Musim panas yang melanda sekarang ini memberi kesan buruk kepada kesihatan semua orang termasuklah anak kecil. Sebagai ibu bapa, Kita pastinya berasa bimbang apabila suhu badan si kecil lebih tinggi berbanding biasa. Namun ukuran suhu bukanlah petunjuk terbaik menentukan sama ada keadaan demam itu membimbangkan atau tidak.
Sebagai ibu bapa, anda perlu memerhatikan tahap keselesaan anak. Jika mereka demam ringan dan masih aktif, ia mungkin bukan sesuatu yang perlu dirisaukan. Pun begitu, amat penting untuk memantau pengambilan makanan dan cecair serta corak kencing mereka semasa demam. Jika ia masih biasa, tidak perlu panik atau tergesa-gesa untuk membawa mereka berjumpa pakar pediatrik.
Menurut Dr. Erna Nadia, Pengamal Perubatan, apabila anak tidak sihat maka bermulalah episode tidak tidur malam demi manjaga anak- anak yang sedang sakit. Beliau berkongsi beberapa tips yang boleh digunakan apabila berhadapan dengan anak demam, antaranya:
1. Berikan ubat demam (paracetamol) setiap 6 jam sekali. Jika anak ada G6PD, boleh bagi ibuprofen pada anak (elok dapatkan nasihat doktor ya).
2. Pastikan anak memakai pakai yang nipis. Tidak perlu bedung atau selimut mereka. Nanti lagi panas badan mereka.
3. Kerapkan anak anak mandi atau lap badan mereka. Ini untuk pastikan suhu mereka turun.
4. Bantu mereka minum air kosong dengan kerap. Sejam sekali offer mereka minum. Semasa tidak sihat, badan perlu lebih untuk sejukkan badan dan juga untuk pastikan organ berkerja dengan padu untuk melawan jangkitan kuman.
5. Biar mereka berehat. Semasa anak kecil tidur, sewaktu itulah badan mereka sedang melawan kuman dan sewaktu itulah proses pemulihan berlaku.
6. Jika mereka ada batuk, selsema, sakit tekak, muntah, cirit atau simptom lain, berikan mereka ubat setelah mendapat rawatan dari doktor.
7. Offer makanan yang mudah ditelan dan dihadam oleh anak anak. Jika mereka tak mahu nasi, tak perlu paksa. Bagi apa yang mereka mahu makan contohnya roti, sup, buah. Asalkan mereka makan.
8. Jika demam (suhu lebih 39) sudah melebihi 3 hari, walau dah bagi ubat demam 6-8 jam sekali, terus bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
9. Jangan lupa lakukan ujian covid-19, influenza atau RSV untuk pastikan mereka tidak dijangkiti virus berkenaan.
10. Jika anak kelihatan lemah, lesu, tak mahu makan dan minum, pampers kering hampir seharian, menangis tiada air mata, nafas laju, nafas berbunyi, menangis kuat tanpa boleh dipujuk, muntah atau cirit melebihi 10 kali, sawan atau perut keras, teruslah bawa ke jabatan kecemasan hospital bagi pemeriksaan lanjut. Inilah tanda amaran pada anak kecil.
Jika demam anak semakin teruk, ibu bapa haruslah segera membawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ibu bapa haruslah memantau anak apabila demam, bimbang demam semakin teruk dan memberi kesan kepada otak anak.