Kita tahu bahaya kesan asap rokok pada perokok. Tanpa sedar thirdhand smoke atau asap rokok yang melekat di persekitaran dalam rumah juga beri kesan buruk pada orang yang tak menghisap tapi turut menghidu terutamanya kanak-kanak.
Mungkin ada di kalangan ayah yang merokok beranggapan dengan tidak menghisap rokok di hadapan anak maka si kecil bebas daripada sebarang kesan buruk asap rokok. Namun kita terlupa kesan saki-baki asap rokok tersebut telah melekat di seluruh persekitaran rumah.
Anak-anak yang sedang membesar dan berekplorasi kawasan sekeliling rumah sudah pasti tidak akan terlepas daripada menyentuh, menghidu atau menjilat peralatan dalam rumah yang sudah terlekat asap rokok hisapan si ayah.
Tanpa sedar anda sendiri yang telah mendedahkan anak kepada bahaya asap rokok!
Tahu ke apa itu thirdhand smoke? Secondhand smoke kita pernah dengar kan. Kalau nak tahu lebih lanjut baca perkongsian daripada Dr. Khairul Hafidz, Founder & Chairman of #MedTweetMY tentang bahayanya thirdhand smoke ini.
Tahukah kalian, selain perokok dan secondhand smoke, ada juga istilah thirdhand smoke?
Thirdhand smoke terjadi apabila saki baki nikotin dan bahan kimia dari rokok melekat pada permukaan bahan-bahan indoor, yang akhirnya bereaksi dengan bahan tersebut membentuk bahan toksik kepada manusia.
Bahan campuran toksik ini juga mengandungi bahan-bahan penyebab kanser yang akhirnya dihidu oleh manusia. Ia membahayakan terutamanya kepada kanak-kanak.
Contoh asap melekat di dinding, pakaian atau perabot, lama-lama reaksi kimia menghasilkan bahan toksik campuran yang berbahaya.
Oleh kerana itu, matlamat kami adalah untuk membentuk PERSEKITARAN BEBAS ROKOK, bukan hanya orang berhenti merokok.
Kami mahu persekitaran bebas asap rokok dan orang awam bebas dari menjadi mangsa secondhand dan juga thirdhand smoke.
Sumber: Khairul Hafidz
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Makanan Baik Untuk Perkembangan Otak, Rajin-rajinlah Ibu Sediakan Untuk Anak
Kecerdasan otak si manja bergantung sepenuhnya kepada rangsangan sepanjang tempoh pertumbuhannya sejak usia bayi. Daripada pelbagai jenis rangsangan yang perlu diberi, salah satunya melibatkan pemakanan.
Makanan berkhasiat berupaya membantu meningkatkan tumpuan, menguatkan daya ingatan dan merangsang pertumbuhan sel-sel otak dan pada masa yang menyumbang kepada kesihatan tubuh secara menyeluruh. Mari kita kenali makanan yang dapat membantu kepintaran anak anda.
1. Bijirin penuh (wholemeal)
Roti merupakan salah satu makanan bijirin penuh yang boleh diambil. Disarankan mengambil bijirin untuk sarapan kerana masa yang panjang untuk menunggu waktu rehat tengah hari boleh melesukan otak yang dipaksa ‘bekerja’ pada waktu pagi.
Tabiat bersarapan pagi juga sangat baik untuk otak kerana dapat mengelakkan masalah lupa dan nyanyuk. Antara bijirin yang menjadi sunah Rasulullah SAW adalah barli dan gandum yang dibuat menjadi roti.
2. Omega 3, Omega 6, DHA & EPA
Kebanyakan sumber omega 3 datangnya daripada ikan. Ikan seperti tuna, salmon dan sardin mengandungi kandungan minyak ikan yang tinggi turut mengandungi Omega 6.
Masyarakat Jepun gemar menikmati menu ikan mentah, didapati mempunyai pencapaian akademik yang tinggi.
Selain daripada ikan, khasiat ini turut boleh didapati daripada minyak soya, biji labu dan minyak kacang walnut. Sementara itu, kekurangan DHA dan EPA meningkatkan risiko Alzheimer dan menjejaskan kapasiti memori. Keduanya boleh didapati dalam minyak ikan.
3. Telur
Telur mengandungi asid amino yang baik untuk otak selain menjadi sumber protein yang baik. Kuning telur kaya dengan acetylcholine yang mengurus daya ingatan. Khasiat daripada telur turut meningkatkan daya belajar dan menghilangkan kekaburan fikiran selain menjaga kesihatan neuron otak.
4. Kekacang
Antara kekacang yang menjadi pilihan utama sebagai makanan tambahan otak adalah badam. Bangsa Yahudi mengamalkannya untuk mendapatkan anaknya cerdas dan pintar. Disarankan untuk mengamalkan badam bersama kurma, kismis dan habatus sauda’ sebelum tidur selama 44 hari.
Kajian yang didedahkan pada tahun 2010 di International Conference on Alzheimer Diseases menunjukkan, kacang walnut yang menyerupai bentuk otak terbukti meningkatkan kemampuan belajar, menguatkan memori dan membaiki koordinasi motor pada manusia. Jenis kekacang lain yang boleh diambil adalah seperti kacang tanah, kacang hazel, kacang gajus dan biji-bijan.
5. Sayur-sayuran
David Perlmutter di dalam bukunya, The Better Brain Book menyatakan, bahagian tubuh yang paling sensitif terhadap serangan radikal bebas adalah otak. Jadi, sayur hijau pekat dan berwarna terang dapat membantu membendung serangan ini. Sebagai contoh, bayam mengandungi vitamin B9 yang meningkatkan memori untuk kecerdasan otak.
Vitamin C dan E di dalamnya pula meningkatkan sistem kognitif. Warna hijau pekat pada brokoli menunjukkan kandungan vitamin K yang tinggi berperanan meningkatkan fungsi kognitif dan kuasa otak.
Selain itu, lobak merah mengandungi komponen luteolin yang tinggi untuk mengelakkan proses penuaan pada otak. Komponen ini juga membantu masalah kehilangan memori dan keradangan pada otak seperti kajian yang dikeluarkan di dalam Journal Nutrition pada tahun 2010.
6. Buah-buahan
Untuk otak lebih cerdas, amalkan memakan buah setiap hari. Kajian Universiti Tuft, Amerika Syarikat menunjukkan keluarga beri dapat mengelakkan kehilangan kapasiti memori jangka pendek. Buah seperti strawberi, beri biru dan beri hitam mempunyai tinggi anthocyanidin iaitu antioksida, sangat bermanfaat untuk mencegah kerosakan dan membantu pemulihan sel-sel otak.
Buah epal pula mempunyai sejenis antioksida yang bernama quercetin yang melindungi sel-sel otak daripada kerosakan radikal bebas. Ia juga dapat mengurangkan risiko Alzheimer.
Buah sitrus kaya dengan vitamin C. Oren mengandungi vitamin C yang baik untuk sistem pertahanan tubuh. Selain itu, ia mempunyai flavonoids yang sangat bermanfaat untuk otak. Haruman segar oren dan lemon boleh merangsang otak dan menghilangkan rasa mengantuk.
Buah delima juga mengandungi khasiat yang sangat tinggi seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Dikenali sebagai superfruit, jus delima yang diambil sepanjang kehamilan dapat membantu melindungi otak bayi yang baru lahir.
7. Coklat
Coklat yang baik untuk otak ialah coklat tulen (pure butter cocoa) dan bukannya coklat manis yang menggunakan lemak sayuran biasa (compound chocolate). Ia mengandungi flavonoid yang memacu pembentukan dan pertumbuhan sel saraf baru pada otak lalu meningkatkan kemampuan memori.
Kredit foto (top image): Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Nak Isteri Sentiasa Bersemangat Suami Kena Buat Ni. Mudah Je Tapi Boleh Berikan Kesan Yang Sangat Besar!
Para suami selalunya terlepas pandang keperluan emosi isteri kerana terlalu sibuk. Jadi, jika anda tidak mampu untuk puji isteri selalu, sekurang-kurangnya janganlah jadi kedekut ye!
Kurang penghargaan dan pujian dari orang sekeliling boleh berikan impak besar kepada diri seseorang. Antaranya boleh menurunkan paras hormon dopamin. Banyak kesan kepada emosi dan fizikal sekiranya apabila hormon dopamin ini menurun.
Antaranya ialah depresi dan pemikiran yang kabur (tidak tajam). Mereka yang mengalami kekurangan dopamin akan mengalami masalah untuk berfikir, memori yang lemah dan reaksi yang lambat. Pendek kata ia menyebabkan kurangnya motivasi dan sukar untuk menyudahkan sesuatu walau pun mudah. Suami-suami perlu tahu hal ini, jika tidak mampu untuk memuji isteri sekurang-kurangnya anda jadi kedekut untuk berbelanja untuk isteri!
Perkongsian Dr Taufiq Razif membincangkan tentang perkara ini. Rupanya apabila suami jarang memuji dan menghargai isteri, hormon dopamin pada isteri berkurangan dan boleh menjadikan mereka kurang bersemangat. Tidak mustahil ia boleh mendorong kepada tekanan perasaan. Berikut ialah perkongsian beliau;
Kenapa Saya Tak Boleh Kedekut Dengan Isteri?
Kelemahan terbesar saya adalah saya terlalu fokus kerja sampai saya terlepas pandang dan KURANG PERASAN dengan apa yang isteri saya dah buat untuk saya dan anak-anak.
Bila saya KURANG PERASAN, KURANG MEMUJI dan KURANG MENGHARGAI sebenarnya saya sedang RAMPAS HORMON DOPAMINE isteri saya.
Padahal hormon dopamine ni sangat la penting untuk naikkan balik semangat dan motivasi dalaman isteri saya!
Hormon dopamine ni akan meningkat kalau saya selalu menghargai dan puji isteri saya kerana benda ni semua adalah ‘social reward’ pada otak isteri saya.
Tapi..
Inilah kelemahan terbesar saya, saya kurang menghargai dan memuji!
Shopping Online Boleh Meningkatkan Dopamine Isteri
Tu la kenapa saya selalu bagi isteri saya ‘shopping’. Paling saya suka sebenarnya kalau isteri saya ‘online shopping’ je sebab perasaan teruja menunggu barang sampai dan membuka bungkusan ( anticipating the reward ) tu la yang akan membuatkan dopamine isteri saya makin cepat meningkat!
Tak percaya cuba korang tengok mimik muka isteri korang masa dia baru buka bungkusan atau parcel yang sampai tu. Berbunga bunga dan berseri wajahnya kan? Tu lah tanda dia sedang BAHAGIA ?
p/s : Ni la cara saya tutup kelemahan saya yang selalu sibuk dan kurang memuji dan menghargai. Apa pun, saya akan tetap cuba baiki diri. Doakan saya!
Sumber: Dr Taufiq Razif
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Betulkah Cara Berpantang Orang Dulu-Dulu Relevan Untuk Diikut? Doktor Ini Beri Penjelasan
Berapa ramai ibu-ibu berpantang sekarang yang masih ikut pantang larang orang dulu-dulu?
Mengikut doktor perubatan, tiada salahnya kalau ibu lepas bersalin tidak ikut cara berpantang orang dulu-dulu.
Biasanya ibu lepas bersalin akan mengikut petua dan pantang larang yang menjadi amalan sejak zaman nenek moyang lagi.
Pernahkah kita terfikir apa relevannya setiap pantang tersebut dengan zaman sekarang?
Tetapi bila baca penjelasan oleh Dr Rusyainie Ramli berkenaan dengan pantang larang orang dulu-dulu, tak salah untuk kita pertimbangkan terlebih dahulu sebelum mengikut segala pantang tanpa usul periksa.
Apa yang penting semasa proses berpantang, ibu lepas bersalin hendaklah makan makanan berkhasiat, minum air 2 hingga 3 liter sehari dan buat sedikit pergerakan mengikut kemampuan masing-masing.
ORANG DULU-DULU KATA
1. Minum air banyak nanti urat kembang masa pantang lepas bersalin.
Kenyataan:
Zaman dulu, nak jerang air bukan senang. Nak kena ambil air kat perigi. Lepas tu kena dapatkan kayu dan hidupkan api. Arwah nenek saya pernah mengajar saya jerang air dalam periuk besar, dan bagaimana nak mengelakkan air yang dimasak tidak berbau asap api.
Air yang berbau asap api, rasanya payau. Bayangkan kalau minum air banyak, tak ke kena jerang air. Susah tahu nak menjaganya. Jadi paling senang, orang dulu cakap, jangan minum air banyak.
Kes naya air kena catu macam orang yang fungsi buah pinggangnya gagal. Untuk menghasilkan susu yang banyak, ibu perlu minum air yang mencukupi dalam 2 – 3 liter. Susu badan punya komponen air yang tinggi. Urat? Saya cerita dalam pos lain.
2. Makan ikan atau ayam atau telur nanti gatal tempat luka, tak kiralah sebab pembedahan atau cedera.
Kenyataan:
Zaman dulu, mana ada orang jual ayam dan telur kat pasar macam sekarang. Ayam bela sendiri. Nak ikan kena pergi menjala kat laut atau mengail kat sungai. Ingat senang-senang boleh beli kat kedai. Ayam tu makanan mewah zaman dulu-dulu.
Kalau makan ayam hari-hari, habislah ayam sereban. Bukan boleh sejukbekukan ayam macam sekarang. Jadi, keluarlah petua makan ayam dan telur nanti gatal. Bukan semua kampung dekat dengan laut, nak cari ikan mak ai bukan perkara mudah. Daging lagilah.
Masa hari raya atau kenduri kendara baru dapat rasa. Ikan, ayam, daging dan telur mengandungi protein yang tinggi yang amat diperlukan untuk pembaikan tisu-tisu badan.
Lainlah kalau memang ada alahan makanan tertentu. Atau ada orang memang sistem penghadaman dia tak sesuai dengan sesetengah makanan. Yang tu elak la. Anak saya alahan cili takkan saya nak bagi dia makan makanan pedas. Memang sengaja la kan cari pasal.
3. Minum ais nanti badan sakit, cepat tua dan perut buncit.
Kenyataan:
Zaman dulu, yang mengusahakan ais selalu pakcik Cina yang ada peti sejukbeku yang besar. Saya masih ingat bekas loyang yang besar yang arwah nenek saya gunakan untuk membuat ais. Masa saya kecil dahulu, arwah nenek saya ada peti ais besar. Dia menjual ais yang dikeluarkan dari bekas dan dipotong menggunakan gergaji kecil.
Ada anak-anak kampung datang membeli ais. Kalau bulan Ramadhan, makin laku la ais nya. Harga ais mahal, lebih mahal dari kuih-muih. Jadi, orang dulu-dulu tak bagilah kita minum ais konon-konon macam-macam la alasan.
Untuk wanita kalau kita naik berat badan, lemak memang akan terkumpul kat abdomen, paha, lengan. Tak ada kaitan langsung lapisan lemak tu dengan ais. Sebenarnya tiada kajian saintifik pun yang membuktikan mitos itu benar. Tak nak buncit, pergi buat senaman, bukan dengan sapu produk bani calit.
4. Mandi malam nanti kena paru-paru berair.
Kenyataan:
Zaman dulu, tandas dan bilik mandi dibina di luar rumah. Bayangkan dengan tiada bekalan elektrik, jalan nak ke luar rumah itu kan gelap. Dah gelap, memang kalau ada binatang merayap ke, memang selamatlah kena.
Silap haribulan, salah langkah, terus ke dalam perigi jatuhnya. Sebab itulah orang dulu-dulu buat petua ini, nak mengelakkan kita keluar ke bilik mandi malam-malam. Zaman sekarang pusing pili air terus keluar la air.
Tak payah susah-susah nak ke luar rumah. Siap ada pemanas air lagi yang boleh digunakan dengan memetik suis. Tidak mungkin kita boleh mendapat jangkitan kuman pada paru-paru (penumonia atau paru-paru berair) dengan mandi malam.
Macam mana air nak masuk paru-paru kalau fikir logik sebab bita telan air pun masuk kot esofagus, sedangkan trakea kita sebelah saja dengan esofagus. Kita ada refleks dari saraf kranial yang halang air masuk trakea. Sebenarnya, mandi dengan air suam sebelum tidur merupakan salah satu cara yang dicadangkan untuk mendapatkan tidur yang lena.
5. Jangan sapu rumah malam hari nanti tolak rezeki.
Kenyataan:
Rezeki itu kurniaan Allah SWT pada kita, yang bergantung pada usaha kita selagi daya sebagai manusia. Orang dulu-dulu cakap macam ni, sebab malam-malam mana ada lampu terang benderang macam kita sekarang.
Dulu pakai lampu minyak tanah. Kalau malam-malam kita sapu rumah, memang tak nampak la habuk dan kotoran yang kita nak sapu tu. Bukan sebab sapu rumah belah malam tentukan rezeki kita. Orang yang kerja macam saya, malam-malam lah saya ambil peluang nak vakum dan mop rumah. Siang kan saya pergi kerja.
6. Kalau lepas bersalin, jangan tersadung ibu jari kaki. Nanti bentan.
Kenyataan:
Bentan saya dah cerita panjang lebar dalam topik sebelum ini. Tapi siapa yang pernah tersepak atau tersadung jari kaki, tak kiralah jari kaki mana, sakit sangat ok. Saya pernah tersepak katil bilik tetamu kat rumah saya, sampai patah tulang jari ke-4 kaki kiri.
Saya tak dalam pantang pun tu. Saya yang terlebih cemerkap sampai jadi begitu. Orang dulu-dulu cakap begitu sebab dia nak kita ni berhati-hati la. Orang yang lepas bersalin, dah lah tak sihat sempurna lagi, tambah lagi pasal sakit jari kaki tersadung, tak ke kes naya.
Banyak lagi pantang yang tidak masuk akal yang diamalkan oleh orang-orang kita.
Zaman dah moden. Sains dah maju. Cara hidup juga dah berubah. Lantas, petua-petua yang tidak sahih ini boleh dielakkan kerana sains membuktikan sebaliknya.
Sumber: Dr Rusyainie Ramli
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI