Ada sesetengah kanak-kanak memang ada masalah tiap kali nak buang air besar. Kadang sampai menangis-nangis meneran nak membuang. Tapi sudahnya gagal juga nak membuang. Kesian tengok si kecil yang ada masalah sebegini.
Dalam perkongsian yang dibuat oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, perkara sebegitu sering menjadi persoalan yang diajukan kepadanya ketika bekerja di klinik mahupun ditanya di laman Facebook.
Menurut Dr Zubaidi sembelit bukanlah satu penyakit malah kalau si kecil anda membuang tiga hari sekali juga masih dikira normal. Dalam perkongsian tersebut, Dr Zubaidi turut memberi saranan kepada ibu ayah yang tidak mahu menggunakan ubatan sebagai solusi untuk masalah tersebut.
SEMBELIT DI KALANGAN BAYI DAN KANAK-KANAK
“Doktor, anak saya sudah tidak buang air besar semenjak semalam. Saya risaulah..”
Itu adalah pertanyaan yang sering saya terima sama ada ketika bekerja di klinik, atau menjawab soalan-soalan di facebook.
Saya sering memberitahu ibubapa bahawa sembelit bukanlah penyakit, dan ia tidak didiagnosakan dengan mengira bilangan hari mereka tidak buang air besar. Malah kalau tiga hari sekali masih dikira normal jika tiada tanda-tanda bayi atau kanak-kanak itu mengalami sembelit.
Tanda-tanda anak sembelit
Antara tanda-tanda itu ialah bayi atau kanak-kanak itu menangis dan menunjuk rasa resah atau tidak selesa ketika membuang besar. Bagi kanak-kanak yang lebih besar akan mengadu rasa sakit atau mereka kelihatan meneran ketika sedang membuang air besar. Selain itu najis mereka kelihatan kering, keras, berbiji-biji seperti biji kacang. Kentut dan najis juga mungkin berbau lebih busuk.
Dalam kebanyakan kes yang berlaku, sembelit mula disyaki apabila bayi atau kanak-kanak itu hanya membuang air besar sebanyak tiga kali dalam seminggu. Ini menyebabkan mereka tiada selera untuk makan dan perut menjadi kembung.
Sering kali juga saya ditanya mengenai punca berlaku sembelit. Antara punca utama berlakunya sembelit ialah susu formula. Bayi yang diberikan susu formula mudah mendapat sembelit berbanding bayi yang diberikan susu ibu kerana susu formula sukar dihadamkan dan diserap masuk ke dalam usus.
Begitu juga jika bayi yang mula diberikan makanan separuh pejal juga mudah sembelit. Usus mereka yang tidak matang belum dapat berfungsi sepenuhnya dengan baik. Jadi pastikan makanan separuh pepejal yang hendak diberikan adalah makanan yang lembut dan mudah dihadam. Banyak kandungan air dalam makanan itu ketika menyediakannya.
Bayi dan kanak-kanak yang tidak selera untuk minum susu kerana demam, selsema, jangkitan pada tekak dan mula tumbuh gigi mudah mengalami sembelit kerana sebab kekurangan air dalam badan atau disebut dehidrasi. Bagi mengelakkan dehidrasi yang berterusan, selalunya tubuh akan menyerap lebih banyak air dari najis bagi menampung kekurangan air dalam badan. Ini menyebabkan najis menjadi lebih kering dan keras, akhirnya menyebabkan najis disimpan lebih lama dalam usus besar dan menyebabkan sembelit.
Saya tidak menafikan ada beberapa kes di mana punca sembelit disebabkan oleh penyakit kecacatan semasa lahir (congenital disease)yang disebut Hirschprung’s disease apabila lubang dubur agak ketat dan sukar membuang air besar. Begitu juga jika lubang dubur tidak dibentuk dengan sempurna seperti dalam kes penyakit anorectal malformation, spinal bifida dan cystic fibrosis.
Bagi bayi atau kanak-kanak yang sering mengalami sembelit, saya cadangkan dibawa untuk pemeriksaan doctor agar penyakit kecacatan semasa lahir seperti Hirchprung’s disease dapat dikenalpasti dengan lebih awal. Penyakit-penyakit seperti ini mungkin memerlukan rawatan yang lebih agresif seperti pembedahan, jika tidak masalah sembelit akan berulang, sehingga ada kalanya mereka tidak boleh membuang air besar untuk beberapa bulan dan menyebabkan abdomen mereka kembung.
Cadangan untuk mak ayah yang nak elak pemberian ubat
Bagi ibu bapa yang mahu mengelakkan pemberian ubat, saya cadangkan melakukan beberapa cara :
1. Baringkan bayi dengan kaki ke atas dan cuba lakukan pergerakan seolah-olah sedang mengayuh basikal di udara. Ini akan merangsangkan pergerakan najis dalam usus.
2. Jika bayi yang berusia lebih enam bulan ke atas dan menyusu susu formula, boleh berikan makanan separuh pepejal seperti lobak yang dikisar dan disediakan secara segar. Berikan pada kadar yang berpatutan dan minta nasihat doctor. Ini akan menambah kandungan serat dalam pemakanan mereka dan memudahkan mereka buang najis dengan lebih mudah.
3. Bagi kanak-kanak yang berumur satu tahun ke atas boleh diberikan air buah-buahan seperti tembikai atau air mineral suam dalam kadar yang berpatutan. Memberikan jus betik yang dikisarkan juga sangat baik untuk mereka, kerana selain mempunyai banyak serat, betik juga mengandungi bahan semulajadi yang dapat merangsang pergerakan usus.
Jika ibubapa telah mencuba langkah-langkah tersebut tetapi tidak berjaya, maka bolehlah menggunakan ubat-ubat yang diberikan doctor. Antara ubat yang selamat digunakan untuk bayi enam bulan ke atas ialah Lactulose, kecuali bagi mereka yang mempunyai masalah galactose intolerant. Lactulose dijual sebagai ubat ‘over the counter’ iaitu pembeliannya tidak memerlukan preskripsi.
Lactulose boleh diambil sebanyak dua atau tiga kali sehari, dan selalunya mengambil masa empat jam untuk mendapat kesannya.
Bagi kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 5-10 ml dua kali sehari.
Bagi bayi berumur 11 bulan hingga ke 5 tahun, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 2.5-5 ml dua kali sehari.
Bagi bayi berumur kurang dari setahun, perlukan pendapat ahli farmasi atau doctor kerana dosenya bergantung kepada berat bayi itu. Tanda sembelit bayi atau kanak-kanak itu telah pulih apabila mereka mengeluarkan najis yang lembut 2 atau 3 kali sehari. Bagi ubat-ubat lain yang lebih ‘kuat’ memerlukan pandangan doctor sebelum diberikan. Jika masalah sembelit masih tidak reda, dapatkan nasihat doctor.
sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI