Selepas 27 tahun negara kita diisytiharkan sebagai negara bebas Polio, satu kes telah disahkan dijangkiti virus polio di Sabah. Kes ini melibatkan seorang bayi lelaki yang hanya berumur 3 bulan dari Tuaran, Sabah yang mengalami demam dan selepas itu diikuti dengan lemah anggota badan.
Apakah itu polio?
Poliomyelitis ataupun lebih dikenali sebagai “polio” adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus yang dipanggil “poliovirus”. Polio telah hampir dipupuskan di dunia ini dengan hanya berendemik di negara Pakistan dan Afghanistan dengan jangkitan polio liar (wild type 1 poliovirus). Terdapat 3 strains virus polio dan jenis 2 dan 3 sudah pun dipupuskan masing-masing pada tahun 2015 dan tahun 2019.
Virus polio disebarkan melalui najis-tangan-mulut dan bukannya melalui penyebaran di udara. Ia mempunyai masa tempoh pengeraman (incubation period) selama 7 hingga 14 hari, di mana virus akan membiak di sistem limpa dalam sistem pencernaan kita sebelum menyebabkan penyakit.
Akan tetapi, 90 – 95% orang yang dijangkiti polio tidak akan mempunyai sebarang tanda. Segelintir kecil pula mengalami masalah seperti jangkitan virus biasa dengan sakit kepala, sakit tekak, demam dan keletihan.
Terdapat sekumpulan kecil yang dijangkiti virus polio, terutamanya kanak-kanak dibawah umur 5 tahun, akan mengalami masalah lumpuh badan dan otot lemah sehinggakan pernafasan terjejas yang kita panggilkan sebagai “paralytic polio”.
Keadaan inilah yang telah berlaku terhadap bayi 3 bulan di Tuaran. Paralytic polio ini seterusnya akan meningalkkan kesan yang berpanjangan terhadap otot dan sekaligus menyebabkan kecacatan otot yang berkekalan untuk lebih daripada 2/3 pesakit paralytic polio. Setakat ini, tiada ubat khas untuk jangkitan polio. Rawatan hanyalah pemantauan, bantuan pernafasan dan ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan.
Ads
Bagaimanakah kita dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti polio?
Vaksinasi adalah satu-satunya cara yang terbukti untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti polio.
Jangkitan polio adalah epidemik seluruh dunia sehingga tahun 1950an apabila vaksin untuk polio telah dicipta oleh Jonas Salk pada tahun 1952 sebagai “inactivated poliovirus vaccine” dan 1960 oleh Albert Sabin sebagai “oral polio virus”. Endemik yang terbesar berlaku pada tahun 1988, melibatkan 125 negara dan menyebabkan kecacatan otot berkekalan untuk lebih 350,000 kanak-kanak.
Pada tahun itu juga, World Health Organisation (WHO) telah melancarkan program “Global Polio Eradication Initiative (GPEI)”. Program ini telah berjaya menurunkan kes poliomyelitis lebih daripada 99.9% kepada kurang daripada 50 kes jangkitan polio liar (hanya 37 kes di Pakistan dan Afghanistan sehingga July 2019 untuk tahun ini). Kes terakhir di Malaysia berlaku pada 27 tahun yang lepas pada tahun 1992.
Setakat ini terdapat 2 jenis vaksin untuk mencegah penyakit Polio, Iaitu Oral Polio Vaksin (OPV) dan Inactivated Polio Vaksin (IPV).
Ads
OPV adalah virus polio yang telah dilemahkan dan diberi secara titisan cecair ke dalam mulut. Virus dalam OPV yang dilemahkan akan membiak di dalam usus dan seterusnya badan kita akan menghasilkan antibodi yang berkekalan untuk badan kita. Virus polio yang dilemahkan itu akan diproses dan dibuang sebagai najis. Di negara ataupun kawasan dengan sanitasi yang kekurangan, virus ini akan disebarkan kepada kanak-kanak lain untuk mendapatkan pelindungan secara pasif. Dalam erti kata yang lain, oral polio membantu untuk kanak-kanak lain yang tidak mendapat vaksin juga melalui cara “pasif” itu. Cara ini disarankan untuk negara yang lebih mundur dan endemic polio.
Untuk IPV pula, vaksin ini diberikan secara suntikan. IPV digabungkan untuk dalam vaksin 5 serangkai mahupun 6 serangkai (di klinik/hospital swasta) untuk diberikan pada umur 2, 3, 5 bulan dan dos booster pada umur 18 bulan. IPV adalah virus polio yang telah dimatikan tetapi badan kita dapat mengenalpasti unsur-unsur virus polio apabila disuntik ke dalam badan. Badan kita akan menghasilkan antibodi secara semulajadi dan memberi perlindungan kepada kita untuk mengelakkan daripada terjangkit polio secara berkekalan. Di Malaysia, kita sudah bertukar dari OPV ke IPV sepenuhnya sejak tahun 2009.
Apa pula yang dimaksudkan dengan vaccine-derived poliovirus (VDPV)?
Untuk VDPV ataupun vaccine-derived poliovirus pula, ia tidak bermaksud vaksin polio membawa penyakit!!! VDPV ini hanya berlaku di negara yang menggunakan ORAL POLIO VAKSIN (OPV) kecuali terdapat jangkitan kes import dari negara lain. Negara kita sudah tidak menggunakan OPV sejak tahun 2009. IPV tidak akan menyebabkan vaccine-derived poliovirus!!!
VDPV berlaku apabila dalam sesebuah komuniti yang diberi oral polio virus dengan kadar vaksinasi yang rendah (<95%), oral polio virus yang dihasilkan sebagai najis diberikan kepada orang yang seterusnya melalui sebaran najis-tangan-mulut. Setiap kali virus dari OPV ini melalui pemprosesan dalam usus manusia, kandungan genetiknya akan berubah. Kitaran ini akan berterusan jika kadar imunisasi di kawasan itu sangat rendah dan sistem sanitasi dan tahap kebersihan masyarakat setempat itu rendah. Selepas satu masa yang lama dengan kitaran yang berulang-ulang, biasanya lebih daripada 12 bulan, virus polio itu akan bertukar kepada bentuk yang dapat menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit VDPV.
Ads
Jadi, masalah utamanya bukan dengan vaksin itu, tetapi disebabkan oleh kadar vaksinasi yang agak rendah dan tahap sanitasi yang kekurangan.
Mengapakah kes di Tuaran ini dapat berlaku sedangkan negara kita tidak menggunakan OPV?
Kes jangkitan polio yang berlaku di Tuaran mempunyai perkaitan genetik yang bersamaan dengan kes VDPV yang berlaku di Filipina baru-baru ini. Berkemungkinan besar (kes masih disiasat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia), kuman ini “diimport” oleh orang yang tidak divaksin dan terjangkit virus polio di Filipina. Ingat lagi, kebanyakan mereka yang dijangkiti polio tidak mempunyai tanda dan hidup seperti biasa. Tetapi, mereka akan menyebarkan penyakit ini melalui najis-tangan-mulut!!!
Kes di Tuaran melibatkan seorang kanak-kanak yang berumur 3 bulan. Jika bayi ini sudah divaksinkan, dia hanya mendapat suntikan pertama sahaja dan perlindungan daripada polio adalah rendah.
Siasatan awal pihak KKM pula mendapati 25 daripada 204 (12.3%) kanak-kanak di sekitar kawasan tempat tinggal kes tidak divaksinkan. Untuk mendapatkan perlindungan imuniti (Herd Imunity) semulajadi dari orang sekeliling, kawasan tersebut memerlukan kadar imunisasi lebih daripada 95%. Jadi, bagi mereka yang tidak dapat divaksinkan seperti bayi ini yang tidak cukup umur untuk divaksinakan penuh adalah berisiko besar untuk dijangkit jika didedahkan kepada kuman-kuman seperti polio.
Vaksinkanlah anak anda mengikut masa yang ditetapkan dan dapatkan nasihat daripada doktor secepat mungkin jika terdapat sebarang permasalahan terhadap vaksin. Jangan sebab anda tidak mahu vaksinkan anak anda, anak pula yang terpaksa menanggung segala kesusahan kelak masa.
“Vaccination Saves Live. Let’s make sure we vaccinate every child and end polio for good”
Dr Lim Wee Yi
Pakar Kanak-kanak,
SALAM Senawang Specialist Hospital
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Adakah masalah rambut gugur itu normal? Masalah keguguran rambut menjadi lebih teruk selepas beberapa bulan melahirkan anak. Persoalan tersebut sering menghantui ramai wanita yang mempunyai masalah ini.
Ramai wanita nak tahu cara atasi masalah rambut gugur selepas bersalin. Rambut sememangnya mahkota wanita jadi bila berlaku keguguran rambut yang teruk, ramai wanita berasa stres.
Menurut Dr Deena Khairiah dari Dr Shah Hair Clinic, masalah keguguran rambut dipanggil fenomena acute telogen effluvium – kedaaan di mana rambut gugur lebih daripada normal iaitu lebih 150 helai sehari.
Antara faktor Acute Telogen Effluvium adalah seperti berikut:
Selepas bersalin
Demam panas
Pembedahan
Stress melampau
Diet yang ekstrem
Post partum hair loss
Masalah post partum hair loss adalah keadaan di mana rambut gugur banyak daripada normal. Ia berlaku dalam tempoh 3 hingga 6 bulan lepas bersalin. Ada yang berpanjangan ke sembilan bulan hingga setahun lepas bersalin.
Menurut Dr Deena, rambut manusia seperti daun kerana ada kitarannya. Rambut manusia dianggarkan lebih kurang 100,000 helai. Kulit kepala manusia ada 3 jenis rambut iaitu:
Anagen – rambut tebal, kasar, tidak gugur dan akan memanjang. Kalau cabut akan rasa sakit. Ia akan memanjang antara 2 hingga 6 tahun dan selepas itu akan gugur. Tapi ia akan masuk fasa seterusnya.
Catagen – bila bersedia untuk gugur, ia akan jadi lagi halus dan masuk ke fasa seterusnya iaitu telogen.
Telogen – halus dan kerap gugur. Secara normal akan gugur sebanyak 50 hingga 150 helai setiap hari pada setiap manusia. Tiada manusia yang tidak mengalami keguguran rambut.
Bila rambut sudah gugur ia akan digantikan dengan rambut baru dan jadi tebal semula.
Rambut Semasa Mengandung VS Rambut Selepas Bersalin
Ramai ibu selepas bersalin mengadu keadaan rambut mereka semasa mengandung sangat berkilau, bersinar dan lebat tetapi selepas bersalin, lama-kelamaan rambut berguguran dan semakin menipis.
Menurut Dr Deena, semasa mengandung ada peningkatan hormon estrogen, progesterone, HSG & prolaktin dalam badan ibu.
Ia meningkat seiring untuk keperluan bayi yang membesar dalam rahim ibu tetapi ia juga bertindak seperti baja kepada rambut – memanjangkan fasa anagen iaitu rambut tebal, panjang dan tidak gugur.
“Tetapi selepas bersalin hormon tersebut kembali rendah dan turun balik ke para normal jadi rambut pun gugur lebih banyak.
Masalah ini sementara, cuma sekitar 3 hingga 6 bulan sahaja. Nanti ia akan diganti dengan rambut baru yang tak akan gugur.
Lepas bersalin kebanyakan ibu mudah stress melihat fizikal berubah, letih jaga anak, jadi jangan risau sangat sebab ia sementara sahaja,” ujar beliau lagi.
Apakah punca utama masalah keguguran rambut
Antara punca utama masalah keguguran rambut atau penipisan rambut kerana female pattern hair loss yang disebabkan oleh faktor genetik.
Ia mengganggu hampir 40% wanita daripada populasi wanita di seluruh dunia. Ia dikatakan berkait rapat dengan faktor genetik.
Mereka yang lahir dengan keturunan female pattern hair loss atau nama saintifiknya Androgenetic alopecia. Mereka ini lahir dengan rambut depan dan tengah itu sensitif kepada sejenis hormon iaitu hormone DHT atau Dihydrotestosterone.
Hormon DHT itu yang akan menyebabkan masalah kepada folikel rambut dan jadi mengecut. Rambut daripada tebal semakin menipis terutamanya di bahagian rambut depan dan tengah sahaja.
Masalah ini akan progresif atau berterusan sehinggalah rambut wanita tersebut menjadi sangat-sangat jarang. Kalau perasan, rambut makin nipis, jarang, botak ia disebabkan oleh female pattern hair loss.
Tip penjagaan rambut
Dr Deena yang berpengalaman merawat masalah rambut berkongsi tip penjagaan rambut yang boleh diamalkan oleh semua wanita.
