Kesian Tengok Ibu Terkial-Kial Bila Bayi Menangis Nak Menyusu Di Tempat Awam. Ikut Pesanan Jururawat Ini

Share

Kesian tengok ada ibu yang terkial-kial bila bayi menangis nak menyusu di tempat awam. Ibu jadi serba salah untuk menyusukan anak di khalayak ramai tetapi kehendak bayi yang tak faham apa-apa lagi mesti dipenuhi.

Bila dah jadi ibu menyusu anak kenalah pandai ‘cover line’ bila si kecil menangis nak menyusu di tempat awam.

Itu dilema sesetengah ibu menyusu yang mungkin tak biasa menyusukan bayi di tempat awam. Bagi yang biasa sudah tentu tahu apa patut dibuat dan persediaan sudah dilakukan.

Puan Bel Nawhen selaku Jururawat Terlatih berpengalaman berkongsi tips dan panduan kepada ibu-ibu menyusu dan peranan yang patut dilakukan oleh masyarakat sekeliling juga.

1) MENYUSUKAN DI TEMPAT AWAM

Punya anak menyusu badan kebiasaannya memerlukan kita untuk bersedia bila-bila masa untuk menyusukan anak.

Tidak ada timing tertentu bila kala anak mahu menyusu dan seringkali bila ‘alarm’ dari si anak berbunyi, memang tak boleh dinanti-nanti.

Tetapi, apabila menyusukan ditempat awam, ia amat berbeza dengan menyusukan anak di rumah.

Sebab di rumah, kita biasa selak sahaja baju dan beri bila perlu tetapi di tempat awam, kita perlu menjaga tertib, tidak boleh main selak sahaja ataupun membiarkan anggota terlindung dari kelihatan.

Maka, sedikit sebanyak kita perlu praktis cara menyusukan anak di tempat awam dahulu bersama anak di rumah (seperti mengajar anak untuk dicover menggunakan shawl/pasmina) kemudian barulah anak boleh terima perubahan sedikit demi sedikit. Iyalah, dia dah selesa menyusu dengan cara dia di rumah, ditempat awam pula sebaliknya.

Antara cara lain yang boleh kita lakukan untuk menjayakan penyusuan tidak kira secara terus atau melalui botol (susu perahan) adalah dengan:

• Cuba cari bilik penyusuan atau tumpang surau di tempat yang kita kunjungi untuk tujuan menyusukan anak anda.

• Cuba pula cari tempat-tempat terselindung (jika tidak disediakan bilik penyusuan), atau tumpang sudut di dalam kedai makan bagi tujuan menyusu bayi anda.

• Bersedia dengan memakai tudung labuh menutup dada agar boleh menjadi pelindung kepada si anak dan payudara terlibat.

• Boleh pakai baju penyusuan yang ada dijual yang hanya perlu diselak atau ada bukaan bahagian payudara tanpa perlu mengangkat keseluruhan baju.

• Pakai pakaian berzip dihadapan dan bra yang dikhaskan untuk menyusu agar boleh mendedahkan hanya bahagian areolar untuk tujuan hisapan si anak. Di sini kita boleh meminimalkan pendedahan bahagian lain tubuh.

• Bagi yang tidak bertudung, boleh bawa shawl, nursing cover atau pasmina untuk tujuan menutup tubuh dan bayi semasa menyusu. Boleh juga guna kain lampin si anak untuk tujuan cover.

• Boleh juga sediakan satu dua botol susu perahan yang cukup untuk aktiviti di luar jika boleh membantu.

• Jika keadaan mendesak dan si anak kelihatan menganggu perhatian orang sekeliling, jadikan suami anda sebagai benteng atau pelindung anda saat menyusukan bayi.

2) TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT

• Tundukkan pandangan. Jangan ingat ibu suka-suka nak menunjuk payudaranya untuk menyusukan bayi. Itu bukan hal jelik yang perlu anda hairankan.

• Beri ruang. Seeloknya jika anda melihat si ibu sedikit kekok dan si anak pula mula meragam dan tempat anda duduk merupakan tempat ideal untuk si ibu menyusukan anak, berilah ruang anda itu kepada si ibu dan beralihlah kedudukan anda dan berhadapan dengan si ibu kepada membelakanginya. Hormati hak si anak dan si ibu.

• Jika anda tahu lokasi sesuai untuk si ibu menyusukan anaknya, sila tunjukkan jalan kepadanya.

• Jangan curi pandang. Ibu pun ada rasa malu dan serba salah antara kehendak si anak dan rasa malunya di khalayak walaupun telah sempurna ditutup payudaranya.

Photo credit to Nia
Sumber: Bel Nawhen

 

Published by
Hasnita Sawal