Pada 5 November 2024 yang lalu, telah berlangsung Watch Party untuk drama pendek vertical bersiri, Tasik Tandus di Padang Pasir bertempat di TGV One Utama Damansara. Apa yang menarik, drama bersiri yang dibawakan oleh Durex ini mengetengahkan isu rumah tangga yang dianggap taboo berkaitan hubungan intim suami isteri. Bukan sekadar hiburan tetapi siri Tasik Tandus di Padang Pasir sebenarnya ingin mendidik masyarakat tentang kepentingan komunikasi dalam rumah tangga.
Turut hadir untuk memeriahkan acara tersebut adalah para pelakon Tasik Tandus di Padang Pasir iaitu Khaled Asharief, Maryam Elma dan Qayra El. Selain tayangan penuh drama bersiri ini, turut diadakan sesi podcast What The Haze (WTH) bersama Hazeman Huzir yang membicangkan topik Penggunaan Kondom & Pelincir Dalam Perkahwinan, Salah Ke?
Bagi menjawab segala persoalan berkaitan topik yang dibincangkan, podcast ini turut menjemput dua panel istimewa iaitu Dr. Salleha Khalid, Pakar Fertiliti & Ginekologi serta Pn. Nurul yang mempunyai masalah kekeringan faraj selepas bersalin.
Banyak Punca Mengapa Pasangan Tidak Ada ‘Rezeki’
Menjawab persoalan mengapa pentingnya pendidikan seksual, Dr. Salleha memberitahu ia sebenarnya dapat membantu sesebuah pasangan untuk lebih memahami cara yang sesuai dan memberi keselesaan kepada suami dan isteri. Menurut Dr. Salleha, beliau pernah mengendalikan sebuah kes di mana ada pasangan yang merujuk kepadanya kerana masih tidak hamil biarpun selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga.
Mengakui ilmu seksual mereka cetek dan agak konservatif, si isteri memberitahu selama ini selepas membuat hubungan intim baju dan bahagian perutnya akan basah. Setelah diselidik, sebenarnya suami telah ‘melepaskan’ air mani pada pusat isteri kerana mereka keliru bagaimana cara yang tepat untuk si suami ejakulasi.
Selain itu, Dr. Salleha juga berkongsi antara punca lain mengapa sesebuah pasangan itu mempunyai masalah untuk mengandung adalah kerana masalah komunikasi. Kebanyakan isteri lebih rela untuk berdiam diri dan tidak mahu memberitahu perasaan mereka kepada suami apabila berkaitan dengan hubungan kelamin.
“Ramai isteri yang tak mahu bercakap dengan suami mereka kerana tak mahu suami kecil hati atau malu. Itulah punca yang menyebabkan masalah berlaku. Isteri memendam perasaan dan rasa sakit tetapi suami pula fikir yang mereka dah buat yang terbaik ketika melakukan hubungan intim.”
Mengalami Kekeringan Faraj Selepas Bersalin
Menurut Pn. Nurul pula, dia mempunyai masalah kekeringan faraj selepas melahirkan anaknya yang kedua. Pada ketika itu, beliau tidak berbincang tentang situasi ini dengan suami dan hanya menahan sakit ketika melakukan hubungan kelamin.
Pn. Nurul juga pernah mengalami trauma apabila malam tiba kerana memikirkan mungkin akan berlaku hubungan kelamin bersama suami. Malah beliau juga mengelak untuk berada berhampiran dengan suaminya kerana terbayang rasa sakit disebabkan masalah kekeringan faraj.
“Kemudian saya fikir, sampai bila saya nak pendam hal ini. Jadi saya suarakan perasaan pada suami dan bertanya kepadanya jika ada kelainan yang dia rasa ketika ‘bersama’ tapi suami kata semuanya okay. Jadi saya beritahu apa yang saya rasa. Suami menerima baik apa yang saya beritahu dan kami sama-sama mencari solusi terbaik.”
Tambah Pn. Nurul lagi, beliau mengalami masalah kekeringan faraj selepas kelahiran secara normal anak keduannya. Ketika itu, beliau turut menyusukan bayinya secara eksklusif yang menjadikan masalah itu semakin teruk.
Berusaha untuk mengatasi masalah yang dialami, Pn. Nurul dan suami mencuba pelbagai cara termasuk penggunaan kondom, pelincir dan berjumpa pakar. Katanya lagi, dia dan suami memilih kondom kerana dapat membantu perancangan keluarga dan sesetengah kondom juga mempunyai pelincir yang dapat membantu hubungan intim yang lebih selesa untuk kedua-dua mereka.
Dr. Salleha juga memberitahu apabila seorang ibu menyusukan bayi secara ekslusif sememangnya berpotensi untuk mengalami masalah kekeringan faraj kerana ia berkaitan dengan hormon.
Apabila paras estrogen menurun, tisu faraj menjadi kering kerana pelinciran yang tidak mencukupi. Selain menopaus, perubahan hormon lain, seperti semasa hamil, menyusu atau fasa tertentu kitaran haid, boleh menyebabkan kekeringan faraj sementara.
Salah Ke Guna Kondom Dan Pelincir?
Menjawab persoalan tentang salah atau tidak penggunaan kondom dan pelincir, Dr. Salleha memberitahu cara ini tidak salah bahkan sangat digalakkan.
“Kita bercakap tentang penggunaan kondom dan pelincir dalam kalangan pasangan yang berkahwin. Tak ada masalah kerana ia tidak memberi kesan kepada si isteri. Penggunaan kaedah lain seperti pil perancang tetap berisiko seandainya ada hari yang isteri terlupa nak makan. Kebarangkalian untuk hamil sangat tinggi, nak gunakan kaedah apa pun yang penting keselesaan isteri sebab kalau apa-apa jadi dia yang kena tanggung (hamil).”
Bagi Pn. Nurul pula penggunaan kondom dan pelincir untuk suami isteri sebenarnya dapat membantu untuk hubungan yang lebih harmoni kerana ia lebih selesa dan tidak memerlukan kos yang tinggi.
“Selepas mencuba beberapa cara untuk memperbaiki hubungan kelamin kami, saya dan suami memilih kondom kerana ia lebih murah, mudah didapati dan sangat mudah untuk digunakan. Boleh dibawa ke mana-mana. Apa-apa pun, jika tanya pada saya, komunikasi paling penting. Alhamdulillah, selepas kelahiran anak yang ketiga, masalah kekeringan faraj juga semakin kurang.”
Jangan Segan Dapatkan Bantuan Pakar
Mengakhiri sesi podcast, Dr. Salleha menyarankan untuk berjumpa pakar bagi mengenal pasti masalah yang sebenar sebelum menyelesaikannya. Beliau turut meminta supaya tidak mudah percaya dengan pelbagai produk yang tidak diketahui untuk mengatasi masalah yang ada.
“Malangnya rakyat Malaysia ni mudah terpedaya dengan supplement yang konon-konon makan satu ubat boleh sembuhkan semua penyakit. Sebaiknya rujuk masalah kepada pakar untuk tahu masalah sebenar sebelum mencuba untuk menyelesaikannya.”
Pn. Nurul pula meminta semoga setiap pasangan untuk berkomunikasi dan cari penyelesaian terbaik untuk memastikan hubungan suami isteri sentiasa bahagia.
“Apa-apa pun, kena communicate. Kalau ada yang tak kena, cepat-cepat beritahu pasangan. Jangan pendam dan sakit seorang. Kehadiran saya hari ini sebenarnya lebih kepada usaha untuk membuka mata orang ramai tentang kepentingan komunikasi dan mencari solusi untuk masalah yang kita hadapi sebagai suami isteri. Jangan segan untuk dapatkan bantuan daripada pakar.”
Podcast What The Haze (WTH) sudah tiba ke episod terakhir untuk musim pertama dan setinggi-tinggi penghargaan buat penaja iaitu Durex yang menawarkan produk untuk kesihatan hubungan intim yang memberi tumpuan kepada keseronokan bersama antara pasangan tanpa mengabaikan keselamatan. Jadi, jangan risau – dengan Durex, perancangan keluarga jadi lebih mudah!
Tonton video podcast What The Haze di sini: