Penjagaan anak pasti perkara yang paling dititikberatkan oleh kebanyakan ibu bapa. Ini termasuklah tentang menjaga tunggul tali pusat bayi yang baru dilahirkan.

Jom kenal pasti tanda ia dijangkiti dan cara merawatnya.

Kulit Sekitar Tunggul Tali Pusat Bayi Jadi Merah, Bengkak, Hangat & Lembut Tanda Terkena Jangkitan!

Penjagaan tunggul tali pusat bayi

Ketika berada di dalam rahim, tali pusat bayi berfungsi untuk memberikan mereka oksigen dan nutrien yang diperlukan untuk menyokong proses tumbesaran.

Selepas dilahirkan, doktor atau bidan akan memotong tali pusat tersebut daripada plasenta dan meletakkan penyepit pada tunggul yang tersisa untuk memegangnya.

Selepas beberapa hari, setelah tali pusat itu menjadi kering, anda boleh membuka pengepit tersebut.

Tali pusat biasanya akan kekal berada bersama bayi untuk tempoh selama 5 hingga 15 hari. Sepanjang tempoh itu, tunggul tali pusat bayi akan mengering, mengecut dan bertukar menjadi hitam.

Kadangkala, terutamanya sehari sebelum ia tertanggal, tali pusat tersebut mungkin akan mengeluarkan sedikit cecair dan meninggal kesan pada pakaian si manja.

Elakkan mencabut tunggul tali pusat bayi

Perkara paling penting yang harus diingatkan dalam penjagaan anak adalah untuk tidak cuba menarik tali pusat tersebut, walaupun ia kelihatan seperti akan mudah untuk dicabut.

Ini kerana, ia boleh menyebabkan tempoh penyembuhan bertambah dan cenderung mengakibatkan wujudnya parut.

Sebaiknya, biarkan ia tertanggal atau tercabut dengan sendiri apabila tiba masanya.

Jika tali pusat tertanggal dengan sendiri, anda mungkin akan mendapati berlaku sedikit pendarahan pada tunggul tali pusat si manja.

Namun, usah bimbang. Apa yang berlaku itu dikatakan sebagai perkara biasa dan akan berhenti dengan segera.

Penjagaan anak berkaitan tunggul tali pusat

IKLAN

Seperti yang dinyatakan di atas, tempoh jangkaan untuk tali pusat akan mengering dan tertanggal adalah antara 1 hingga 3 minggu selepas kelahiran.

Namun, sementara menunggu berakhirnya jangka masa itu, terdapat 3 cara penjagaan bayi yang perlu dilakukan seperti:

Pastikan tunggul tali pusat sentiasa kering

Anda boleh membiarkan tunggul tersebut mengering dengan membiarkannya terdedah kepada udara.

Pastikan bahagian depan lampin tidak menutupi tunggul tali pusat bayi anda.

Menggunakan span ketika mandi

Semasa memandikan si manja, anda digalakkan untuk menggunakan span sahaja dan elakkan merendamkan bayi ke dalam tab atau besen yang mengandungi air.

Tujuannya adalah untuk memastikan tunggul tali pusat sentiasa berada dalam keadaan kering.

Kulit Sekitar Tunggul Tali Pusat Bayi Jadi Merah, Bengkak, Hangat & Lembut Tanda Terkena Jangkitan!

Menarik atau mencabut

IKLAN

Ada masanya, anda seakan tergoda untuk menarik atau mencabut tunggul tali pusat itu, kan? Apatah lagi apabila melihat ia seakan-akan mudah ditarik.

Namun, perbuatan tersebut hanya akan mendatangkan kesan sampingan kepada bayi. Jadi dalam aspek penjagaan anak ini, anda harus biarkan ia jatuh dengan sendiri, okay?Pun begitu, dalam sesetengah kes, berlaku juga keadaan di mana tunggul tali pusat tidak sembuh sepenuhnya dan timbul tisu merah lembap. Selalunya ia turut mengakibatkan terbentuknya benjolan.

Keadaan itu dipanggil ‘granuloma’. Ia tidak berbahaya, namun anda dinasihatkan untuk membawa bayi mendapatkan pemeriksaan doktor.

Tanda tunggul tali pusat bayi dijangkiti

Ibu jangan terkejut jika lihat ada kudis di hujung tali yang dikepit- ini normal. Bahkan, ia mungkin berdarah sedikit, terutama pada sekitar pangkal tunggul ketika ia sudah hampir tertanggal.

Tetapi seharusnya pendarahan ringan yang terjadi dan akan berhenti apabila anda memberikan tekanan yang lembut.

Walaupun pendarahan yang berlaku adalah perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan, namun ada 5 tanda jangkitan perlu diberikan perhatian, termasuklah:

-Kulit sekitar tunggul tali pusat bayi menjadi merah, bengkak, hangat atau lembut
-Keluar nanah – cecair kuning kehijauan – daripada kulit sekitarnya
-Wujud bau busuk yang datang daripada tali pusat
-Bayi mengalami demam
-Anak menjadi cerewet, berasa tidak selesa atau sangat mengantuk

Rawatan segera

Segera hubungi pakar pediatrik atau doktor sekiranya anda melihat tanda-tanda jangkitan tali pusat di atas.

IKLAN

Dianggarkan sehingga 15% kes jangkitan tali pusat membawa maut. Maka dalam aspek penjagaan anak dengan jangkitan tali pusat, ia boleh dianggap sebagai kecemasan perubatan.

Bayi pramatang berisiko tinggi mendapat komplikasi teruk daripada jenis jangkitan ini kerana mereka sudah mempunyai sistem imun yang lemah.

Setelah penyebab gejala dikenal pasti, rawatan akan bergantung pada tahap jangkitan.

Untuk jangkitan ringan, doktor biasanya akan mengesyorkan anda untuk menggunakan salap antibiotik beberapa kali sehari pada kulit di sekitar tunggul tali pusat bayi.

Contoh jangkitan ringan adalah jika terdapat pengeluaran nanah dalam jumlah yang kecil, namun keadaan anak anda kelihatan baik dan masih aktif seperti biasa.

Pun begitu, kes jangkitan ringan boleh menjadi lebih serius apabila tidak dirawat, jadi penting untuk berjumpa doktor jika mengesyaki berlaku jangkitan tali pusat.

Untuk jangkitan yang lebih serius, bayi anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital dan diberi antibiotik intravena untuk melawan jangkitan.

Antibiotik intravena dihantar melalui jarum yang dimasukkan ke dalam vena – saluran darah.

Kulit Sekitar Tunggul Tali Pusat Bayi Jadi Merah, Bengkak, Hangat & Lembut Tanda Terkena Jangkitan!

Pemeriksaan doktor

Semasa proses penyembuhan, adalah normal untuk melihat sedikit darah pada sekitar tunggul tali pusat si manja. Usah bimbang, okay?

Tetapi anda perlu melakukan pemeriksaan dengan doktor jika tunggul tali pusat mereka masih belum terpisah setelah 3 minggu.

Ini kerana ia mungkin disebabkan berlakunya masalah kesihatan yang mendasari seperti jangkitan atau gangguan sistem imun.

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI