Bintang Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Nas Adila telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.3 kilogram pada awal pagi tadi di Hospital Selayang.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh penyanyi lagu Rindu itu menerusi akaun Instagramnya seperti dikongsikan oleh Gempak
“Allah permudahkan sangat-sangat kelahiran putera kedua saya dan suami. Terima kasih banyak atas doa kalian,” tulis Nas Adila.
Sementara itu, suami Nas Adila, Aliff Razali berkongsi pengalaman menyaksikan kelahiran anak keduanya di hospital kerajaan.
Kata bekas peserta AF6 itu, urusan bersalin isterinya itu dipermudahkan walaupun pada mulanya cuak apabila isterinya mahu menaiki tangga bangunan 13 tingkat ketika kontraksi tanpa menggunakan lif.
“Aku seram. Dahlah tengah kontraksi 10 minit sekali, wife aku cakap tak ada apa-apa, 13 tingkat je…
“Aku telan air liur. Hati-hati, kalau penat emergency door ada.
“Bila ada dalam bilik bersalin, baru tengok bini aku nak meneran aduh, muka aku ikut sekalilah teran.
“Allah sedang memperlihatkan aku keajaiban ciptaan-Nya. Allahu, nak menangis pun ada!” kongsi Aliff.
Malah, Aliff turut memuji tindakan pantas petugas di hospital terbabit sekali gus memadam persepsi negatif yang sering dicanang selama ini.
“Aku puji jururawat di Hospital Selayang yang dimomok-momokkan katanya servis hampeh.
“Sorry.. Ini dari hati aku jujur, memang kakitangan nampak garang, tegas dan ada nampak kadang-kadang senyum pun susah.
“Fahamlah, mereka stand-by 24 jam, mental kadang-kadang boleh koyak, tapi kerja mereka tip-top!” tambahnya.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rizqi Ikhram yang kini berusia tiga tahun.
Sumber: Ig Nas Adila & Aliff Razali