Khidmat Bimbingan Kerohanian MyCareCoV19 Urus Emosi Rakyat Malaysia Untuk Semua Agama & Bangsa Di TV Al-Hijrah

Share

Dalam mendepani isu pandemik Covid-19 yang sudah memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan secara psikologi terhadap sebilangan besar masyarakat.

Sebagai inisiatif bagi memberi bantuan kerohanian dan psikososial untuk rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) hari ini melancarkan slot MyCareCoV19 sebagai salah satu usaha untuk memberikan khidmat bimbingan kerohanian, nasihat perundangan dan pengurusan emosi buat rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

Program yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kumpulan Media Karangkraf, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Majalah Pa&Ma dan Majalah Keluarga itu sebagai segmen dalam rancangan bual bicara pagi Assalamualaikum di TV Al-Hijrah.

Slot MyCareCoV19 dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam program Assalamualaikum hari ini, lebih dua juta penonton TV AlHijrah berpeluang berinteraksi dengan panel professional yang dijemput ke studio setiap hari berkisar kerohanian dan psikososial.

Bersiaran Setiap Hari Bermula Esok

Menggunakan tagline Bina Syurga Di Rumah. Bina Rumah Di Syurga. Berjuang Masuk Syurga Sekeluarga, program MyCareCoV19 akan bersiaran sebagai segmen di dalam rancangan bual bicara pagi Assalamualaikum setiap hari pada jam 8 hingga 8.30 pagi bermula esok.

Penonton boleh menghubungi talian 03 – 2260 2412 untuk berkongsi rasa jiwa bersama pakar-pakar yang dibawa setiap hari di dalam rancangan ini. Sebagai permulaan pada episod pertama siaran TV Al-Hijrah akan membawakan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk menjawab segala persoalan penonton.

Jemput ramai pakar untuk kongsi tip dan saranan

Melalui program MyCareCoV19, pakar-pakar dalam bidang psikologi, kekeluargaan, pengurusan emosi dan yang berkaitan dijemput untuk menjawab soalan-soalan penonton serta berkongsi tips-tips dan saranan yang mampu menyuntik semangat semua untuk menjalani perubahan dalam aktiviti seharian.

Antara tajuk yang akan dibincangkan adalah Penderaan Domestik, Sahsiah Suami Isteri, Anak Tantrum Dek PKP, SOP Keluarga PKP, Konflik Penceraian, Adab Media Sosial dan E-Kuliah Keluarga.

 

 

 

 

Published by
SAHR