Asalnya, bayi kecil memang berminat dengan SEMUA benda: kotor atau tidak. Mereka akan kutip, jilat, cium, gigit, makan, peluk semua benda yang dijumpai dan dapat di capai.
KENAPA ANAK SUKA MAIN ‘BENDA KOTOR’?
Soalan utamanya, kenapa alam jadikan mereka berperangai begitu?: untuk belajar dan menjelajah dunia!
Saya senaraikan BEBERAPA CONTOH perkembangan mental yang berlaku di usia anak 0-2 tahun yang jadi bukti kepada perangai suka main segala benda ini:
1. Mulai usia 8 Minggu: Dunia Corak & Bentuk
Ramai anak mula cuba hisap, main dan tenung jari kerana anak baru sedar dia ada jari dan dia mahu kenal jarinya lebih lanjut. Sama juga bila anak mula minat fokus pandang wajah manusia bila di ajak berbual kerana wajah manusia berstruktur maka ia menarik untuk di lihat.
2. Mulai usia 12 Minggu : Dunia Perubahan Lancar
Anak suka meraba dan menyentuh muka, dada dan badan ibu ketika disusukan kerana otak dan ototnya telah punyai keupayaan mengkoordinasi arahan otak-pergerakkan anggota dengan lebih harmoni.
3. Mulai usia 19 Minggu: Dunia Kejadian
Anak menjelajah konsep ‘apa akan jadi seterusnya?’. Misalnya, ” Jika saya angkat kaki cukup tinggi, dapatkah ia mencecah muka saya?”.Lalu kita lihat ramai anak mula hisap jari kaki kerana baru kini dia dapat peluang kenal kaki.
4. Mulai usia 26 Minggu: Dunia Hubungan
Anak kaji kaitan sesuatu bau, bunyi atau gerakan dengan sesuatu kejadian atau objek. Misalnya, “Jika saya gigit mainan ini, adakah ia akan berbunyi?”
Ads
5. Mulai usia 37 Minggu: Dunia Kategori
Anak membuat pengkelasan kepada benda-benda yang ada di sekelilingnya. Misalnya, pisang akan penyek bila saya picit tetapi tidak lobak merah.
6. Mulai usia 75 Minggu: Dunia Sistem
Anak sedar komponen yang membentuk sesuatu sistem. Misalnya sistem keluarga saya terdiri dari : saya, ibu, ayah, kak long dan comel si kucing. Anak akan ambil masa mengenali setiap komponen dengan lebih dekat melalui proses bersosial sehingga anak tahu: wajah, suara, barang kepunyaan, nama panggilan dan perangai setiap ahli keluarganya.
***Alam menetapkan anak WAJIB TERTARIK, BERMINAT DAN ADA SIFAT INGIN TAHU terhadap setiap perkara dan benda yang wujud di sekelilingnya, untuk MEMBOLEHKANNYA TAHU BAGAIMANA MENJADI MANUSIA.
Dan ya, setiap benda dan elemen yang wujud di sekeliling anak datang bersama kuman. Hatta udara yang merupakan elemen terpenting manusia.
Disinilah kehebatan Tuhan itu jadi sangat nyata. Pada akal manusia, kita merasa anak manusia perlu sentuh, gigit, kunyah dan jilat benda untuk kenal benda semata-mata. Dalam masa yang sama, manusia jadi takut bila memikirkan banyaknya kuman yang wujud di merata-rata. Hem…macam mana ni?
Ads
Namun pada Tuhan yang bijaksana, sentuh, gigit, kunyah dan jilat benda itu bukan semata-mata untuk kenal benda. Tetapi MEMANG bertujuan supaya anak manusia dapat jilat, telan dan sekaligus makan kuman yang wujud pada semua benda itu.
Kuman ada di mana-mana. Dan, YA, anak kecil perlu ‘makan’ kuman. 😮
Pendedahan kepada kuman meningkatkan daya ketahanan sistem imun anak. Bila badan anak di jangkiti oleh sejenis virus spesifik, badannya akan mengkaji virus dan menghasilkan antibodi yang mampu melawan virus tersebut. Maka,di lain kali anak terdedah kepada virus yang sama, badannya boleh melawan virus tersebut tanpa anak dijangkiti.
Kajian pada 2016 mendapati kadar asthma yang rendah di kalangan anak-anak Amish yang tinggal di ladang , dimana ladang merupakan salah satu tempat kaya mikrorganisma.
Manakala kajian pasukan saintis Swedish ke atas 300, 000 kanak-kanak mendapati, kanak-kanak yang menjilat puting tiruan yang terjatuh mempunyai kadar alahan, asthma dan eczema yang rendah berbanding kanak-kanak yang di cuci putingnya. (Professor Gilbert, co-author of “Dirt is Good: The Advantage of Germs for Your Child’s Developing Immune System”)
Kajian inilah yang telah menyangkal dakwaan bahawa makanan yang terjatuh harus di buang kerana mikroorganisma akan menghinggapi makanan yang terjatuh dalam tempoh beberapa milliseconds. Sebenarnya, yang perlu di ambil kira ialah TEMPAT JATUHnya makanan tersebut. Jika tempat jatuh itu di yakini bersih, maka tiada masalah untuk kita memakan makanan tersebut.
Ads
Sebagai seorang Muslim, fakta ini terus mengingatkan saya kepada saranan junjungan besar Nabi Muhammad SAW supaya makanan yang jatuh di kutip lalu di makan atau di simpan jika diyakini masih bersih. Saranan baginda telah pun wujud bertahun lamanya sebelum kajian dibuat oleh mana-mana saintis.
Bukanlah bermaksud kita perlu sengaja cari penyakit dengan mendedahkan anak kepada virus untuk menguatkan sistem imunnya. Sifir asasnya: usah sengaja hidup sebagai pengotor namun tak perlulah keterlaluan mengawal kuman sehingga ke tahap sentiasa dalam kerisauan.
Benarkan anak menjadi manusia normal yang menikmati hidupnya. Budayakan hidup mereka dengan disiplin kebersihan asas itu mencukupi: kerap mencuci tangan, mandi setiap hari, minimumkan hubungan dengan ahli keluarga yang sakit serta membersihkan rumah secara berkala.
Ketakutan melampau ibubapa sehingga menyekat naluri semula jadi anak bukan saja membantutkan pembelajarannya. Mensterilkan anak dan rumah setiap masa ibarat hospital menyumbang kepada ‘hyper sensitised immune system’ anak yang bakal membuka jalan kepada menghidapi elergik dan masalah ‘neurodevelopmental’ (sistem saraf).
Keluarlah bermain hujan, lopak, lumpur, rumput, tanah, batu kecil dan pasir. Usahlah risau dengan anak yang menghisap jari dan mengorek hidung. Tak perlu takut membiar anak mengusap kucing dan mengejar ayam hingga ke reban. Tak perlu menjerit panik melihat anak mengutip objek di lantai. Biarkan anak bermain dengan makanannya. Lepaskan anak menikmati penjelajahannya. Alam ada cara melindungi mereka lebih dari yang ibubapa boleh bayangkan.
Sumber:
USWATUN HASANAH MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
DBL INSTITUTE
THB EDU ASSC
THE WONDER WEEKS ACADEMY
SLEEPSMART EDUCATION
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kuatnya si kecil ni menangis, sakit ke dia? Buat ibu bapa baru, pasti anda sedikit cemas bila mendengar bayi menangis kuat-kuat sampai ‘melalak’ kan?
Buat yang tak tahu, tangisan bayi mencecah 110-120 db (rujuk web OSHA dan banyak sumber lain). Maka YA, kekuatan bunyi jerit tangis bayi boleh merentas jarak jauh.
BAYI SUKA MENANGIS KUAT-KUAT DAN ADA MASA SAMPAI ‘SELAK’ (HILANG BUNYI SEKETIKA). ADAKAH NORMAL?
⛔ 70db itu seperti bunyi vacuum cleaner rumah
⛔ 80db itu seperti bunyi trafik sesak/kuat
⛔ 90-100db itu seperti bunyi banyak ‘power tool’ seperti gerudi tangan dan pemotong rumput
⛔110 – 120 db itu pula seperti night club, konsert rock dan siren ambulance.
Itulah juga kekuatan bunyi jerit tangis bayi yang buat ramai ibu berkata, ‘bagai kena dera’, ‘macam nak tercabut anak tekak ‘, ‘sampai biru muka ‘ dan ‘sampai hilang suara’..
Kredit: USWATUN HASANAH MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
DBL INSTITUTE
THB EDU ASSC
THE WONDER WEEKS ACADEMY
SLEEPSMART EDUCATION
Semua ibu ayah tak nak bayi mereka ketinggalan jadi bijak. Sebenarnya walaupun bayi anda masih kecil dan kelihatan tak tahu buat apa pun tapi bukan bermakna ibu ayah tak boleh ajarnya apa-apa.
Bak kata Terapis Pertuturan, Ruby Atika, jangan kita terleka melihat kecomelan anak sampai tak tahu langsung yang kita sepatutnya dah boleh mula merangsang dan mendidik mereka.
