Asalnya, bayi kecil memang berminat dengan SEMUA benda: kotor atau tidak. Mereka akan kutip, jilat, cium, gigit, makan, peluk semua benda yang dijumpai dan dapat di capai.
KENAPA ANAK SUKA MAIN ‘BENDA KOTOR’?
Soalan utamanya, kenapa alam jadikan mereka berperangai begitu?: untuk belajar dan menjelajah dunia!
Saya senaraikan BEBERAPA CONTOH perkembangan mental yang berlaku di usia anak 0-2 tahun yang jadi bukti kepada perangai suka main segala benda ini:
1. Mulai usia 8 Minggu: Dunia Corak & Bentuk
Ramai anak mula cuba hisap, main dan tenung jari kerana anak baru sedar dia ada jari dan dia mahu kenal jarinya lebih lanjut. Sama juga bila anak mula minat fokus pandang wajah manusia bila di ajak berbual kerana wajah manusia berstruktur maka ia menarik untuk di lihat.
2. Mulai usia 12 Minggu : Dunia Perubahan Lancar
Anak suka meraba dan menyentuh muka, dada dan badan ibu ketika disusukan kerana otak dan ototnya telah punyai keupayaan mengkoordinasi arahan otak-pergerakkan anggota dengan lebih harmoni.
3. Mulai usia 19 Minggu: Dunia Kejadian
Anak menjelajah konsep ‘apa akan jadi seterusnya?’. Misalnya, ” Jika saya angkat kaki cukup tinggi, dapatkah ia mencecah muka saya?”.Lalu kita lihat ramai anak mula hisap jari kaki kerana baru kini dia dapat peluang kenal kaki.
4. Mulai usia 26 Minggu: Dunia Hubungan
Anak kaji kaitan sesuatu bau, bunyi atau gerakan dengan sesuatu kejadian atau objek. Misalnya, “Jika saya gigit mainan ini, adakah ia akan berbunyi?”
5. Mulai usia 37 Minggu: Dunia Kategori
Anak membuat pengkelasan kepada benda-benda yang ada di sekelilingnya. Misalnya, pisang akan penyek bila saya picit tetapi tidak lobak merah.
6. Mulai usia 75 Minggu: Dunia Sistem
Anak sedar komponen yang membentuk sesuatu sistem. Misalnya sistem keluarga saya terdiri dari : saya, ibu, ayah, kak long dan comel si kucing. Anak akan ambil masa mengenali setiap komponen dengan lebih dekat melalui proses bersosial sehingga anak tahu: wajah, suara, barang kepunyaan, nama panggilan dan perangai setiap ahli keluarganya.
***Alam menetapkan anak WAJIB TERTARIK, BERMINAT DAN ADA SIFAT INGIN TAHU terhadap setiap perkara dan benda yang wujud di sekelilingnya, untuk MEMBOLEHKANNYA TAHU BAGAIMANA MENJADI MANUSIA.
Dan ya, setiap benda dan elemen yang wujud di sekeliling anak datang bersama kuman. Hatta udara yang merupakan elemen terpenting manusia.
Disinilah kehebatan Tuhan itu jadi sangat nyata. Pada akal manusia, kita merasa anak manusia perlu sentuh, gigit, kunyah dan jilat benda untuk kenal benda semata-mata. Dalam masa yang sama, manusia jadi takut bila memikirkan banyaknya kuman yang wujud di merata-rata. Hem…macam mana ni?
Namun pada Tuhan yang bijaksana, sentuh, gigit, kunyah dan jilat benda itu bukan semata-mata untuk kenal benda. Tetapi MEMANG bertujuan supaya anak manusia dapat jilat, telan dan sekaligus makan kuman yang wujud pada semua benda itu.
Kuman ada di mana-mana. Dan, YA, anak kecil perlu ‘makan’ kuman. 😮
Pendedahan kepada kuman meningkatkan daya ketahanan sistem imun anak. Bila badan anak di jangkiti oleh sejenis virus spesifik, badannya akan mengkaji virus dan menghasilkan antibodi yang mampu melawan virus tersebut. Maka,di lain kali anak terdedah kepada virus yang sama, badannya boleh melawan virus tersebut tanpa anak dijangkiti.
Kajian pada 2016 mendapati kadar asthma yang rendah di kalangan anak-anak Amish yang tinggal di ladang , dimana ladang merupakan salah satu tempat kaya mikrorganisma.
Manakala kajian pasukan saintis Swedish ke atas 300, 000 kanak-kanak mendapati, kanak-kanak yang menjilat puting tiruan yang terjatuh mempunyai kadar alahan, asthma dan eczema yang rendah berbanding kanak-kanak yang di cuci putingnya. (Professor Gilbert, co-author of “Dirt is Good: The Advantage of Germs for Your Child’s Developing Immune System”)
Kajian inilah yang telah menyangkal dakwaan bahawa makanan yang terjatuh harus di buang kerana mikroorganisma akan menghinggapi makanan yang terjatuh dalam tempoh beberapa milliseconds. Sebenarnya, yang perlu di ambil kira ialah TEMPAT JATUHnya makanan tersebut. Jika tempat jatuh itu di yakini bersih, maka tiada masalah untuk kita memakan makanan tersebut.
Sebagai seorang Muslim, fakta ini terus mengingatkan saya kepada saranan junjungan besar Nabi Muhammad SAW supaya makanan yang jatuh di kutip lalu di makan atau di simpan jika diyakini masih bersih. Saranan baginda telah pun wujud bertahun lamanya sebelum kajian dibuat oleh mana-mana saintis.
Bukanlah bermaksud kita perlu sengaja cari penyakit dengan mendedahkan anak kepada virus untuk menguatkan sistem imunnya. Sifir asasnya: usah sengaja hidup sebagai pengotor namun tak perlulah keterlaluan mengawal kuman sehingga ke tahap sentiasa dalam kerisauan.
Benarkan anak menjadi manusia normal yang menikmati hidupnya. Budayakan hidup mereka dengan disiplin kebersihan asas itu mencukupi: kerap mencuci tangan, mandi setiap hari, minimumkan hubungan dengan ahli keluarga yang sakit serta membersihkan rumah secara berkala.
Ketakutan melampau ibubapa sehingga menyekat naluri semula jadi anak bukan saja membantutkan pembelajarannya. Mensterilkan anak dan rumah setiap masa ibarat hospital menyumbang kepada ‘hyper sensitised immune system’ anak yang bakal membuka jalan kepada menghidapi elergik dan masalah ‘neurodevelopmental’ (sistem saraf).
Keluarlah bermain hujan, lopak, lumpur, rumput, tanah, batu kecil dan pasir. Usahlah risau dengan anak yang menghisap jari dan mengorek hidung. Tak perlu takut membiar anak mengusap kucing dan mengejar ayam hingga ke reban. Tak perlu menjerit panik melihat anak mengutip objek di lantai. Biarkan anak bermain dengan makanannya. Lepaskan anak menikmati penjelajahannya. Alam ada cara melindungi mereka lebih dari yang ibubapa boleh bayangkan.
Sumber:
USWATUN HASANAH MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
DBL INSTITUTE
THB EDU ASSC
THE WONDER WEEKS ACADEMY
SLEEPSMART EDUCATION