Kesihatan

KKM Keluarkan Beza HFMD, Chickenpox & Monkeypox. Mama Papa Patut Alert!

Share

Selain virus Covid yang masih belum reda lagi di negara ini, ibu bapa juga turut bimbang mengenai kesihatan kes penyakit berjangkit seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), cacar air (Chickenpox) dan cacar monyet (Monkeypox).

Sehingga 30 Mei lalu, sebanyak 71,471 kes HFMD telah direkodkan di seluruh negara dan ia merupakan peningkatan 28 kali ganda berbanding tahun lalu.

Dalam pada itu, walaupun cacar monyet masih belum lagi dikesan di negara ini namun ia tetap mencetuskan kebimbangan.

Mungkin ada yang keliru mengenai ketiga-tiga penyakit tersebut kerana keadaannya kelihatan sama. Bagaimanapun, ia sememangnya sangat berbeza terutama melibatkan jenis ruam yang timbul di badan.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsikan perbezaan ketiga-tiga penyakit itu untuk pengetahuan orang ramai.

HFMD

Menurut KKM, penyakit HFMD berpunca dari Enterovirus dan cara penularannya adalah melalui cecair atau rembesan hidung, mulut dan tekak, najis dan juga kontak dengan ruam atau lepuh daripada mereka yang telah dijangkiti.

Bila dijangkiti HFMD, pesakit akan cenderung untuk mempunyai ruam atau lepuh pada tangan, mulut dan kawasan lampin serta mulut akan dipenuhi ulser.

Gejala lain yang akan dialami oleh pesakit adalah demam. Kebiasaannya, kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah mempunyai risiko untuk menghidapi penyakit ini.

Gambar Hiasan -HFMD

Cacar air

Manakala, cacar air pula berpunca daripada Virus Varicella Zoster. Cara penularannya pula hampir sama dengan HFMD iaitu melalui cecair atau rembesan hidung, mulut dan tekak dan juga kontak dengan ruam atau lepuh daripada mereka yang telah dijangkiti.

Bagi penyakit ini, ruam akan bermula dan timbul dengan jumlah yang banyak pada badan dan ia boleh bertukar menjadi lepuh (blister).

Selain ruam, pesakit juga akan mengalami gejala demam.

Individu yang berisiko menghidap penyakit ini adalah kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.

Berbeza dengan HFMD, cacar air boleh dibendung dengan penggunaan vaksin.

Gambar Hiasan – Cacar Air

Cacar monyet

Penyakit cacar monyet berlaku disebabkan oleh kewujudan Monkeypox Virus dan ia akan merebak melalui kontak langsung dengan cecair atau rembesan badan dan juga ruam atau lepuh pada manusia yang dijangkiti.

Jenis ruam yang akan timbul pada badan disebabkan oleh virus itu dipanggil sebagai ruam makulopapular dan lepuh.

Selain demam, pesakit akan mengalami pembengkakan kalanjer limfa, sakit badan dan tidak bertenaga.

Tidak cuma itu, penyakit ini bukan sahaja dialami oleh kanak-kanak tetapi semua peringkat umur dan ia boleh dibendung dengan menggunakan vaksin.

Sementara itu, KKM berkata pengetahuan mengenai ketiga-tiga penyakit ini penting agar kita lebih berwaspada dan dapat bertindak bagi menangani dan mendapatkan rawatan dengan lebih berkesan.

Gambar Hiasan – Monkeypox

“Pastikan anda dan keluarga sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi sebagai langkah pencegahan daripada penyakit ini,” kata KKM menerusi satu perkongsian di Facebook.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia & SK

Adakah anda sedang hamil? Sertai Webinar Kehamilan PERCUMA anjuran Pa&Ma secara virtual pada 26 Jun 2022 (Ahad) jam 9.30 pagi yang menjemput speaker- speaker hebat dalam bidang kehamilan & kelahiran seperti Dr Maiza Tusimin, Dr Tengku Puteri Zainab, Dr Siti Sarah Aishah, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti jemputan Ezzaty Abdullah.

Daftar nama sebagai peserta webinar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aku-tak-serik-bersalin/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

Published by
Wan Amy