Kontraksi awal memang menjadi punca kelahiran pramatang. Apa yang mencemaskan ialah bukaan serviks hingga menyebabkan kaki si kecil terkeluar. Pengalaman yang diceritakan oleh ibu ini cukup mendebarkan.
Tindakan pantas Puan Shazwani Nasuha terus ke hopsital apabila merasakan ada sesuatu yang tidak kena menyelamatkan nyawa anak sulung, Zafri Dayyan bin Zafri Danish yang kini berusia 6 bulan.
Kelahiran pramatang bermaksud kelahiran yang berlaku pada usia kandungan yang mencecah usia antara minggu 28 ke minggu 37. Ia kerap kali berlaku tanpa dijangka.
TAHAP-TAHAP KELAHIRAN PRAMATANG
Late preterm iaitu lahir antara minggu 34 ke sebelum minggu 37
Moderately preterm iaitu lahir antara minggu 31 ke minggu 34
Very preterm iaitu lahir sebelum mencecah usia 31 minggu
Extremely preterm iaitu lahir sebelum mencecah usia 28 minggu
Terdapat perbezaan di antara keguguran dan kelahiran pramatang. Keguguran berlaku di bawah usia 22 minggu manakala kelahiran pramatang pula lahir di bawah 37 minggu.
3 TANDA BERLAKUNYA KELAHIRAN PRAMATANG
Kelahiran pramatang berlaku kepada kandungan yang berusia 28 minggu sebelum 37 minggu. Jika usia kandungan anda adalah dalam lingkungan usia ini dan mempunyai tanda-tanda yang dinyatakan, ambil langkah untuk segera mendapatkan bantuan kecemasan.
Tindakan anda mendapatkan bantuan perubatan dengan secepat mungkin membantu menyelamatkan anda dan masa depan si kecil.
#1 Berlakunya pendarahan atau turun darah secara tiba-tiba (show).
#2 Rasa kekejangan atau cramp pada bahagian perut atau abdomen.
#3 Berlaku kontraksi secara berpanjangan.
TIDAK PERNAH MENGALAMI ALAHAN & MENGIDAM
Shazwani berkongsi tentang kehamilannya. Dayyan anak yang baik, sepanjang dalam kandungan ibunya tidak pernah mengalami kesukaran.
“Semasa saya mengandung , saya tak mengalami alahan. Mengidam pun kurang. Hingga kadangkala saya tertanya-tanya betul ke mengandung. Dan macam tu lah selama 6 bulan , sangat sangat senang.
Ibu ini juga turut berkongsi yang dia mengalami kencing manis semasa hamil dan menggunakan kaedah kawalan diet.
MINGGU KE-26 KELUAR TANDA
Mengimbas kembali detik cemas bersalinkan Dayyan, Shazwani menyelak kembali kenangan 6 bulan yang lalu. Menjadi ibu kali pertama, dia tidak tahu tanda-tanda bersalin tetapi tindakan pantas ke hospital menyelamatkan nyawa si kecil.
“Pada malam 23 Disember 2018 dalam pukul 11 malam, saya ada keluar tanda macam nak beranak , tapi anak first saya tak tahu sangat. Saya ke hospital dalam pukul 2 pagi dan terus ke emergency dewan bersalin.
“Hasil pemeriksaan jalan dah terbuka 5cm. Doktor pada mulanya mengatakan saya mengalami keguguran tetapi bila dibuat pemeriksaan jantung bayi, denyutan jantung Dayyan normal.
“Cuma kakinya ketika itu sudah keluar pada laluan kelahiran. Saya terus ditolak ke wad menunggu dan diberi dua suntikan dexa untuk mematangkan paru paru baby. And prosess contraction tu pun bermula dengan hebat.
“Dalam pukul 11 pagi saya ditolak ke labour room and pukul 11.17 pagi lahirlah Dayyan seberat 870gram,” kata ibu muda ini.
Shazwani yang masih lemah selepas melahirkan ketika itu tidak dapat menatap Dayyan kerana si kecil ini terus dikejarkan ke sebuah hospital besar.
DAYYAN & MOMMY KUAT SEMANGAT
Walau pun lemah dan bimbang, Shazwani kental. Tatkala melihat Dayyan buat kali pertama, dia menjadi kuat dan cekal membesarkan anak kecil ini.
“Semangat saya datang bila saya tengok anak saya tapi bila tatap dia , saya tahu dia kuat , jadi saya pun kena kuat . And banyak membantu saya , suami dan keluarga saya,” katanya.
“PERTAMBAHAN INCI & GRAM DAYYAN ADALAH KEBAHAGIAN KAMI”
Tidak dinafikan banyak air sudah tumpah dalam tempoh membesarkan si kecil ini. Menjadi ibu kepada bayi pramatang banyak cabaran yang perlu dihadapi. Kekuatan dari suami dan keluarga amat membantu. Shazwani juga menyertai kumpulan sokongan yang menyalurkan pelbagai maklumat dan dorongan.
“Group Baby Premature Malaysia pun banyak bagi tunjuk ajar macam mane nak handle baby pramatang . And saya tak henti berdoa.
Cuma bila ada bayi pramatang memang banyak keluar air mata lah kan. Haha . Setiap inci, dan gram tu memang kebahgiaan untuk kami suami isteri.
139 HARI DALAM WAD
Ibu ini juga turut menceritakan Dayyan melalui kehidupan awalnya di wad selama 139 hari bagi dipantau. Sehingga beratnya mencecah 3.51kg, barulah Dayyan dibenarkan pulang ke rumah.
Katanya dia puas melihat Dayyan membesar di depan mata. Membesar dengan khasiat susu ibu, si kecil ini sudah pun mencecah 5.1kg!
Kata Shazwani paling penting bagi ibu bapa untuk tidak berputus asa. Anak perlukan kekuatan daripada ibu bapa. Jangan putus asa dan teruskan bersemangat demi anak.
“Jadi sesiapa yang anak ada masalah, jangan risau. Berdoalah , kuatkan semangat , jangan sesekali down,” katanya ketika mengakhiri perbualan dengan Pa&Ma.
Sumber: Dhaka Teh Ais Kemaman