Cukup risau bila anak tidak nak belajar. Puas dipujuk, tetap tidak mahu. Jika ajak main di taman atau apa sahaja barang permainan cepat je. Siapa yang tak bimbang apabila anak usia enam tahun tahu lagi membaca dengan lancar. Lebih menakutkan anak jiran sebelah rumah sudah pandai membaca! Aduh!! Memang stress je rasanya. Namun  pendapat Pengiat Industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Norazura Ismail ini mampu memberikan kelegaan kepada ibu-ibu di luar sana. Kenapa tu? Ikuti pendapatnya ini.

Apa salahnya jika anda cuba melihat dan mengenalpasti selain kecerdikan dalam akademik, apakah kelebihan dan keistimewaan anak anda ini dari sudut yang lain. Mungkin anak anda pandai melukis. Belajarlah memahami potensi lain dalam diri anak. Anda boleh memberi dorongan kepada minat dan hobi melukisnya. Pujilah dia bila dia boleh menghasilkan satu lukisan yang istimewa walau dalam masa yang sama dia gagal menunjukkan kemampuan dalam pelajarannya.

Kesilapan Besar Jika Paksa Anak Belajar. Ini Masa Ibu Ayah Kenal Potensi Diri Anak
Belajarlah memahami potensi lain dalam diri anak sama ada kebolehan melukis atau menari ballet

Dia sebenarnya insan yang istimewa kerana dia boleh menzahirkan imiginasinya dalam bentuk lukisan yang cantik. Dia sebenarnya seorang yang sangat kreatif dalam berfikir dan menghasilkan idea. Tidak mustahil, dengan minat apatah lagi ada dorongan dan galakan yang berterusan dari anda, hobi yang diminatinya ini boleh memberi kejayaan kepadanya di masa depan. Anda boleh galakkan anak untuk meneruskan pelajarannya dalam bidang kemahiran yang diminatinya.

Kesilapan besar kita sebagai ibubapa ialah apabila kita menilai anak hanya dari segi akademiknya.

Kesalahan kita sejak dari anak kita mula masuk TADIKA  ialah kita hendak sangat anak kita cepat pandai walaupun baru masuk TADIKA.  Ibubapa pasti akan merunggut atau bising  bila anak yang belajar di TADIKA lambat dapat menguasai kemahiran membaca. Kita sering beri galakan dari sudut kepandaian akademik hingga kita lupa bahawa kemampuan anak mungkin tidak sama dengan harapan kita.

Oleh kerana kita meletakkan harapan yang sangat tinggi pada anak yang masih di awal usia itu, hingga kita lupa untuk menggilap potensi diri anak dari aspek perkembangan yang lain. Kita sebagai ibubapa kekadang lupa untuk melihat potensi dan kemampuan anak dari sudut yang lain. Dan kita juga lupa untuk beri pujian pada anak dari sudut yang lain.

KESILAPAN 1

Ads

Jom lihat satu contoh. Ada anak kerana telah diberi latih tubi yang berterusan dari awal maka dia boleh membaca seawal 3 tahun tetapi anak ini kurang pandai bergaul dengan kawan-kawan sebayanya. Ibubapa mungkin nak anak fokus pada membaca hingga lupa bahawa dunia anak adalah bermain dan terus bermain. Ruginya anak-anak awal usia yang tidak diberi peluang untuk mengisi sepenuhnya ruang dalam kehidupannya untuk bermain. Seketika kita lupa bahawa dengan bermain anak-anak belajar pelbagai perkara.Tak salah mendedahkan anak pada pembacaan awal, yang salah ialah bila memaksa anak dan meletakkan harapan yang tinggi supaya anak-anak cepat pandai membaca sama seperti anak orang lain. Biarlah anak-anak awal usia ini memilih minat dan kecenderungan mereka sendiri.

KESILAPAN  2

Jom lihat pula apa berlaku di TASKA@TADIKA maupun anak-anak yang baru memasuki Tahun satu di Sekolah Rendah.  Pengasuh  pendidik maupun guru di TASKA TADIKA dan sekolah sering membandingkan anak-anak dari sudut kepandaian akademiknya. Anak yang cepat pandai membaca di awal usia,  anak itulah yang selalu dipuji pengasuh pendidik@ guru. Manakala anak yang agak aktif dan banyak bertanya apatah lagi lambat sedikit menguasai pembacaan, anak itu tidak dipandang dan akan sering dimarahi. Para pendidik pun suka  anak-anak yang pandai sebab itulah yang diamanahkan oleh ibubapa yang menghantar anak ke TASKA TADIKA atau Sekolah. Untuk seketika kita semua lupa bahawa anak-anak adalah berbeza dari pelbagai sudut. Kita lupa untuk memahami setiap anak adalah berbeza.

Ads

KESILAPAN 3

Untuk anda yang mempunyai anak-anak yang telah bersekolah, cuba kenalpasti potensi diri anak. Fahami anak dari sudut sikap, tabiat, kecerdikan dan juga kemahiran yang dimilikinya. Jika anak anda berpotensi besar dalam akademiknya, beri galakan untuk anak meneruskan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya untuk anak yang kurang pencapaian akademiknya, kenalpasti kemahiran yang diminatinya. Bimbing anak untuk menggilap kemahiran yang dimilikinya. Puji anak yang mempunyai bakat@potensi dalam bidang kemahiran tertentu. Jangan samakan anak yang cerdik akademiknya dengan anak yang mempunyai kepandaian  kemahiran dalam sesuatu bidang. Berlaku adil lah pada anak-anak anda sendiri.

Kesilapan Besar Jika Paksa Anak Belajar. Ini Masa Ibu Ayah Kenal Potensi Diri Anak
Ibu bapa perlu bertindak sebagai penasihat atau pembimbing bukan sebagai diktator yang menentukan masa depan anak-anak anda sendiri.

Kesimpulannya, saya tekankan lagi setiap anak adalah tidak sama jadi belajarlah memahami perbezaan anak-anak. Paling penting peranan kita kita sebagai ibubapa ialah untuk beri peluang kepada anak memiih sesuatu yang diminatinya. Jangan sesekali memaksa anak dalam menentukan minat atau memilih bidang yang ingin  diceburinya. Anda perlu bertindak sebagai penasihat@pembimbing bukan sebagai diktator yang menentukan masa depan anak-anak anda sendiri.  Doakan kejayaan anak-anak kita dalam apa jua bidang yang diceburi @ diminatinya. Semoga anak-anak kita berjaya bukan sahaja dalam kerjayanya di dunia malah juga kejayaan di SANA jua.

Ads

Sumber: pnnorazuraismail.blogspot.my

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI