Sebanyak 73 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan tiga taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam Parlimen Kubang Pasu ditutup bermula hari ini. (29 Julai)
Pengarah Kemas Negeri Kedah, Noor Azman Abd Rahman berkata, penutupan itu dilakukan susulan kluster baharu PUI Sivagangga yang dikesan di daerah itu.
Menurutnya, arahan penutupan itu merupakan langkah awal bagi pencegahan penularan Covid-19 di peringkat jabatan.
“Seramai 1,605 pelajar tabika dan 62 pelajar taska Kemas terlibat dengan penutupan ini. Semua premis akan ditutup selama 14 hari atau sehingga kita menerima arahan dan nasihat selanjutnya daripada Pejabat Kesihatan,” katanya ketika dihubungi.
Noor Azman berkata, pelajar yang datang ke tabika dan taska pada hari ini telah diminta pulang ke rumah masing-masing.
“Pada masa sama, penutupan sementara ini bagi membolehkan proses pembersihan dan nyah kuman dilakukan di semua tadika dan taska mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, antara tabika yang ditutup adalah Tabika Kemas Kampung Natoi, Pekan Jitra, Kampung Bemban dan Kampung Tebing yang dikhuatiri mempunyai rekod kontak rapat dengan kluster tersebut.
“Kontak rapat itu melibatkan waris pelajar yang disaring berhubung kluster berkenaan iaitu dari sebuah kedai makan di Napoh,” katanya.
Tambahnya, Tabika Kemas Kampung Tebing terletak paling hampir dengan kedai makan tersebut, iaitu kira-kira 500 meter sahaja.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat kluster baharu dikenalpasti di Kedah iaitu Kluster PUI Sivagangga, India.
Kes indeks berkenaan membabitkan seorang pemilik kedai makan dan empat kes positif dalam kluster terbabit ialah pekerja kedai itu.
Premis berkenaan sudah ditutup bagi menjalani proses pembersihan dan nyah kuman.
Sumber: Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mayat Bayi 5 Bulan Ditemui Dalam Peti Sejuk Rumah Pengasuh, Doktor Pesan 10 Perkara Sebelum Ambil Pengasuh!
Pagi ini kita dikejutkan dengan penemuan mayat bayi berusia 5 bulan, Adam Rayqal yang sebelum ini dilaporkan hilang di rumah pengasuh selepas didakwa diambil seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat Adam Rayqal ditemui disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu, kira-kira jam 11 malam tadi.
Katanya, mayat bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ditemui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.
Rentetan kes penemuan mayat bayi tidak berdosa itu ramai yang berasa marah dan sedih dengan sikap manusia sekarang yang semakin gila dan tidak berperikemanusiaan.
Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi, Pegawai Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkongsikan penulisan yang wajar diberi perhatian oleh semua ibu bapa bila hendak memilih pengasuh untuk anak.
Kejutan Yang Menyedihkan
ALERT! Sekali lagi kita digemparkan dengan insiden menyayat hati melibatkan bayi yang dihantar kepada pengasuh. Jika tak lama dulu kes patah tulang peha, awal pagi ini pula bayi yang didakwa diculik di rumah pengasuh rupa-rupanya ditemui mati di sana. Innalillah.
Sekarang ni saya perasan iklan mencari anak asuhan bersepah-sepah bukan sahaja dalam media sosial tetapi juga di tiang-tiang tepi jalan. Betullah itu usaha untuk jana pendapatan sambil membantu ibubapa yang ada anak, tapi kalau jiwa puan-puan dan suami puan-puan tak suka budak-budak atau baran berapi, tolong sedar diri untuk tidak berbisnes mengasuh kanak-kanak. Jadi punching bag pulak anak-anak syurga tu.
Tapi itu bukan apa yang saya nak cerita sebenarnya. Orang kalau dah terdesak nak sara hidup, pasti ada juga yang akan degil nak mengasuh budak-budak walaupun dialah makhluk paling buas kepada kanak-kanak. Jadi, poin saya dalam status ini ialah untuk ibubapa di luar sana, terutamanya yang dua-dua orang kerja dan ada anak.
Dilema biasa, siapa nak jaga anak kita kalau dua-dua kerja? Ah, kang ada la tu yang kata si ibu pentingkan diri sanggup kerja daripada jaga anak. Aduhai. Tu saya tak nak panjang cerita sebab ada banyak sebab untuk mereka kena kerja. Kalau dua-dua doktor, pastu anda desak yang perempuan tak perlu kerja, nanti anda juga yang bising kalau semua doktor pun lelaki je di hospital dan klinik nanti.
Ibubapa sekalian.
Buat SEMUA 10 PERKARA ini sebelum ambil pengasuh ye!
1. Carilah saudara mara terdekat dahulu. Kalau takde, cari saudara mara kepada kawan-kawan terdekat. Kalau takde, cari pengasuh yang jaga anak-anak kawan-kawan terdekat anda.
Jangan main ambil je merata-rata daripada media sosial lebih-lebih lagi yang asyik-asyik muka dia iklankan kat situ. Lagi bahaya kalau harini dia iklan, esok dia kata dah penuh. Minggu depan iklan lagi, pastu penuh. Tu mungkin sebab orang yang dah hantar kat situ terpaksa cancelkan sebab tak puas hati. Omputih cakap ‘high turnover rate’.
Kalau terpaksa minta ibubapa anda untuk jaga, tebalkan muka untuk minta mereka jaga SEMENTARA. Sementara, bukan selamanya. Contohnya 1 minggu sambil anda usaha cari pengasuh sampai jumpa.
2. Google dulu. Ini ramai tak buat, kan? Konfem ada nombor telefon pada iklan, so Google taip nombor telefon tu. Ini info yang mungkin boleh anda dapat dari google:
– nama
– side bisnes contoh baking, dropshipping, scammer
– side story lama
– laman sosial peribadi – boleh stalk dulu
– iklan-iklan serupa di internet (kalau banyak sangat bersepah-sepah, itu tanda pengasuh terlalu terdesak untuk hard selling, jadi kena hati-hati sikit)
3. Semak latar belakang calon pengasuh
Kalau malas nak jumpa berdepan, tapis dulu guna call atau mesej.
– nama penuh
– alamat
– bilangan anak kandung
– bilangan anak asuhan sedia ada
– had maksimum anak asuhan
Dah dapat? Good. Bandingkan maklumat yang anda dapat dari pengasuh tu sendiri dengan maklumat yang anda perolehi daripada google. Kalau ada unsur penipuan, cari lain.
Jangan terlalu fokus pada yuran jagaan sangat. Memang penting tapi itu bukan perkara utama.
4. Jumpa berdepan
Kalau puas hati dengan info awal, JUMPA BERSEMUKA sebab banyak maklumat lagi kena korek. Mula-mula tengok penampilan pengasuh, gaya bercakap, personaliti, gerak geri, dan lain-lain yang boleh anda perhati dalam keadaan natural. Ok pandai-pandai la usya masa jumpa.
Korek info lanjut:
– kenapa dia buat job mengasuh
– pengalaman mengasuh (baca nombor 5)
– sijil latihan mengasuh
– apa aktiviti rutin anak-anak semasa dalam asuhan (dari pagi hingga balik)
– apa makanan biasa yang diberi dan jadual makan
– apa gaya asuhan dia yang biasa
– ha tambah-tambah kat ruang komen kalau ada
5. Minta testimoni (PENTING!)
Jangan minta testimoni daripada pengasuh sebab ramai yang ‘masuk bakul angkat sendiri’. Bisnes kan, konfem la cerita yang indah-indah je.
So, berbalik kepada soalan pengalaman mengasuh, ini soalan perangkap sebenarnya, konfem pengasuh biasanya akan cakap dia berpengalaman mengasuh budak-budak. Kadang-kadang ada yang exaggerate dah tengok sampai beratus anak asuhan. So, minta no handphone ibubapa bekas anak asuhan. Jangan minta satu je tau sebab dia mungkin boleh berpakat, dan untuk rlak dia tau ibubapa mana yang mungkin bagi testimoni negatif. At least 3 orang kot supaya kalau ada cerita buruk, dia tak boleh teka siapa yang kata. Kalau boleh, anda pilih sendiri secara random ibubapa mana yang anda nak hubungi.
Kalau dia enggan bagi, sila bina rasa syak wasangka. Kalau dia bagi, telefon ibubapa tersebut dan minta testimoni. Jangan cakap depan pengasuh sebab taknak la kantoikan ibubapa tu pulak.
6. Lawatan tapak
Jangan malas! Tengok sendiri tempat yang anak-anak anda bakal tinggal semasa anda bekerja. Periksa bilik, tandas, dapur, dan luar.
Pastikan rumah itu selamat dan sukar dicerobohi contoh pintu pagar sentiasa ditutup dan pintu gril sentiasa terkunci. Tengok kebersihan dapur sebab anak-anak anda akan makan makanan dari dapur situ. Check freezer atau peti ais jika ada hantar stok EBM.
Tangga kena ada pagar. Budak-budak terutamanya yang merangkak ni berisiko untuk jatuh lalu cedera atau mati. Bilik pun kalau boleh kena ada pagar keselamatan. Tandas kena bersih, tak licin sampai ada risiko kanak-kanak tergelincir jatuh.
Susunan perabot pun kena sesuai dan selamat. Kalau ada tv plasma 4K hingga ada risiko anak-anak anda jatuhkannya, baik jangan hantar. Kalau jatuh pecah, kena ganti. Tu takpe lagi, tapi kalau jatuh hempap anak sampai mati, nak salahkan siapa nanti? Ibubapa salahkan pengasuh letak TV merata-rata tak gantung dan tak jaga budak-budak, dan pengasuh pula salahkan ibubapa sebab tak ajar adab.
7. Tanya jiran
Sangat penting tapi ramai tak buat! Tau tak makcik-makcik bawang sebelah rumah ni la yang kadang-kadang boleh ceritakan kisah benar. Kot-kot mereka selalu dengar anakanak meraung didera, atau haru biru anak-anak menangis kelaparan. Atau nampak pengasuh keluar shopping tinggalkan anak-anak asuhan dijaga oleh anak kandung pengasuh yang masih sekolah rendah.
8. Tanya hati naluri
Well, kalau hati rasa berat dan ragu-ragu untuk percaya pengasuh tersebut, jangan ambil. Cari lain terus. Percaya pada hati walau mungkin naluri salah. Gunakan panduan 1-7 untuk guide hati.
9. Istikharah
Tanya pada Tuhan apa yang terbaik kerana hanya Allah yang maha mengetahui.
10. Testing
Cuba hantar 2 minggu lebih awal dari tarikh lapor tugas. Kalau ada tanda-tanda anak ketakutan semasa dihantar dan berubah sikap bila balik, sila suspek sesuatu. Anggap anak-anak tak suka dan cari lain yang lebih sesuai.
Terlalu cerewet? Ya, memang kena cerewet kalau sayang anak. Sedangkan duit, emas dan harta yang takde nyawa dan jiwa pun kita simpan kat tempat selamat, inikan pula anak-anak yang bernyawa dan ada jiwa. Takkan nak campak merata je bagi stranger jaga anak-anak kita tanpa kita usaha pastikan mereka boleh dipercaya? Fikirlah sikit!
Saya pun ada anak, dan anak saya pun pernah saya hantar untuk orang lain jaga. Jadi, saya cakap ikut pengalaman dan pengetahuan. Siapa lagi nak taip-taip panjang-panjang bagi orang ibubapa lain baca? Taip takde orang baca tak guna juga. Kalau baca, tolong share.
Mohd Fadhli Mohd Fauzi
04 Julai 2018
4.30 am
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cik Epal Hidang Coklat Kegemaran Kanak-Kanak Untuk Hari Raya, Tak Sangka Harga Cecah Ribu Ringgit
Selebriti media sosial, Cik Epal berkongsi momen membeli-belah kudapan hari raya buat tetamunya pada tahun ini.
Lebih menarik, usahawan berjaya ini tidak lokek berbelanja sebanyak 2 Kilogram coklat berjenama mewah buat tetamu yang datang berkunjung ke rumahnya.
Baca artikel menarik:
“Masuk Boleh, Keluar Tak Boleh” Gelagat Isteri Fizo Omar Keluar Dari Kereta Sport Mencuit Hati!
Pernah Tipu Harga Sebenar Basikal, Rupanya Ratusan Ribu! Zamarul Akui Pernah Lupa Menghargai Isteri
“Ingat 4 Je, Rupanya 5” Isteri Fad Bocey Hamil Anak Ke-5
Tambahnya lagi, dia memilih coklat berjenama Patchi yang terkenal kerana rasa coklatnya yang mewah dan sangat sedap. Siapa yang pernah mencuba coklat Patchi pasti terbayang kesedapan dalam setiap kunyahan.
Cik Epal turut berkongsi harga bagi 2 Kilogram coklat Patchi termasuk beberapa jenis coklat untuk kedua-dua anaknya yang mencecah ribuan ringgit.
Rata-rata warga maya teringin mencuba coklat ini dan jika diberi peluang mereka ingin beraya di rumah Cik Epal.
yanamisran’s
Anak murid sy pnh bg coklat ni waktu hari guru..tktau pula tu coklat mahal 😂 mmg sedapp
cikgheen’s
Nak datang jadi tetamu ahh cmni 😛😛 hahahahaaa
ieka_n’s
nk g beraya uma ce gk la klau cmni..baru la thun ni raya raya million international🥰🥰🥰
nanie1901’s
Nak dtg rasa umah cik epal bole x hehe
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Boleh Ke Niat Puasa Enam Dan Puasa Ganti Serentak? Ini Jawapan Mufti
Bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal.Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI