. Alhamdulillah.. muka sudah surut bengkak.
4. Gigi geraham susu yang menyebabkan bengkak tersebut, terpaksa aku cabut.
Gigi perlu dicabut!
KENAPA DOKTOR CABUT GIGI TERSEBUT?
Jawapannya : Agar gigi berkaries tersebut tidak menjadi punca infeksi, bengkak BERULANG SEMULA. Sekiranya terjadi situasi begini ia boleh MEMBAWA MAUT!
Gusi yang bengkak, bakteria boleh merebak kedalam otak. Keadaan dikenali sebagai SEPSIS.
Ads
Sepsis adalah keadaan dimana jangkitan disebarkan melalui darah disebabkan sistem pertahanan badan perlu bekerja lebih masa untuk melawan jangkitan.
Bahan kimia yang dikeluarkan dalam aliran darah untuk melawan jangkitan mencetuskan tindak balas keradangan di seluruh badan sekali gus ia merosakkan sistem organ.
Malah sepsis boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti masalah buah pinggang, paru-paru, otak dan jantung hingga menyebabkan kematian.
HUBUNGAN ANTARA SEPSIS DAN JANGKITAN GIGI
Apabila berlaku jangkitan gigi, ia boleh menyebabkan pulpa (gigi bahagian tengah) dijangkiti.
Pulpa ini adalah bahagian gigi yang mengandungi saluran darah, tisu penghubung dalam saraf besar.
Jika jangkitan berlaku, bakteria boleh keluar dari gigi ke tulang atau tisu bawah.
Tanda-tanda Gigi Dijangkiti
Sebagai orang dewasa, kadangkala kita juga keliru sama ada terdapat jangkitan pada gigi kita atau tidak lagi. Sama juga untuk anak-anak, kita sebagai ibu bapa kena sentiasa pantau gigi anak-anak supaya bebas dari jangkitan. Antara tanda-tanda terdpat jangkitan dalam mulut seperti:-
• Nafas busuk. • Rasa pahit dalam mulut. • Demam. • Sakit gigi. • Gigi lebih sensitif. • Gusi bengkak. • Kelenjar bengkak pada leher. • Bengkak rahang.
Ini bertujuan memberi peringatan berguna buat ibu bapa lain supaya tidak mengabaikan kebersihan gigi anak kecil kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku, hanya kerana gigi tidak dibersihkan setiap hari dan pengambilan makanan manis.
Jadi, sekiranya kanak-kanak kecil mengalami jangkitan demam selsema, sungguhpun mencapai sehingga 5-6 kali setahun, ia masih dianggap normal.
Namun pasti ada tanda tanya, adakah anak selalu sakit disebabkan cara penjagaan yang salah atau masalah pada persekitaran yang tidak sihat?
Jika anak selalu sakit, cuba periksa 6 perkara ini terlebih dahulu.
1. Terdedah pada virus di pusat jagaan
Menurut pakar, pusat penjagaan kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai lubuk virus dan bakteria yang boleh menyumbang kepada penyakit seperti selsema dan penyakit tangan, kaki dan mulut. Anak-anak kecil yang bergaul bersama lebih mudah dijangkiti kuman. Mereka juga masih kecil dan sering lupa untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk. Oleh itu, kuman lebih mudah tersebar.
Ingatkan pada anak anda untuk basuh tangan selepas pulang dari taska dan segera tukar baju. Pastikan taska tersebut mengamalkan kebersihan pada cara penyediaan makanannya, persekitarannya dan pada anak muridnya.
2. Selalu makan makanan ringan
Makanan ringan bukan sahaja tidak berkhasiat, malah menjadikan anak lebih cenderung dijangkiti penyakit. Kuatkan sistem imuniti anak anda dengan memberikannya makanan kaya ‘phytonutrien’. Menurut pakar pemakanan, makanan kaya phytonutrien mudah dikenali kerana warnanya yang terang. Buah-buahan dan sayuran yang kaya phytonutrien ialah seperti beri biru, keledek, tomato dan bayam.
Lebihkan juga pengambilan makanan kaya Vitamin C seperti buah oren, vitamin D seperti tuna dan bijirin serta probiotik yang terdapat dalam yogurt untuk sistem imuniti yang lebih kuat.
3. Anak tak cukup tidur
Jangan biasakan anak tidur lewat dengan gajet di tangan atau menonton televisyen sehingga lewat malam. Ajarkan juga dia supaya lakukan kerja sekolah lebih awal supaya tidak perlu bersengkang mata untuk siapkannya.
Kanak-kanak yang tidak cukup tidur membuatkan aktiviti sel darah putih yang melawan penyakit hilang kesannya. Untuk anak di bawah umur 13 tahun, pastikan mereka mendapat tidur 10 jam sehari. Corak tidur yang konsisten dapat menguatkan sistem imuniti dalam badan mereka.
4. Anak kurang bergerak aktif
Tidak kiralah kanak-kanak atau dewasa, bersukan adalah cara terbaik untuk kekal sihat bertenaga. Asyik terperap saja di rumah menonton kartun.
Ajak anak anda ke taman permainan atau keluar bersiar-siar.Menurut kajian, bila anak lebih aktif bermain, sistem imunitinya menjadi lebih aktif bagi melawan jangkitan virus.
5. Berkongsi barang
Anak-anak kecil suka menerokai dunia sekeliling dengan menyentuh objek dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga suka berhubung dengan kanak-kanak lain dengan berkongsi mainan dan makanan.
Biasakan anak untuk selalu membasuh tangan selepas bermain. Bekalkan mereka dengan ‘hand sanitizer’ jika perlu. Ingatkan mereka untuk tidak menyentuh muka sendiri jika tangan tidak bersih kerana virus lebih mudah masuk melalui mata, hidung dan mulut. Latih mereka untuk tidak berkongsi cawan, straw dan berus gigi.
6. Mangsa asap rokok
Satu lagi perkara yang mungkin anda terlepas pandang adalah tentang bahayanya asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak. Tidak kiralah sama ada anda merokok di hadapan atau di belakang anak, situasi ‘secondhand smoker’ tetap akan menjejaskan kesihatan mereka.
Ini kerana, anak-anak memiliki organ dan sistem pernafasan yang sangat sensitif. Bahkan, DoktorBudak.com melaporkan bahawa kanak-kanak yang tinggal bersama perokok ini lebih berisiko mengalami jangkitan kuman pneumonia dan kematian mengejut.
Jika pasangan anda adalah perokok tegar dan masih belum boleh berhenti merokok, ingatkan mereka untuk mandi dan menukar pakaian setiap kali sebelum memegang bayi.
Sistem Imunisasi Anak Sedang Berkembang
Mengelakkan anak dari penyakit bukan perkara mudah. Kita juga perlu faham yang anak kecil lebih sering sakit kerana sistem imunisasinya sedang berkembang. Kekerapannya untuk jatuh sakit akan semakin berkurang apabila anak semakin membesar.
Ibu bapa perlu berikan yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan anak. Biasanya penyakit anak akan baik sendiri dengan penjagaan rapi oleh ibu bapa. Jika penyakit berlarutan agak lama, segeralah dapatkan nasihat doktor.
Sumber: zuriat.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itulah yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk hubungan baik antara anak-anak mereka. Nak eratkan hubungan antara adik beradik bukan tugasan yang mudah, lebih-lebih dengan perangai mereka yang pelbagai ragam.
Bagi Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, untuk memastikan anak-anak beliau mempunyai hubungan yang erat, beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk mendidik mereka.
Melalui posting beliau di Instagram, beliau meletakkan “hugging & kissing” sebagai norma dalam keluarganya. Jika sebelum ini, beliau telah berjaya mengajar anak perempuannya, Bella dan Tasha untuk sentiasa terap kasih sayang antara satu sama lain.
Kali ini, beliau dan isteri, Dr Halina Mohd Yunos dalam proses untuk mengajar anak lelaki kembar mereka pula, iaitu Adam dan Noah untuk merapatkan kali hubungan antara mereka.
Telatah anak kembar itu mendapat perhatian umum apabila mereka masih malu-malu untuk menunjukkan rasa sayang antara satu sama lain.
Malah, terdapat beberapa mengikut Dr Sheikh Muszaphar juga bersetuju dengan cara yang dipraktikkan oleh beliau dan menceritakan kembali pengalaman mereka mengajar anaknya.
Selain dari menerapkan kasih sayang antara anak-anak, ibu bapa juga perlu memainkan peranan seperti:-
Sama adil antara anak-anak
Tidak adil merupakan kesilapan yang sering ibu bapa buat tanpa sedar. Contohnya apabila adik buat silap bukan adik yang dimarahi tetapi yang sulung. Alasan yang tua tidak jaga yang kecil. Apabila situasi ini terlalu kerap berlaku akan membuatkan si sulung membenci adiknya dan mereka secara tidak langsung menjadi jauh dan mencemburui antara satu sama lain. Begitu juga apabila ingin membeli sesuatu pasti kan anda membelinya sama adil agar perasaan kecil hati atau cemburu itu tidak timbul.
Sikap Tolong-Menolong
Walaupun mereka masih kecil tetapi sikap tolong menolong ini perlu diajar dari awal lagi. Contohnya apabila adik keluarkan permainan dan ketika masa berkemas. Minta abang atau kakak tolong mengemas sama-sama. Sambil mengemas mungkin anda boleh berikan pujian atau bermain siapa lagi pantas menyimpan. Mereka akan rasa seronok dan bergembira bekerjasama. Begitu juga apabila abang atau kakak perlukan pertolongan minta adik bantu juga.
Makan sama-sama
Usahakanlah paling tidak sekali dalam sehari untuk semua ahli keluarga berkumpul makan bersama-sama. Saat makan bersama-sama, bercerita dan ketawa akan membuat semua ahli keluarga rasa seronok dan menghargai antara satu sama lain. Malah akan membuatkan kasih sayang makin hari makin kuat antara satu sama lain.
Tunjukkan Contoh Yang Baik
Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Mahu anak-anak jadi baik tetapi anda sendiri tidak begitu. Anda juga perlu pasti kan hubungan anda dengan adik beradik baik. Sentiasa tolong menolong, ziarah menzirahi serta sayang menyayangi antara satu sama lain. Contoh yang baik ini akan mereka jadikan sebagai panduan untuk mereka bila dewasa nanti.
Batuk merupakan gejala yang sering berlaku pada semua individu tak kira orang dewasa atau kanak-kanak. Masalah ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya jangkitan bakteria atau virus.
Bila seseorang mengalami batuk, pastinya tidak akan rasa selesa kan? Jadi penyelesaiannya mesti bergantung pada ubat batuk semata-mata. Bagaimanapun menurut Dr Rizal Abu Bakar, ada cara lebih selamat tanpa memudaratkan kesihatan seseorang untuk jangka masa panjang.
Zaman sekarang, saya lihat ramai yang kerap sakit. Terutama selesema dengan batuk. Mainan fikiran buatkan badan rasa lemah semacam. Betul tak?
Fikir pasal cik Vid. Asal demam je cik Vid. Asal batuk je cik Vid. Bukan setakat cik Vid. Sekarang ni juga musim berubah-ubah. Kejap panas kejap hujan.
Saya dah pernah kongsi tentang remedi untuk selesema. Green flu shot dan minuman immune booster. Kali ini saya nak share tentang cara rawat batuk.
Pernah tengok tak kesan ambil ubat batuk pada otak? Dulu masa saya kerja di Australia. Saya pernah lihat. Saya jadi takut lepas tengok.
Semenjak hari tu. Saya dah tak ambil dah ubat batuk. Lagi-lagi nak bagi kat anak-anak. Jauhkan diri daripadanya.
Bila batuk menjelma. Saya guna alternatif lain. Cari yang kesannya tak macam ubat batuk. Kesan yang berbeza terus. Kesan yang tak jahanamkan otak.
Makan masa untuk saya cari. Saya review jurnal saintifik. Saya baca buku. Saya rujuk mereka yang pakar. Akhirnya, jumpa.
Sehingga kini, saya gunakan petua ni sekiranya batuk. Cara pun mudah.
Caranya ialah:
1. Potong 1 biji bawang Bombay/Holland kepada 2 bahagian. Guna 1 bahagian sahaja.
2. Leraikan lapisan bawang tadi.
3. Campurkan 1 atau 2 sudu makan madu mengikut yang kita mahu.
4. Gaulkan biar rata.
5. Tutup dan biarkan selama 1 atau 2 jam.
6. Jus akan dirembeskan melalui bawang bercampur madu.
7. Ambil satu sudu dan minum.
Rasanya persis ubat batuk. Tujuannya keluarkan kahak dengan mudah. Tiada kesan buruk pada otak.
Orang putih panggil ‘cough syrup.’ Melalui pembacaan saya dapati juga petua ni mereka pakai lama dah. ‘Homemade remedy’ untuk batuk. Boleh cuba di rumah.
Sebagai ibu, sudah tentu kita mahukan yang terbaik buat si manja. Pemakanan yang sihat dan seimbang sangat kita titikberatkan supaya anak dapat membesar dengan baik.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.