Tentu ramai di kalangan kita yang mempunyai masalah berkaitan alahan dan alergi. Selalu selsema, gatal-gatal kulit, mata, telinga, hidung dan bermacam-macam lagi. Untuk yang ada anak-anak, dah tentu masalah ini menjadi suatu perkara yang amat berat untuk kita terima.
Puas dah kita cari rawatan, mana-mana tempat kita dah pergi untuk berubat, namun masalah anak kita masih tidak selesai. Apa masalahnya ini?
Masalah alahan ini berlaku akibat tindak balas sistem imun tubuh kita kepada beberapa faktor allergen. Akibatnya tubuh kita akan mengalami gejala alahan seperti saya sebut tadi.
Beberapa punca biasa menyebabkan simptom ini berlaku perlu dikenalpasti oleh pesakit sendiri dan juga ibu bapa. Kita sebut sebagai ‘allergen’. Ini amat penting bagi memastikan gejala sama tidak berulang lagi.
Walaubagaimanapun, selain daripada gejala yang biasa ditemui, salah satu keadaan berbahaya boleh berlaku kepada pesakit. Jika ini berlaku, maka langkah perlu dan segera perlu dilakukan. Bawa ke hospital!
Anafilaksis adalah tindak balas alergi yang boleh mengancam nyawa. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba, berlaku sebaik sahaja pendedahan kepada faktor alergen berlaku. Keadaan ini akan menjejaskan seluruh sistem badan pesakit!
Histamines dan bahan kimia lain dikeluarkan dari pelbagai tisu di seluruh badan, menyebabkan gejala berbahaya seperti:
- Menyempitkan saluran pernafasan dan mengakibatkan kesukaran bernafas
- Penurunan tekanan darah secara tiba-tiba
- Pembengkakan pada kawasan muka, leher atau lidah
- Mengalami muntah atau cirit-birit
- Gejala sakit dada dan palpitasi pada jantung.
- Percakapan pada pesakit yang tidak jelas.
- Untuk keadaan yang lebih teruk, pesakit boleh hilang kesedaran!
Beberapa risiko meningkatkan kebarangkalian serangan ini berlaku.
- Pernah alami gejala alahan teruk sebelum ini.
- Sejarah keluarga yang turut alami perkara sama.
- Pesakit merupakan pesakit alahan dan asma yang tidak terkawal.
Jika anda atau anak-anak anda mengalami gejala alahan yang luar biasa, jangan biarkan di rumah. Segera dapatkan pemeriksaan doktor.
Sumber: Dr Ezairy M.Sallih (Doktor ENT)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Teknik Time Out Anak Yang Buat Salah Berkesan Kurangkan Masalah Tingkah Laku Si Kecil
Mungkin ramai ibu ayah yang biasa guna teknik time out sebagai salah satu cara mendisiplinkan anak yang buat salah kan?
Bagi yang belum biasa atau tak tahu lagi apa teknik time out, mungkin boleh mencubanya kerana perkongsian dari Puan Norashikin Hussein yang biasa menggunakan teknik ini pada anaknya mengaku ia berkesan mendisiplinkan si kecil.
Sebagai ibu bapa tak semestinya saya benar selalu. Namun kita nak cuba yang terbaik. Saya juga mengalu-alu pandangan orang lain.
Apa tu time out.
Diperkenalkan oleh ahli psikologi dan doktor-doktor pakar.
Time out adalah kita sisih anak di sudut diam. Kata lain ialah kita asingkan anak, biarkan mereka menyendiri di satu ruang yang kita dah tetapkan beberapa minit.
Teknik ni salah satu cara untuk mendisiplinkan anak selepas mereka melakukan perkara yang tak sepatutnya di buat. Perkara yang tak diingini oleh kita.
Memang dah ada kajian berkaitan ni. Teknik sisih anak beberapa minit sebegini lebih berkesan berbanding kita pukul, ugut, label dan lain-lain.
Saya pernah juga baca dikatakan teknik ni dapat mengurangkan masalah tingkah laku kanak-kanak.
Time out dengan cara kita pindahkan. Kita asingkan anak dari persekitaran atau dari tempat dia telah lakukan kelakuan kurang baik tadi ke tempat lain dengan tujuan untuk mengurangkan perangai kurang baik tersebut.
Kita asingkan anak ni ke tempat lain dari aktiviti sosial yang dia sedang nikmat buat sebelum tu. Contohnya dia sedang main masak-masak. Ni aktiviti aisyah bersama orang lain iaitu kakak 4 tahun dia sebelum adegan tarik rambut tadi.
Peringkat awal buat agak payah untuk dapat kerjasama anak-anak. Dilema. Dah diberi peringatan. Dah marah. Dah nasihat. Dah diberitahu supaya jangan diulang lagi salah yang sama. Kecewa. Sudahnya saya juga yang gagal tahan emosi. Akhirnya jalan akhir naik tangan.
Teknik ni hanya sesuai untuk anak 2 tahun ke atas. 2 tahun kebawah anak masih belum faham lagi.
Teknik time out ni ramai ingat ni adalah hukuman bagi anak-anak. Sebenarnya time out bukan hukuman.
Time out adalah strategi untuk kita bimbing anak untuk didik anak kendalikan diri dan untuk belajar tenangkan diri mereka sendiri. Time out dapat latih anak belajar bersabar, kenal erti tanggungjawab atas perlakuan tak wajar dan negatif mereka.
Nampak tak..
Time out bukan hukuman.
Macam mana nak buat?
1.Beri peringatan terlebih dahulu pada anak. Jangan terus buat. Anak belum faham jika kita terus buat time out.
Jelaskan pada anak terlebih dahulu;
1. Bawa anak ke sudut yang kita dah pilih.
2. Letak anak di atas kerusi time out.
3. Maklum pada anak bila dan sebab-sebab dia akan di atas kerusi tu nanti.
4. Beri peringatan pada anak jika dia berkelakuan sekian sekian dia akan ditempatkan di situ. (Cara ni nak boleh buat anak berfikir dan memahami kesalahan yang telah dilakukan itu adalah kelakuan yang melanggar peraturan dan tidak dibenarkan.)
2. Kiraan masa 1 tahun 1 minit. 6 tahun 6 minit. Tak perlu lama-lama.
3. Pastikan anak dengar kata kita. Cakap dengan tegas. Pandang mata. Jangan cakap sambil lewa.
4. Letak anak di sudut yang senang di lihat. Bukan kunci anak dalam bilik gelap atau dalam tandas. Ni salah.. Cara begini buat anak takut dan rasa tak selamat.
Buatlah di sudut yang lapang dan kosong. Jadi kita boleh lihat dengan jelas dan selamat. Paling penting jika ada kerusi pastilah anak tak turun kerusi. Biarkan anak duduk dalam keadaan selesa.
Terpulang pada anda nak letak kerusi atau tak. Saya tak. Sebab agak susah untuk saya kawal emosi mereka yang tak stabil tu ketika di atas kerusi waktu tu. Namun saya percaya anak-anak boleh dilatih untuk ni. Cuma saya agak malas untuk bab kerusi ni.
5. Boleh pasang alarm atau jam loceng dekat dengan anak. Dicadangkan beli jam besar supaya anak boleh lihat detik jam. Haha. Saya tak buat bab ni. Saya lebih senang berpandukan jam dinding sedia ada dan alarm telefon bimbit sendiri.
6. Ulangi jika anak meninggalkan tempat. Jika anda pasang alarm atau jam loceng. Mohon ulangi lagi.
** ambil maklum: pengalaman saya.. Saya gagal lakukan untuk anak pertama dahulu. Salah satu faktor kegagalan saya sebagai ibu sebab saya masih ada tawar menawar dan beri perhatian ketika anak tinggalkan tempat time out.
Contohlah.. Sepatutnya anak time out 4 minit tapi sampai masa 2 min anak sengaja turun dari kerusi atau dah keluar dari tempat time out tu. Saya lembut hati dan biarkan.
Anak akan ambil peluang ni. Mereka buat lagi kemudian hari. Mereka bijak.
Saya ingatkan diri sendiri jangan ada tawar menawar, rundingan atau lembut hati ketika sedang lakukan time out ni. Demi kebaikan mereka untuk semua ni dan kita juga dalam mendisiplin anak.
Harus tegas dan jelaskan pada anak belum masanya. Jam loceng @ alarm belum berbunyi (jika ada). Jangan benarkan anak tinggalkan kerusi atau tempat time out tersebut.
Jika mereka langgar sila buat lagi sekali. Repeat sampai cukup masa. Dengan cara ni anak semakin lama akan faham. Inilah peraturan. Bukan suka-suka.
7. Jangan bercakap masa tengah buat time out.
Saya juga pernah buat. Cara ni tak betul. Jangan marah-marah, berleter, merungut, nasihat panjang sebab anak dah tahu waktu tu dia dah buat salah dan kita melarangnya. *kembali pada point no. 1 iaitu perlu ada sesi penerangan dan amaran sebelum time out.
Elak bercakap dengan anak jika anak ajak bercakap sekalipun. Ingat kembali tujuan asal kita time out mereka.
Tujuan asal kita adalah untuk tarik masa seronok anak dari aktiviti dia sebelum tu. Anak jangan diajak bercakap dengan sesiapa pun. Jangan peduli. Jangan layan sebarang permintaan mereka ketika time out.
8. Time out juga bermaksud kita beri ruang pada anak dan diri kita untuk bertenang. Time out cegah marah melampau pada kenakalan anak. Cegah diri kita dari memekik, melaung!
9. Jika anak sengaja kotorkan tempat time out. Arahkan mereka bersihkan tempat berkenaan sebelum tinggalkan tempat atau ruang tersebut.
10. Bincang dengan anak selepas time out. Duduk dan bercakap. Jelaskan pada anak kenapa dia telah di time out supaya anak-anak faham tujuan dan dapat pengajaran dari teknik ni.
Jelaskan juga jika mereka berkelakuan baik kita takkan buat begitu. Selesai peluklah anak. Biar diaorang tahu kita ibu bapa yang sentiasa sayang dan kasihkan mereka.
11. Hampir terlupa. Sepatutnnya point ni di atas. Segerakan time out setelah nampak perlakuan tak enak anak. Jangan lengahkan. Nanti anak tak faham. Dah kenapa mak aku letak kat situ.
12. Time out tak boleh dibuat selalu. Nanti kurang berkesan. Macam saya, saya buat bila benar-benar perlu sahaja. Contoh jika mereka buat sesuatu yang membahayakan diri dan orang lain, bergaduh sampai naik tangan dengan adik beradik berebutkan barang saya segerakan time out.
Yang lain-lain seperti..
-anak pukul-pukul meja sebab nak gula-gula walaupun sebelum tu dah diberi berulang kali..
– mengamuk sebab tak dapat mainan walhal dah siap janji sebelum tu no toys.. Sebab dah ada mainan yang sama kat rumah..
Hanya contohlah. Saya lebih suka ambil pendekatan ignore. Teknik pengabaian. Usah dilayan perlakuan sedemikian. Nanti kita akan bazirkan tenaga dengan memarahi anak. Ko cool je mak. Tak percaya buat. Nanti datanglah mereka pada kita.
*Time out adalah teknik yang mengambil masa. Bukan hari ni buat terus anak faham. Perlukan kesabaran.
Terfikir. Kalau kita as parents buat salah perlu tak di time out diri sendiri.. Kan?
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gigi Kekal Si Kecil Dah Mula Tumbuh, Perlukah Gigi Susu Dicabut? Ini Yang Doktor Gigi Sarankan, Mak Ayah Kena Ambil Tahu!
Gigi kekal sudah tumbuh di belakang, perlukah gigi susu dicabut? Hal ini sering menjadi dilema pada mama papa. Perlukah dibawa ke klinik atau biarkan ia tercabut sendiri.
“Mama tengok ni. Ada gigi baru tumbuh kat belakang gigi Anis,” kata Anis sambil mengangakan mulut ke arah ibunya. Setelah diteliti, memang ada gigi baru kekal tumbuh di belakang gigi kacip bawah. Memang sudah agak panjang dan tumbuhnya menyenget. Gigi kacip susunya itu juga sudah mula bergoyang apabila ditolak lembut dengan jari. Timbul kekeliruan pada fikiran si ibu sama ada ingin mencabut gigi susu tersebut untuk memberi laluan kepada gigi kekal tumbuh atau membiarkan sahaja gigi susu tersebut tercabut sendiri. Mama dalam dilema…
Situasi begini biasa terjadi pada kanak-kanak yang mula melalui fasa tumbuh gigi kekal seawal usia enam tahun. Bagaimana untuk membuat keputusan sama ada perlu mencabutnya atau tidak? Sekiranya dibiarkan adalah gigi kekal tersebut akan tumbuh senget dan bertindan.
GIGI SUSU MULA GOYANG
Menurut pandangan profesional pergigian, Dr Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen mengatakan masalah atau dilema ini biasa berlaku terutama sekali bagi ibu bapa dan anak pertama mereka. Katanya ramai yang mendapatkan perkhidmatan untuk mencabut gigi apabila gigi susu anak mereka mula bergoyang.
“Gigi susu pertama biasanya akan tumbuh apabila umur kanak-kanak berusia sekitar enam bulan dan biasanya apabila kanak-kanak berusia dua setengah hingga tiga tahun, semua gigi susunya telah tumbuh sepenuhnya. Biasanya gigi kacip akan tumbuh terlebih dahulu, diikuti dengan gigi geraham pertama, kemudian gigi taring dan gigi geraham kedua. Gigi bawah akan tumbuh dulu diikuti dengan gigi atas mengikut urutan tetapi ada juga yang sebaliknya gigi atas tumbuh dulu.
“Apabila umur kanak-kanak sekitar enam tahun, biasanya gigi kacip bahagian bawah akan mula bergoyang. Hal ini terjadi kerana akar gigi susu tersebut telah dihakis oleh gigi kekal yang mula bergerak ke permukaan gusi. Jika gigi yang bergoyang dicabut terlalu awal, maka gigi kekal yang bakal tumbuh akan menjadi makin lambat tumbuh kerana akar gigi yang menjadi rujukan telah tiada. Biasanya gigi yang bergoyang akan tanggal dengan sendirinya apabila tiba masanya,” kata Dr Mazleen.
Kanak-kanak akan memiliki 20 batang gigi susu. Warnanya putih dan akan mula luruh apabila mencecah usia lima tahun ke atas dan diganti dengan gigi kekal.
5 KEADAAN GIGI SUSU PERLU DICABUT OLEH DOKTOR
Walau pun begitu, Dr Mazleen memberikan beberapa keadaan yang memerlukan gigi si manja dicabut oleh doktor gigi iaitu:
1. Apabila gigi kekal telah tumbuh di bahagian belakang gigi susu pada bahagian rahang bawah atau gigi kekal telah tumbuh di bahagian hadapan gigi susu bagi rahang atas sedangkan gigi susu masih belum tanggal lagi.
2. Gigi susunya si manja boleh dicabut apabila ia telah rosak teruk dan selalu menyebabkan gusi bengkak dan bernanah serta sakit yang menyebabkan kanak-kanak sukar makan walaupun pernah dirawat beberapa kali oleh doktor gigi.
3. Keadaan gigi susu yang menyekat pertumbuhan gigi kekal atau menghalang gigi kekal dari tumbuh ke tempat sepatutnya.
4. Apabila sudah sampai masanya untuk gigi itu tanggal tetapi tidak tanggal juga pada usia lapan tahun. Hal ini kerana biasanya bila gigi kekal tidak kelihatan kerana berada di bawah gigi susu.
5. Sekiranya ibu dan bapa tidak mampu dan atau tidak berani untuk mencabut sendiri gigi anak yang sudah bergoyang.
MITOS TENTANG GIGI TIDAK TERSUSUN
Selain itu, menurut Dr Mazleen, terdapat mitos yang mengatakan sekiranya gigi susu yang sudah bergoyang tidak dicabut segera, gigi kekal yang tumbuh akan menjadi tidak tersusun dan bertindan. Katanya,hal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Terdapat beberapa keadaan dan faktor yang boleh menyebabkan gigi kekal tumbuh menjadi tidak teratur?
1. Keturunan
Rahang muka yang kecil dan gigi yang besar menyebabkan gigi tidak mendapat tempat untuk tumbuh jadi tumbuh secara tidak teratur. Jika ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali mempunyai gigi yang tidak teratur maka besar kemungkinan anak juga mempunyai masalah yang sama.
2.Gigi yang dicabut terlalu awal
Gigi yang rosak atau bergoyang yang dicabut terlalu awal akan menyebabkan gigi lain bergerak mengambil tempat kawasan yang dicabut. Hal ini mengakibatkan gigi yang sepatutnya tumbuh di lokasi tersebut tiada tempat . Biasanya gigi yang berlapis adalah gigi geraham kecil dan juga gigi taring.
3.Gigi susu yang tidak dicabut
Gigi tidak teratur biasanya terjadi apabila gigi susu yang tidak dicabut walaupun gigi kekal telah tumbuh. Pada kebanyakan keadaan, gigi kekal menjadi berlapis-lapis dan tidak tersusun.
TIP ELAK ANAK TRAUMA UNTUK PERIKSA GIGI
Dr Mazleen menyarankan ibu bapa agar membawa si manja untuk pemeriksaan gigi dari usia muda iaitu dalam usia dua atau tiga tahun. Bukan sahaja bertujuan cabut gigi, tetapi untuk pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Hal ini amat penting kerana apabila mereka sudah biasa dan tidak takut dengan doktor gigi maka senang untuk mendapatkan rawatan sama ada tampalan atau cabut. Jangan sesekali memaksa mereka untuk mendapatkan rawatan gigi. Pujuklah dengan cara yang baik. Bimbang sekiranya mereka tidak melakukan dengan rela hati mereka boleh menjadi trauma dan tidak mahu lagi membuat rawatan gigi sehingga dewasa kelak,”.
Katanya lagi, gigi yang bergoyang tidak semestinya terus dicabut. Gigi susu juga tidak semestinya dicabut oleh doktor gigi. Berjumpalah dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini Caranya Didik Anak Mendengar Cakap Ibu Bapa. Ustaz Ini Kongsi 9 Petua Islamik Yang Anda Mesti Buat
“Anak nakal tu,mesti mak ayah tak ajar anak”. Sikap anak kecil yang susah mendengar kata sememangnya menyebabkan ibu bapa hilang kesabaran, naik darah dan geram. Justeru, perkongsian penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek untuk ibu bapa mendidik dan mentarbiah anak-anak dengan cara betul supaya beroleh anak yang soleh dan solehah.
Di zaman yang serba canggih, cara didikan kepada anak-anak adalah berbeza dengan cara didikan dahulu. Semua ibu ayah sentiasa mendoakan anak mereka membesar sebagai hamba Allah yang taat kepada perintahNya dan mendengar cakap ibu bapa. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai khalifah untuk membentuk budi pekerti yang mulia berlandaskan syariat Islam. Berikut bagaimana mendidik anak-anak nakal supaya mendengar cakap ibu bapa.
1.Doa
Doa kebahagiaan rumahtangga dan mendapat anak-anak yang soleh dan solehah. Doa yang patut kita amalkan daripada Al-Quran iaitu Surah Al- Furqan ayat 74 yang bermaksud “Ya Allah kurniakan kepada kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati dan didiklah kami menjadi pemimpin kepada orang mukmin
2.Beri jawapan segera
Beri perhatian kepada anak jika anak bertanya kepada anda. Jangan pula sehingga anak bertanya atau panggil nama anda berulang kali. Seeloknya terus berikan jawapan setelah anak bertanya. “Ye sayang, apa dia. Mama dengar ni…”
Sesungguhnya anak-anak yang nakal adalah anak yang kurang diberi perhatian daripada ibu bapanya.
3.Teguran berulang kali
Namun jika kesalahan yang dilakukannya, anda harus menyampaikan mesej kepada anak-anak bahawa anda tidak suka sikapnya. Lakukan dengan cara teguran secara tegas. Beritahu kepada anak secara berulang kali ‘ tak suka’, ‘tak suka’. Contohnya, “Jangan tendang kucing, Allah tak suka, Allah tak suka. Manusia pun tak suka. Sakit kucing tu.” Tegur anak kecil dengan menggunakan pendekataan perasaan supaya mudah mereka faham.Buat baik diberi pujian dan sebaliknya akan dimarahi.
4.Pujian dan pelukan
Jika anak-anak melakukan kebaikkan berilah pujian dan pelukkan. Misalnya membantu anda membasuh pinggan. Berilah pujian berulang kali supaya anak berasa seronok atas kebaikkan yang dilakukannya. Juga peluk anak sebelum pergi sekolah atau bangun pagi supaya kasih sayang semakin menebal dalam diri anak-anak.
5.Hukuman
Sememangnya semua ibu bapa sayang kepada anak-anak. Namun ini tidak bermakna anak yang bersalah atau nakal tidak boleh dikenakan hukuman. Namun hukuman seperti pukul bukan sehingga boleh mencedera atau melukakannya. Adab memberi hukuman antaranya ialah pukul atau rotan di tapak tangan anda secara perlahan dan mesti dalam keadaan serius untuk menunjukkan ketegasan anda terhadap kesalahan yang dilakukannya. Katakan kepadanya, “Mama tak marah tetapi sebab adik buat salah, adik kena terima hukuman.” Bukan mudah untuk mengubah sikap anak menjadi seorang yang berdisplin dan mendengar cakap jika tidak dilakukan secara tegas.
6.Pujuk cara motivasi
Selepas hukuman, anda harus mengucapkan kata-kata motivasi bahawa ia adalah kesan akibat perbuatannya. “Salah adik kan kacau abang sedang tidur”. Namun pastikan anda tidak menghukum anak tanpa usul periksa untuk mengelak rasa tidak puas hati anak-anak sehingga menjejaskan hubungan kasih sayang antara adik beradik. Juga tidak salah jika anda memujuk anak selepas hukuman. Katakan kepadanya, “Mama minta maaf. Mama bukan nak rotan dan marah. Tapi mama nak nasihat adik, mama nak adik jadi orang baik. Bukan anak yang nakal dan tidak mendengar cakap ibu bapa”.
7.Penghargaan
Apabila anak melakukan kebaikkan, sekali sekali berikan penghargaan buat diri anak. Belikan makanan kegemarannya atau hadiah. “Jika adik nak lori tu, janji dengan mak atau ayah jangan gaduh-gaduh dengan abang lagi.”
8.Muhasabah diri
Anda sebagai ibu bapa harus semak diri sendiri adakah kita berjaya didik anak atau tidak. Adakah kita luangkan masa yang banyak bersama-sama anak. Suami juga perlu didik dan kerjasama dengan isteri supaya anak-anak dibimbing dengan cara yang betul.
9.Pemakanan tidak sihat
Cuba elakan memberi anak-anak minum kopi, gula-gula dan gula-gula getah sehinggga anak menjadi seorang remaja. Gula-gula getah dikatakan mempunyai radikal gula yang boleh memberi kesan negatif kepada sikap anak-anak. Gula-gula yang dikemam akan merangsang deria otak. Apabila anak-anak kemam gula-gula dalam mulut dia akan merangsang otak untuk membentuk personaliti yang dikenali sebagai sensitif yang melibatkan sikap pendiam, pendendam, memberontak dan pemarah. Kopi pula yang mengandungi kafein tidak digalakkan kerana ia akan membuatkan anak berjaga malam sehingga sukar bangun awal pagi. Didiklah anak tidur awal supaya anak dapat bangun awal kerana ia adalah ciri-ciri displin bagi seorang anak yang cemerlang.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI