Ingin tahu bagaimana cara didik anak berdikari? Ini antara peranan ibu bapa yang perlu anda lakukan, selamat mencuba!
Didik anak berdikari
Anak kecil adakalanya boleh menjadi sukar untuk dikawal, seperti yang diketahui oleh setiap ibu bapa.
Setiap anak akan melalui proses tumbesaran, daripada bayi membesar menjadi anak kecil. Dalam sekelip mata, tanpa anda sedar, mereka sudah bersedia untuk meneroka dunia.
Tidak dinafikan ia kedengaran menakutkan melihat anak semakin dewasa. Pun begitu, ia pastinya menjadi pengalaman menarik buat anak.
Dalam memainkan peranan ibu bapa untuk didik anak berdikari, kita semua mahukan si kecil yang menyenangkan, sopan dan mampu berdiri sendiri.
Jadi bagaimanakah cara untuk didik anak berdikari yang boleh dilakukan?
Jalankan peranan ibu bapa
Mempersiapkan anak untuk berdikari adalah tanggungjawab sepenuh masa yang tidak akan terhenti.
Ia bermula daripada cara mereka berjalan, menyuap makanan, bercakap, belajar mandi, memakai baju dan memainkan peranan sebagai anak kecil.
Semasa menjalankan tanggungjawab dan peranan ibu bapa untuk didik anak berdikari, ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan emak ayah perlulah kerap mempraktikkannya.
Fahami kehendak anak
Untuk mengajar anak berdiri sendiri dan berdikari, anda disarankan untuk:
- Melakukan komunikasi terbuka dan jujur untuk mewujudkan hubungan erat dengan anak
- Menyedari rutin dan tanggungjawab untuk memberitahu anak apa yang perlu dijangkakan
- Apabila peraturan dilanggar, ada akibat yang perlu diterima
- Sewaktu menjalankan peranan ibu bapa untuk mendidik anak berdikari, anda perlu mengajar anak untuk kekal berada dalam selamat
- Mendidik anak untuk menjadi kawan baik adalah antara kemahiran yang perlu diajar kepada mereka
- Mereka mempunyai keinginan untuk meneroka dunia luar. Ia menarik tetapi dalam masa yang sama menakutkan
Anak berusia 4 hingga 6 tahun:
- Mula mengembangkan sikap berdikari dan membentuk hubungan persahabatan sebenar
- Mula belajar peraturan permainan lebih sukar
- Mengembangkan kemahiran hidup yang penting
Wujudkan peraturan
Apabila kanak-kanak melakukan sesuatu bertentangan dengan peraturan, jelaskannya dengan cara yang mudah dan ringkas:
- Apa yang mereka lakukan itu salah
- Apa yang akan berlaku sekiranya tingkah laku itu berterusan. Akibatnya perlu logik, bermakna dan sederhana. Sebagai contoh:
- Jika anak tidak mahu berkongsi mainan, simpannya agar ia tidak dapat digunakan sepanjang hari
- Apabila anak tidak mahu mengemas semula permainan selepas bermain, mereka tidak dibenarkan untuk bermain untuk sehari
Ciptakan rutin harian
Antara peranan ibu bapa untuk mengajar anak berdikari adalah dengan memberitahu mereka tentang peraturan dan kekal dengan rutin tersebut.
Biasanya, anak akan memberikan yang terbaik apabila mengetahui apa yang perlu diharapkan.
Pada waktu pagi:
- Masuk bilik air dan mandi
- Memakai pakaian sendiri
- Bersarapan pagi
Pada waktu tidur:
- Mandi sebelum tidur
- Menggosok gigi
- Membaca buku cerita
Mesti ada yang bertanyakan mengapa perlu membaca buku sebelum tidur?
Umumnya, tabiat membaca pada waktu tidur akan membuatkan diri anak bersedia untuk tidur.
Ia membolehkan anak bersantai dan bertenang setelah seharian yang sibuk. Dalam masa yang sama, anak juga boleh belajar membaca.
Hadkan waktu tertentu untuk masa skrin bagi menonton televisyen, bermain permainan video dan penggunaan komputer.
Anda juga perlu sentiasa memantau apa yang ditonton anak. Ini untuk mengelakkan tontonan yang berunsur keganasan dan kandungan yang berbahaya.
Sebaiknya, hadkan ‘jumlah masa skrin’ untuk tidak lebih 2 jam sehari.
Mainkan juga peranan ibu bapa dalam mencipta rutin waktu makan bersama sekerap yang mungkin.
Ini adalah cara terbaik untuk meluangkan masa bersama dan berkongsi tradisi keluarga.
Di samping itu, ia adalah waktu sesuai untuk mendidik anak tabiat makan dan adab di meja makan.
Berikan tanggungjawab
Sekiranya anak mula meniru anda ketika melakukan tugasan rumah, itu bermakna mereka turut sama mahu menyumbang tenaga.
Apabila anak semakin membesar, berikan mereka peluang untuk memikul tanggungjawab sebenar seperti:
- Menyediakan meja makan
- Mengemas barang permainan
- Memberi haiwan peliharaan makan
- Meletakkan pakaian kotor di dalam bakul
Dengan pemantauan dan sokongan daripada anda, mereka pasti dapat melakukan tugasan dengan betul.
Luangkan masa untuk berbual dan mendengar
Kanak-kanak akan berasa penting apabila ada individu dewasa yang meluangkan masa bercakap dengan mereka.
Berbual bersama anak dengan kerap mengenai pelbagai perkara dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka.
Tanyakan mengenai rakan-rakan dan aktiviti yang disukainya. Anda juga boleh berkongsi pengalaman terbaik dan terburuk yang pernah dialami.
Biarkan anak mengetahui bahawa tiada salahnya untuk mempunyai dan bercakap mengenai perasaan negatif.
Jangan lupa untuk berkongsi perkara terbaik dan sukar yang anda lalui sepanjang hari. Ini secara tidak langsung mengajar anak bahawa dalam kehidupan ada turun naiknya.
Peranan ibu bapa untuk jadi sahabat baik si kecil
Apabila anak melangkah ke usia 4 hingga 6 tahun, mereka akan mula belajar ertinya untuk bersahabat.
Mereka akan mempunyai waktu bergembira dan ada masanya akan berselisih faham.
Sudah tentu sebagai ibu bapa anda mempunyai keinginan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dialami anak, kan?
Tetapi cuba elakkan. Cara terbaik adalah untuk membimbing anak belajar cara menyelesaikan masalah sosial.
Dalam memainkan peranan ibu bapa, belajarlah untuk memahami anak dan menjadi sahabat baik mereka.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI