Kesilapan mendidik anak tentu akan memberi kesan kepada tingkah laku anak-anak. Akibatnya anak-anak tidak mendengar kata ibu bapa.
Semua yang dah merasai betapa besarnya tanggungjawab yang perlu ditanggung pasti akan mengangguk setuju. Tidak ada apa pun perkara yang senang dalam membesarkan manusia supaya dia jadi insan yang berguna pada masa senang, tetapi pengalaman membesarkan anak adalah pengalaman yang sebenarnya manis di dalam pahit.
Walau bagaimanapun, ada bermacam panduan yang boleh membantu kita sekurang-kurangnya lebih bersedia dalam menjalani hidup sebagai seorang ibu atau bapa. Berikut adalah lima kesalahan yang kami rasakan perlu dikongsi supaya perjalanan anda sebagai ibu dan bapa menjadi lebih mudah.
- Tidak ajar anak tidur awal
Ramai ibu bapa merungut kenapa anak-anak mereka tidak dapat tidur pada waktu malam, berjaga, melalak, nak ajak main tetapi pada waktu siangnya pula lena. Kes ini selalunya melibatkan anak kecil. Ini berlaku kerana dari mula lagi ibu bapa tidak mendidik anak untuk tidur awal. Semasa anak masih bayi, ajar anak tidur dari awal walaupun dia tidak mengantuk. Seeloknya lepas jam 7 dah tidur dan si ibu perlu tidur sekali dengan anak. Memang perit sikit untuk korbankan masa berjaga kita yang sangat terhad tapi amalan ini jika dilakukan dengan konsisten, akan melatih anak supaya dapat tidur awal dan tidak berjaga pada awal pagi mintak bermain dengan dia.
- Anak pula perintah ibu bapa
Saya perasan ramai ibu bapa yang jadi takut nak marah anak. Mungkin terlalu terpengaruh dengan pendidikan barat yang terlalu mementingkan hubungan “diplomatik” di antara anak dan ibu bapa, sehinggakan kadangkala apabila anak-anak mula mengganggu orang lain di tempat awam pun, dibiarkan saja tanpa sebarang teguran. Adakah itu baik? Tidak. Mendidik anak-anak untuk berani memerhatikan dunia adalah satu perkara, tetapi sehingga ada yang membiarkan saja perangai anak huru hara adalah amat tidak patut dilakukan. Teguran masih diperlukan dan kadangkala, marah itu perlu ada.
- Tidak mahu anak bersusah payah
Berkat tahap kemampuan kita yang semakin baik, semakin ramai ibu bapa yang mampu membelikan anak-anak mereka bermacam benda. Walaupun begitu, kita perlu sedar apabila diberikan dengan pelbagai benda seperti gajet atau permainan, ini akan membuatkan anak tidak belajar erti susah payah mendapatkan sesuatu. Seorang anak perlu faham yang barang yang dia perolehi tidak jatuh dari langit dan dia juga perlu memahami yang setiap barang yang diperolehi, sepatutnya mempunyai makna yang besar.
- Beri gajet untuk diamkan anak
Ini kerap berlaku zaman ini. Terlalu ramai ibu bapa yang tidak mahu anak mereka huru-hara, menggunakan cara paling mudah iaitu memberikan gajet seperti telefon pintar atau gajet untuk mendiamkan mereka. Cara ini rasanya tidak bagus kerana apa yang berlaku sebenarnya adalah ibu bapa mengalihkan perhatian anak-anak ke satu perkara lain, yang lama kelamaan akan membuatkan ibu bapa terpaksa bergantung dengan gajet dalam semua perkara. Gajet bukanlah penyelesaian. Cuba cari jalan bagaimana hendak mengawal anak anda tanpa menggunakan gajet.
- Terlalu takut kecewakan anak
Jika ada ibu bapa yang mempunyai dua atau lebih anak, pasti akan timbul masa di mana seorang anak terpaksa mengalah dengan anak lain. Untuk memujuk yang mengalah, ibu bapa mula menjanjikan dengan beliau sesuatu sebagai ganjaran yang dia akan dapat jika dia mengalah, secara sembunyi-sembunyi. Ada dua perkara akan berlaku. Yang pertama, anak anda akan lebih kerap mengalah untuk mendapatkan imbuhan. Dua, jika diketahui anak yang tidak mahu mengalah, itu akan mencipta jurang di antara dia dan adik beradiknya. Didik anak supaya mengalah dengan ikhlas kerana mengalah itu perkara yang baik antara adik beradik. Lebih sukar, tetapi untuk jangka masa panjang Insya Allah anda akan nampak kesannya.
Sumber: iluminasi.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI