“Ku Terima Amanah Ini.” Macam Baru Bersalin, Kali Ini Umie Dapat Bayi Perempuan

Share

“Sekarang saya seperti ibu yang baru bersalin. Semuanya saya buat sendiri,” kata pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida yang mengambil bayi perempuan berusia 12 hari sebagai anak angkatnya.

Umie, 46, atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad berkata, pada awalnya dia tidak merancang namun tidak mampu menolak rezeki Allah SWT.

Menurut Umie, kehadiran anak syurga itu dalam hidupnya bersama suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah rezeki yang tidak ternilai.

“Pada awalnya saya ‘forward’ mesej kepada semua rakan dan bertanya jika mereka inginkan anak angkat ketika bayi itu baru dilahirkan 12 hari lalu. Memandangkan tidak ada maklum balas, saya buat tak tahu saja. Saya berfikir mungkin mereka akan menghubungi ibu bayi ini sendiri.

“Namun, pada sebelah tengah hari saya tergerak hati bertanya semula kepada ibu bayi ini sama ada sudah ada yang berminat atau belum. Apabila diberitahu tidak ada siapa yang memberi maklum balas, saya terus berkata saya nak.

“Padahal sebelumnya saya tidak ada perancangan ke arah itu pun. Tapi, kuasa Allah yang menggerakkan hati kita. Alhamdulillah, saya anggap ini rezeki untuk saya, bayi ini dan keluarganya,” katanya.

Umie yang juga pelakon filem Dukun berkata, bayi yang belum diberi nama itu juga adalah amanah besar buatnya.

“Ini amanah dan ia besar rahmat. Macam mana saya besarkan dan didik dua anak sebelum ini. Apa yang penting adalah didikan agama.

“Insya Allah, saya cuba untuk menggunakan pendekatan digunakan Ustaz Hadi Hidayat dalam mendidik anak. Caranya, perdengarkan ayat al-Quran selama sebulan untuk satu juzuk. Begitulah seterusnya. Jadi, apabila sudah boleh bercakap, terus ajar mengaji. Dalam masa enam bulan selepas itu, dia sudah boleh khatam. Saya cuba buat macam itu. Semoga Allah permudahkan. Dalam masa sama mendidik diri juga,” katanya.

Umie juga berkongsi, suaminya tidak menghalang keputusannya mengambil anak angkat.

“Suami tidak membantah. Dia okey dan suka,” katanya.

Menurut Umie lagi, selama 12 hari ini bayi itu sentiasa ada bersamanya termasuklah membawanya ke lokasi penggambaran Mak Cun musim kelima.

“Saya tidak pernah lagi tinggalkan bayi ini bersama pembantu. Kalau boleh saya nak sentiasa ada bersamanya. Jadi, ketika terbabit dalam penggambaran Mak Cun, saya bawa sekali ke lokasi,” katanya.

Umie yang berkahwin dengan Khairuddin Mac 2010 tidak dikurniakan cahaya mata.

Sebelum ini, Umie sudah memiliki dua anak angkat lelaki iaitu Mohd Daniel Firdaus, 26, dan Mohd Dzulhelmy, 25.

Sumber: Ig Umie Aida & Metro

Published by
Wan Amy