Kuantiti Susu Berkurangan. Penggunaan Penggalak Susu Mampu Membantu @ Tidak?

Share

Kuantiti susu berkurangan. Adakah penggunaan penggalak susu mampu membantu ataupun tidak? Ini pasti dilema yang di hadapi ramai ibu-ibu yang menyusukan bayi. Ibu ini antara salah seorang daripadanya. Ikuti penjelasan pakar ini.

Saya ibu yang menyusukan dan  sedang berpuasa. Kuantiti susu perahan semakin menurun dan ia amat membimbangkan. Apakah penggalak susu dibolehkan dalam situasi ini? Apakah cadangan doktor supaya susu dapat ditingkatkan kembali selain daripada mengambil penggalak susu?

Salhah, Bandar Jengka, Pahang.

 

Berpuasa selama 12 hingga 14 jam sehari tidak akan menjejaskan kuantiti dan kualiti susu yang dihasilkan kecuali ibu tersebut mempunyai masalah kekurangan nutrien. Ini adalah kerana, apabila ibu tidak makan dan minum dalam tempoh berpuasa, sistem tubuh akan mengadaptasi keadaan ini dengan kurang menghasilkan urin (air kencing) dan kurang mengeluarkan peluh.

Pengambilan penggalak susu bukanlah jawapan tepat untuk mengatasi masalah penurunan kuantiti susu perahan. Makin kerap dan banyak susu yang dikeluarkan, maka lebih banyak susu dihasilkan. Konsep ini adalah benar dalam semua situasi termasuk semasa ibu berpuasa.  Jika ibu mengambil penggalak susu tetapi tidak meneruskan menyusu atau memerah dengan kerap mengikut kehendak bayi, penghasilan susu tetap tidak akan meningkat.

Amalan pemberian susu perahan berterusan tanpa menyusui secara terus di payudara ibu boleh menyebabkan susu semakin kurang. Hal ini boleh berlaku kerana rangsangan hisapan di payudara ibu adalah lebih efektif untuk mengeluarkan susu. Selain itu, pemberian susu secara terus akan dapat meningkatkan perasaan kasih sayang dan membuat ibu rasa tenang semasa menyusu. Keadaan ibu yang tenang dan selesa semasa menyusu menggalakkan rembesan hormon oksitosin yang seterusnya membantu lebih banyak susu dapat dikeluarkan. Untuk memastikan susu ibu terus mencukupi walaupun sedang berpuasa, berikut diberikan beberapa saranan yang boleh ibu cuba amalkan.

  1. Ibu digalakkan untuk menyusui bayi secara terus di payudara semampu yang boleh. Jika tidak berkesempatan, berikan susu perahan mengikut kehendak bayi. Lagi banyak susu yang dikeluarkan sama ada secara hisapan terus di payudara atau secara perahan keluar, maka akan lagi banyak susu dihasilkan. Konsep ini adalah benar dalam semua situasi termasuk semasa ibu berpuasa.
  2. Pastikan ibu mengambil minuman dan cairan kerap mengikut keperluan selepas waktu berbuka dan sebelum waktu sahur tamat. Dengan ini kadar air dalam tubuh ibu dapat dikekalkan.
  3. Makan makanan yang seimbang dan pastikan ibu bangun untuk makan pada waktu sahur. Lewatkan waktu makan sahur.
  4. Amalkan pengambilan kurma pada masa berbuka dan juga pada masa bersahur secara konsisten.
  5. Jika ibu bekerja dan perlu menyediakan stok susu perahan, gunakan waktu malam dan sahur juga untuk memerah susu.
  6. Kurangkan melakukan aktiviti lasak atau berat pada siang hari. Atur jadual supaya perjalanan jauh dapat ditangguhkan sehingga habis tempoh puasa.

 

Soalan berikut di jawab oleh Dr Zaharah Sulaiman Pakar Laktasi & Pensyarah Kanan Unit Kesihatan Wanita, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Published by
Wan Erni Liza