Wabak koronavirus yang kini membuatkan orang ramai sedikit panik boleh dikawal jika aspek penjagaan diri dijadikan sebagai langkah pencegahan awal.
Bagi golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita hamil, warga emas atau pesakit kronik seeloknya hadkan aktiviti luar dan pastikan amalan penjagaan diri dititikberatkan.
Menurut Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus, orang ramai dilarang panik kerana sifat itu sendiri akan mempengaruhi dan menurunkan imuniti badan.
Beliau berkata, rakyat perlu bertenang dalam keadaan sekarang dan perlu mementingkan aspek penjagaan diri sebagai langkah pencegahan.
“Apa yang menyebabkan kita kena mudah kena jangkitan sesuatu virus atau penyakit adalah bergantung kepada imuniti tubuh kita. Perkara ini mudah, kita cuma perlu jaga diri.
“Koronavirus ini terkenal dengan sifatnya yang takut air jadi untuk jaga diri kena kerap mandi, jaga pemakanan dan hadkan pergerakan ketika ini,” katanya.
Kata Noordin, bagi sesiapa yang terkena jangkitan koronavirus mereka dinasihatkan untuk meminum air kelapa dan air lemon suam antara enam hingga tujuh gelas pada hari pertama.
Tambahnya, pada hari kedua pula pengambilan air itu perlu diteruskan tetapi dikurangkan kepada masing-masing lima gelas serta perlu mengambil banyak sayur hijau seperti kangkung.
“Uniknya koronavirus dia serang saluran pernafasan sama seperti influenza. Jadi saya juga nasihatkan jangan kerap makan gula, susu dan daging (sebagai usaha meningkatkan ketahanan badan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak? di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam.
Dalam wacana yang dikendalikan moderator, Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar itu, Noordin bergandingan bersama Ketua Pegawai Pematuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang sebagai panelis.
Sementara itu, Noordin turut memuji tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus di negara ini yang disifatkan sebagai paling cepat berdasarkan pengalaman berdepan wabak berbahaya sebelum ini.
“Sekarang kita tengok konsep (cara) China dan negara-negara luar selesaikan masalah (wabak) ini dan dari situ ada timbul tuduhan-tuduhan tidak berasas.
“Namun dari sudut sains, jika dicatatkan cuma 0.018 peratus mangsa meninggal itu dikira rendah dan situasi di Wuhan purata kematian yang direkodkan antara 2 hingga 2.3 peratus,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Kredit Gambar: Bernama