Tapi ada caranya. Bukan ajar cepat membaca, menghafal ABC dan menulis ya. Kita bukan nak ajar bayi comel siapa paling cepat membaca tapi lebih kepada pelajaran untuk merangsang kemahiran motor halus, motor kasar, emosi, sosial dan pergerakan fizikalnya.
Jom kita semak apakah bentuk pelajaran pertama yang dah boleh diajar pada bayi berusia setahun ke atas.
Umur ni macam baby lagi kan?
Makan suap, pakai diapers, comel dan manja. Anda memanjakan dan menatangnya bagai minyak yang penuh.
Jangan terleka dengan kecomelan anak anda. Jom didik anak menjadi bijak.
1) Ajar anak tunjuk anggota badan.
2) Ajar anak rutin ; buang sampah dalam bakul sampah, letak baju dalam bakul, susun kasut sebelum masuk rumah.
3) Ajar anak ikut arahan mudah ; ambil bantal, ambil remote, bagi abang/ayah/kakak, letak kat meja.
4) Ajar bunyi mudah seperti “miaw, moo, kok kok kok, pon pon, aum, nyam nyam…”.
5) Ajar bermain yang pelbagai jenis ; kereta, teddy bear, bola, masak, Lego, dinasour, make up dan sebagainya.
6) Ajar gerakan mudah dalam nyanyian. Lagu Didi & Friend pun boleh. Asalkan ada gerakkan khusus bagi setiap perkataan yang disebut.
7) 1 buku cerita setiap hari. Cerita tentang gambar sambil tunjuk.
8) Lekatkan kertas majong di dinding. Bagi dia conteng, cop, sesuka hati (hanya di kawasan tersebut saja).
9) Main bayang-bayang.
10) Isyarat gerakan rutin seperti “salam, bye, habis, flying kiss, give me 5, tadah tangan doa dan amin.”
Umur ni kebiasaannya anak sudah mula bercakap perkataan pertama. Jika belum ada, masih dikira julat normal.
Jika sudah 2 tahun tapi masih tak bercakap, itu dikira terkeluar dari julat normal.
Ramai yang beranggapan bahawa nak mengajar bayi bahasa hanyalah apabila dia masuk usia 6 bulan. Namun sebenarnya mama papa boleh merangsang bayi untuk bercakap sejak dia lahir lagi.
Tapi bagaimana? Ikuti perkongsian pakar tentang bagaimana cara untuk merangsang bayi bercakap mengikut tahap usia.
“Saya tak pernah ajar anak saya bunyi binatang, kalau nampak kucing cakap “kucing” bukan meow meow”
Teringat saya ada seorang ibu yang mempunyai anak lewat bercakap (speech delay) dengan bangga dan yakin kata begitu. Saya cuma mampu membebel dalam hati sahaja 😁
Mak ayah perlu ingat, setiap skil yang dipelajari anak ada tahapnya, sama juga macam skil motor kasar mula-mula meniarap, merangkak, duduk, berdiri, selepas itu baru berjalan. Dalam skil bahasa pun sama, bukan tiba-tiba anak akan pandai cakap ‘kucing”, “mama”, atau “papa”. Jika kita terus ajar perkataan yang complex, kadang-kadang ia terlampau susah untuk anak belajar terutamanya anak yang mengalami lewat bercakap. Umpama umur 7 tahun diajar subjek darjah 6.
Untuk anak bawah setahun, saya pecahkan kepada 3 tahap umur. Pastikan anak belajar mengikut tahap:
TAHAP 1 (0 HINGGA 3 BULAN)
1. Senyum 2. Buat bunyi “aaaa”, ‘eeee”.. 3. Senyap atau senyum setiap kali kita bercakap dengannya. 4. Mengenal suara orang tersayang (mak atau ayah). 5. Suara menangis yang berbeza mengikut keperluannya.
Tips:
– Banyakkan berbual dengan jarak yang dekat sebab masa ini pandangan mereka masih lagi kabur-kabur, pandang mata. – Belai-belai dan kerapkan mengurut bayi selepas mandi. – Sikat dan usap rambut sambil menyusu. – Beli mainan yang ada bunyi dan rangsang anak utk melihat ke arah bunyi. – Untuk yang menyusu badan, biarkan 10 saat anak merengek sebelum menyusu supaya dia tahu kepentingan komunikasi (secara menangis) untuk dapat apa yang dia nak. – Kerap menyanyi bersama bayi, buka mulut besar-besar sambil menyanyi tak payah sopan-sopan sangat 😘
TAHAP 2 (3 HINGGA 6 BULAN)
1. Ketawa mengeluarkan bunyi semasa bermain. 2. Berbual dengan mak ayah menggunakan bahasa “alien” 🙊 3. Pandai menunjukkan reaksi dan suara suka atau tidak suka (menjerit). 4. Respon dan pandang ke arah bunyi. 5. Kenal mainan yang mengeluarkan bunyi. 6. Fokus terhadap bunyi muzik.
Tips:
– Kerap ketawa bersama bayi. – Kerap berbual. Bila anak sedang bercakap bahasa “alien”, angguk mengiyakan konon-konon faham. Selepas itu cakap lagi, angguk geleng-geleng lagi. (Supaya anak belajar tunggu giliran untuk bercakap). – Banyakkan bagi rangsangan bunyi, panggil nama anak dari arah yang berbeza. – Tunjuk barang atau binatang sambil sebut nama (walaupun orang dulu-dulu tak bagi tunjuk-tunjuk guna jari telunjuk, buat jugak 😜). Tunjuk guna jari penting sebab tahap ini anak belum pandai fokus lagi. – Menyanyi sambil tepuk tangan.
TAHAP 3 (6 BULAN HINGGA 12 BULAN)
1. Cuba untuk mengikut bunyi. 2. Menyebut “bababa”, “mamamama” seperti panggilan mak ayah tetapi masih lagi belum spesifik. 3. Memahami arahan mudah seperti “datang sini”. 4. Mengenal beberapa barang kebiasaan seperti susu. 5. Pergi ke arah bunyi. 6. Menggabungkan bunyi vokal dan konsonan (dadada, nananna, tatatata) 7. Menyebut perkataan pertama seperti “bye- bye”, “hai” atau “mama”.
Tips:
– Minta anak lihat mulut kita sambil sebut nama benda. – Ulang-ulang dan ulang. – Jangan cakap terlampau laju, anak tak dapat tangkap. Panjangkan setiap suku. – Ajar “flying kiss” bersama dengan gerakan mulut dan tangan. -Kerap membersihkan dalam mulut bayi, sama ada guna kain lembab atau berus gigi bayi yang lembut. – Ajar anak minum air guna straw seawal umur 6 bulan (untuk oral motor). – Beri arahan sambil guna pergerakan badan. – Sama-sama ikut anak bercakap seorang diri “tatatata” atau “nananana” sebagai tanda kita berminat untuk mendengar. – Tepuk tangan dan senyum setiap kali anak berjaya sebut. – Ajar bunyi-bunyi binatang sambil tunjuk ke arah binatang contohnya “Ini kucing, bunyi kucing “meoww””. – Abaikan hp semasa anak sedang bercakap, kerapkan mendengar dan melayan. – Banyakkan rangsangan deria rasa makanan, seeloknya buah dan sayur yang pelbagai. – Jangan cakap pelat dengan anak 😷
Point paling penting dalam merangsang percakapan anak adalah ELAKKAN GANGGUAN GADGET ATAU TELEVISYEN, banyakkan masa bercakap dengan anak. Ada yang mengadu dengan saya,
Client: “Anak saya speech delay, tapi saya selalu bercakap dengan dia”. Saya: “Berapa jam buka tv dan gadget di rumah?”
Client: “Memang kerap buka, tapi anak saya tak tengok pun tv”. Jadi mana silapnya? Ok, anak bawah umur 1 tahun akan menyerap segala bentuk rangsangan yang ada terutamanya bunyi sebab bunyi ada dimana-mana. Walaupun kita kerap bercakap dengan mereka, tapi dengan ada ‘background” tv walaupun mereka tak tengok tetap dikira gangguan. Anak jadi susah untuk fokus bunyi mana yang sepatutnya didengar dan tidak patut (auditory filtering).
Sudah ada kajian pada awal tahun ini terhadap kesan penggunaan gadget terhadap 900 bayi 6 bulan hingga 2 tahun, hasilnya memang terbukti penggunaan gadget boleh meningkatkan risiko masalah lewat bercakap. Setiap 30 minit terdedah dengan gadget meningkatkan 49% risiko lewat bercakap (expressive speech delay).
Dalam menjayakan setiap tahap ini memerlukan kerjasama semua 7 komponen sensori, kalau salah satu komponen sensori yang terlebih atau terkurang akan menyebabkan anak mengalami kecelaruan sensori. Sebab itu dalam tips di atas ada saya masukkan kerap mengurut bayi dan sebagainya 😊
Selalunya anak yang lewat bercakap memang akan ada masalah kecelaruan sensori, jadi disarankan mak ayah untuk berjumpa occupational therapist (OT) untuk penilaian sensori supaya rawatan yang bersesuaian dapat dilakukan secepat mungkin. Saya ada menyediakan perkhidmatan OT di Selayang, sesiapa berminat boleh pm saya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.