Kerusi Keselamatan Bayi Wajib Digunakan Mulai Tahun 2020-Menteri Pengangkutan

Share

Penggunaan kerusi keselamatan dipraktikkan bagi ibu bapa yang mementingkan keselamatan anak. Malah ia menjadi satu kewajipan bagi setiap anak untuk diletakkan pada kerusi keselamatan sebelum memulakan perjalanan.

Setiap perjalanan di jalanraya mendedahkan pengguna kepada risiko kemalangan. Terkini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melalui laporan Bernama berkata kerajaan akan mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan bayi dalam setiap kereta persendirian pada tahun 2020.

PROGRAM KESEDARAN TENTANG KEPENTINGAN KERUSI KESELAMATAN

Sebelum penguatkuasaan secara mandatori pada tahun 2020, Kementerian Pengangkutan akan menjalankan beberapa program kesedaran tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi kepada orang ramai sepanjang tahun 2019.

“Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia (dari segi ) tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

Menurut Loke lagi, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

Sumber: Bernama

Published by
Azma ML