Masa pakai tudung elak ikat rambut ketat-ketat kerana ia boleh menyebabkan rambut yang tertarik akan menjadi nipis dan jarang.
Jika pilih syampu, tengok apa bahan-bahan yang digunakan sekiranya syampu itu berkesan pada rambut anda. Bahan-bahan yang boleh mengurangkan keguguran rambut seperti peptide. Terbukti berkesan secara klinikal dan akan panjangkan kitaran akar anagen rambut, jadi ia mengurangkan keguguran rambut.
Kekerapan syampu rambut bergantung kepada jenis kulit rambut seseorang.Kalau kulit kepala berminyak memang kena syampu selalu. Kalau tak syampu akan gatal, berkelemumur dan rambut menjadi rata. Orang kulit kepala kering boleh syampu rambut dalam masa 2 hingga 3 hari sekali.
Rawatan di Doctor Shah Hair Clinic
Bila ada masalah, doktor kena kenal pasti apa puncanya sebelum memulakan rawatan.
Begitulah yang akan dilakukan oleh para doktor di Doctor Shah Hair Clinic apabila ibu lepas bersalin yang mengalami masalah keguguran rambut yang teruk ingin membuat rawatan.
Doktor akan kenal pasti apa punca rambut rosak dan memeriksa kulit kepala pesakit menggunakan satu alat.
Alat tersebut digunakan untuk memeriksa kulit kepala bagi melihat keadaan folikel normal atau tidak dan tengok ratio rambut.
Rawatan ikut jenis masalah yang dihadapi rambut. Ada rawatan rambut merangkumi ubat-ubatan dan rawatan.
Syampu, serum, conditioner khas untuk orang yang ada masalah rambut nipis, gugur dan jarang.
Wanita terutamanya bertudung tidak perlu risau untuk merujuk masalah rambut mereka di klinik ini kerana ada ruang privasi untuk wanita terutama yang bertudung yang akan diperiksa oleh doktor wanita.
Jadi, ibu lepas bersalin yang mengalami masalah keguguran rambut melebihi tempoh 6 hingga setahun lepas melahirkan anak jangan susah hati kerana ada cara penyelesaian membantu anda.
“Nampaknya baby puan dalam kedudukan songsang. Kalau minggu depan dia masih tak pusing, maksudnya puan kena bersalin secara pembedahan ya,” kata doktor selepas membuat ujian ultrasound bagi mengesan kedudukan bayi dalam kandungan.
“Alamak, kena bersalin caeser la kita nampaknya bila baby tak nak pusing jugak.”
Sekiranya kedudukan bayi menyongsang apabila kehamilan melebihi 34 minggu, ia mesti diambil perhatian oleh ibu hamil. Ketika ini saiz bayi sudah semakin membesar dan beratnya juga bertambah. Jadi, sukar sebenarnya untuk mengubah kedudukan bayi ke posisi normal. Kemungkinan besar dia akan terus kekal menyongsang sehingga waktu ibu melahirkannya. Ini bermakna bayi anda adalah songsang dan anda perlu bersalin secara pembedahan caesarean!
Bolehkah bayi songsang kembali normal?
Sebenarnya dalam perkembangan teknologi perubatan masa kini, ibu yang mengandung bayi songsang masih lagi boleh menyimpan harapan untuk melahirkan bayi secara normal. Biasanya selepas melakukan pemeriksaan ultrasonografi (USG) untuk melihat keadaan bayi di dalam rahim ibu, doktor akan menyarankan ibu untuk membuat senaman khusus di rumah bagi membantu mengubah bayi kepada kedudukan normal iaitu kepala bayi di bawah perut ibu.
Selain senaman, doktor berupaya mengubah kedudukan bayi melalui prosedur External Cephalic Version atau EVC. Prosedur ini hanya boleh dilakukan oleh doktor pakar sakit puan yang berkelayakan sahaja dan ketika usia kehamilan sudah 37 minggu ke atas.
Selain dari itu ibu juga boleh mengamalkan tip perubatan Islam berikut:
1. Ibu digalakkan untuk sujud lama sedikit ketika solat iaitu sekurang-kurangnya lima minit.
2. Dalam keadaan sujud, rebahkan badan ke kiri dan kanan bergantung pada kedudukan badan bayi dan baringkan selama 20-30 minit (di luar solat).
3. Jika badan bayi ke kanan rebahkan ke kiri dan sebaliknya.
4. Lakukan posisi seperti merangkak. Jangan merangkak ke depan dan lakukan dalam 5 saat sebanyak 2-3 kali bergantung pada badan, baca ayat 74 dari surah Al-Hijr yang bermaksud: “maka kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah.”
5. Ambil segelas air kosong lalu bacakan surah Al-Insyirah sebanyak 3 kali dan hembuskan ke dalam air. Ambil air yang sudah dibacakan dengan surah tersebut dan usap di perut sebanyak tiga atau tujuh kali mengikut lawan pusingan jam serta selawat ke atas Nabi s.a.w. Lebihan air boleh diminum. Lebih mustajab, jika suami juga boleh lakukan perkara yang sama.
6. Amalkan membaca surah Al-Insyirah sebanyak 10 kali selepas solat fardu beserta doa, semoga Allah permudahkan proses kelahiran anak yang dikandungkan.
Ada juga petua orang tua-tua yang ibu boleh amalkan untuk cubaan mengubah kedudukan bayi songsang.
* Letak pek ais di atas perut. Tujuannya supaya bayi rasa tak selesa atau sejuk di bahagian kepalanya. Jadi dia akan mengubah dan berpusing ke bawah.
* Kerap bermain dengan lampu suluh di perut anda. Suluhkan di bahagian bawah pusat dengan tujuan supaya bayi bergerak ke arah cahaya.
* Rajinlah bercakap dan pujuk bayi supaya berpusing dan duduk di kedudukan yang betul.
Bagaimanapun, kalau semua usaha telah ibu lakukan untuk mengubah kedudukan bayi kembali normal tetapi tidak berjaya, janganlah sedih dan bimbang. Kini dengan teknologi perubatan dan kepakaran para doktor, melahirkan bayi songsang bukan lagi satu masalah. InsyaAllah, banyakkan berdoa semoga Allah permudahkan urusan kelahiran bayi dengan selamat biarpun perlu melalui proses pembedahan caesarean.
Kerap kali ibu bertanya, bayinya kerap menangis terutama dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas kelahiran.
Ramai pula yang beranggapan si ibu tidak cukup susu ataupun susu ibu menyebabkan anak kembung, ataupun macam-macam alahan dan masalah yang kadangkala tidak masuk akal.
Sedikit sebanyak ini dapat mengurangkan keyakinan ibu berkenaan keupayaan dirinya bagi menyusukan anaknya.
Ditambah pula ibu mungkin keletihan disamping hormon-hormon yang masih belum stabil.
” beri je susu tepung, kenyang bayi tu minum,”
” Tengok minum susu tepung terus tidur lena ”
Mungkin itu salah satu cadangan daripada emak suami ataupun saudara mara kita kan.
Mari kita cuba selami perasaan bayi yang baru lahir tu. Selama sembilan bulan dia berada di dalam tempat yang gelap, selamat dan didodoikan dengan degupan jantung ibunya.
Dia tidak perlu menghisap bagi mendapatkan makanan. Zat-zat daripada ibu disalurkan terus kepada anak melalui tali pusat.
Selepas dilahirkan, keadaan bertukar 360 darjah * Mengapa dunia ini begitu terang dan bising? * Mengapa pula perlu menghisap bagi mendapatkan makanan? * Mengapa di sini rasa tidak selamat?
Ibu cuba menyusu, bayi menolaknya. Lampin pula diperiksa, tiada air kencing ataupun najis. mungkin dia mahu dibedung tetapi selepas diikat kemas , dia masih menangis.
Ibu menyoal diri sendiri.
Adakah dia kembung? atau susuku ini tidak sesuai untuk si kecilku? ketakutan mula bersarang dan semakin buntu.
Yakinlah wahai ibu , susu diciptakan khusus untuk bayi kita. Mustahil susu ibu menjadi makanan yang membahayakan kepada bayi kita kecuali dalam keadaan -keadaan tertentu yang jarang berlaku.
Pertukaran dari dunia janin ke alam nyata memang menakutkan bagi bayi. Oleh itu, penyusuan susu ibu, sentuhan kulit ke kulit, dukung dan berbual dengan bayi kita.
Letakkan bayi ke dada dan dodoikan dia dengan alunan zikir, ayat Al-Quran, atau rentak yang mendamaikan.Lama kelamaan bayi pasti tertidur.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.