Bergelar ibu membuatkan hari-hari seorang ibu menjadi semakin sibuk. Balik sahaja daripada kerja di pejabat, masa dan tumpuan difokuskan kepada anak pula. Tiada istilah masa untuk diri sendiri namun menggembirakan kerana punya permata hati. Inilah hati seorang ibu.
Niena Azman, pemain futsal negara yang juga isteri kepada pemuzik, Rody Kristal tidak terkecuali berkongsi rasa ini sejak punya anak comelnya, Adithya Jabbar. Tidak ada waktu untuk dirinya sendiri, begitu kongsinya di instagram.
Bila dah ada anak memang takde masa untuk diri sendiri sebab kalau ada free time je mesti nak mengadap anak. Cinta kat anak tu lain macam, sebab budak carry bau syurga.
Kita kena sentiasa nak menghadap dia je. Kesian En.Mi terabai sebab tu perut dia nak boroi dah sikit, tak jaga dia, apa lagi makan je dia, diet semua lari dan nak post gambar macam ni pun, bila dah balik, sanggup keluar depan rumah balik sebab lupa nak amik gambar diri sendiri.
Lama benar tak ootd gitu? tapi tapi im so grateful cause always blessed with two boyfriend. Kita doa untuk peneman hidup sorang tapi Allah bagi dua. Alhamdullilah.
Malah menerusi Majalah Pa&Ma, Niena dan Rody sempat berkongsi kegembiraan hidup mereka sejak punya Aditya yang kini sudah berusia lapan bulan. Malah tidak lokek berkongsi nama unik si comel bersama pembaca.
Nama Sempena Jabal Rahmah
Indahnya nama si comel kesayangan Niena dan Rody ini. Rupanya ada kisah tersendiri di sebalik nama yang dipilih ini.
“ Nama Jabbar ini saya pilih kerana Allah dekatkan jodoh dan cinta saya pada isteri ketika berdoa di Jabal Rahmah. Ketika itu saya pergi menunaikan umrah bersama ibu saya dan saya sempat berdoa moga diketemukan dengan jodoh saya.
Sebulan selepas itulah saya diperkenalkan dengan Niena, menerusi seorang kawan. Kami berkawan tidak lama, selepas enam bulan berkawan kami sepakat untuk mengikat tali pertunangan. Enam bulan selepas bertunang kami kemudiannya mengikat tali janji dengan akad nikah.
Saya nampak betapa mudah dan lancarnya perjalanan jodoh kami. Hanya dalam masa setahun kami sah bergelar suami isteri. Allah makbulkan doa saya dan kerana itulah saya pilih nama Jabbar,” kata Rodi yang tidak kekok menjaga anaknya setiap hari.