
Bukan dipinta lahir berlainan dengan manusia normal, tapi itulah yang berlaku kepada seorang yang kanak-kanak berusia dua tahun yang mempunyai wajah unik akibat struktur tulang muka yang berlainan dengan kanak-kanak lain hingga membuatkan dirinya dipinggirkan.
Malah dengan keadaannya itu dia yang masih kecil dilarang ke pusat asuhan kanak-kanak (Taska) di Kawasan tempat tinggal mereka, Bashkortostan, Rusia.
Menurut laporan akhbar antarabangsa, kanak-kanak berusia dua tahun itu dilarang ke Taska kerana kakitangan pusat itu bimbang wajah peliknya akan menakutkan kanak-kanak lain yang ada di situ.
Sofya Zakharova, 2, kanak-kanak yang dimaksudkan itu dilahirkan dengan kecacatan tengkorak dan jari kakinya sejak lahir. Ibu Sofya, Svetlana Zakhrova menyatakan bahawa kakitangan di tempat asuhan itu meminta mereka untuk tidak menghantar Sofya sehingga pembedahan dilakukan terhadap anak kecil itu untuk mengubah wajahnya terlebih dahulu barulah anak kecil itu dibenarkan berada di taska tersebut.
Perkembangan Sofya akan terbantut kerana kurang interaksi
Pakar kanak-kanak di sana turut menyatakan dengan larangan yang dibuat, perkembangan Sofya akan terbantut kerana dia tidak diberi peluang untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
“Semakin banyak interaksi yang Sofya dapat bersama rakan-rakan seusianya, semakin mudah untuk dia menerima keadaan dirinya yang tidak seperti kanak-kanak lain,” ujar Pakar Psikologi Pendidikan, Ekatarina Belan kepada media tempatan.
Bagaimanapun pembedahan ke atas kanak-kanak itu sebenarnya ditangguhkan berulang kali. Kes itu kemudiannya diambil oleh badan amal Rainbow of Goodness.
Malah pihak berkuasa tempatan juga menyiasat keengganan taska itu untuk menerima Zakharova serta penangguhan pembedahan kanak-kanak itu.
Mereka juga sedang berusaha untuk memberi Sofya Zakharova dan ibu bapanya tempat tinggal yang selesa berbanding sekarang yang mana mereka tinggal bersama datuk dan nenek kanak-kanak ini. Lebih menyedihkan kediaman mereka serba kekurangan kerana tidak mempunyai kemudahan yang cukup.
Telah jelas bahawa hak kanak-kanak dan ibu bapa tersebut dilanggar.Bagaimanapun menurut ibunya, Svetlana Gizatullina sekolah itu masih enggan memberi tempat kepada anaknya.
sumber: Metro UK
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bayi Membebel & Mengagah Tandanya Dia Berkomunikasi. Kalau Anak Menangis Layan

Bayi sejak saat dilahirkan, sudah mula keluarkan bunyi iaitu menangis. Bila anak menangis salah satu indikasi bayi boleh bernafas dan paru-paru berfungsi dengan baik.
Peringkat anak membebel atau mengagah adalah antara umur 0 hingga 6 bulan.
1 bulan ada yang boleh keluar bunyi vokal
3 bulan ada yang buat bunyi vokal panjang
5 bulan ada yang mula buat bunyi bebelan seperti ba ba ba
Bunyi vokal mula menjadi lebih panjang dan seakan-akan berkomunikasi dengan kita menjelang umur 12 bulan dan ada yang sebutan amat jelas menyebut ‘mama’.
Peringkat 6 hingga 12 bulan pula bayi sudah mula mengatur kata-kata mengikut pola suku kata.
7 hingga 9 bulan bayi sudah mahu berekspolarasi dengan bunyi panjang dan suka cuba nada intonasi yg berbeza.
9 hingga 12 bulan bayi akan mula menyebut perkataan mudah seperti mama, baba, papa dan faham arahan ringkas seperti NO.
Ada yang suka meniru bunyi binatang atau sangat suka meniru cara orang dewasa buat bunyi.
Antara apa yang ibu bapa boleh lakukan di rumah untuk merangsang anak buat bunyi dan berkomunikasi dengan anak adalah:
? Berulang ulang buat bunyi mudah seperti ma ma, ba ba
? Dapatkan perhatian bayi menggunakan mainan berbunyi
? Segera respon kepada bayi bila dia buat bunyi dan cuba tiru balik
? Buat memek muka bila beri respon pada bayi
Seronok kan jika kita jadi ibu bapa yang lebih memahami perkembangan anak.
Mummy Nurul juga selalu merujuk kepada Terapis Pertuturan untuk menerangkan kepada Mummy supaya sentiasa belajar dan update. Al maklumlah anak ramai kadang-kadang lupa juga.
Nurul Sheriena Musa
Ibu yang masih berusaha membebel dengan anak yang dalam tahap ‘bossy’
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Papa Ini Kongsi Cara Ajar Anaknya Tidur Awal Waktu Malam. Paling Penting Mulakan Sejak Bayi!

Kebanyakan ibu bapa selalu merungut anak susah nak tidur awal waktu malam. Ada tu pukul 1 atau 2 pagi pun anak masih lagi segar dan ajak nak bermain.
Bagi ibu bapa yang bekerja ini yang menambahkan lagi tekanan kerana esok kena bangun awal sehingga boleh menyebabkan badan letih dan tak cukup rehat.
Jika diikutkan kita boleh je nak disiplinkan anak. Syaratnya kena mulakan sejak bayi lagi. Apa yang dikongsikan oleh papa ini, Muhammad Syahrul Fitri Zawawi (Dr Syahr Musafir) boleh dijadikan panduan bersama.
—————————————————————————–
Sepanjang 6 tahun 6 bulan (ikut usia Along) saya dan isteri bergelar bapa dan ibu, kami tak pernah berjaga malam kerana anak-anak bermain, tak mahu tidur, merengek tak tentu pasal. Jam 9 malam secara konsisten anak-anak masuk tidur dan bangun sekitar Subuh setiap pagi.
Pengalaman dengan 3 orang anak ini, sepanjang malam anak-anak akan tidur, kecuali masa nak menyusu (logiklah, anak kecil), tetapi menyusu ini tidak dikategorikan sebagai berjaga. Kalau waktu demam pun selalunya tidur tetapi mahu diriba atau dipeluk, kerana tidak sihat atau perlukan perhatian. Saya dan isteri memilih untuk berjaga sebab nak pantau suhu dan keadaan anak-anak, bukan sebab anak-anak tak nak tidur.
Saya kongsi apa yang saya dan isteri saya buat. Mana yang baik, ambillah. Mana yang tak baik, abaikanlah. Ini bukan tulisan arahan, ini bukan tulisan menyuruh memaksa. Ini adalah perkongsian pengalaman 6 tahun sebagai ibu bapa dan punya 3 anak kecil. Bukan membangga diri, tetapi berkongsi untuk diambil manfaat oleh ibu bapa yang mahu.
Papa adalah saya, Mama adalah isteri saya, supaya lebih mudah faham.
1) Disiplin Tidur Ibu Mengandung
Kandungan berusia 6 minggu, baru kami tahu Mama mengandungkan Along. Ketika itu tahun 2010, kami berada di Australia nak menghabiskan tahun akhir pengajian ijazah (Bachelor degree). Seperti yang kita faham, apa sahaja ‘perangai’ ibu mengandung akan diikuti oleh si anak. Maka bermulalah Disiplin Tidur Ibu Mengandung yang Mama amalkan.
Jam 10 malam, Mama kena berhenti daripada melakukan semua aktiviti fizikal dan masuk bilik untuk mula rehat. Ada masanya Mama buat sudoku, baca buku, tilawah al-Qur’an, menonton video atau mendengar ceramah. Sekitar 11 malam, Mama akan tidur.
Untuk disiplin ini, Papa ambil alih tugas-tugas rumah. Kemas rumah atau cuci pinggan mangkuk segala bagai, Papa kena buat. Sudah jam 11 malam, Mama mengandung kena rehat.
2) Disiplin Masa Tidur Sejak Dari Bayi; Siang Cerah, Malam Gelap
Hari pertama Along dilahirkan, Mama amalkan disiplin yang sama tetapi ubah masa. Masuk waktu Maghrib, bilik tidur akan digelapkan (tutup lampu). Bukan nak tidur terus selepas waktu Maghrib, tetapi untuk ‘mengajar’ bayi bahawa siang sudah berganti malam. Mama menyusu dalam keadaan gelap, hanya diterangi lampu tidur.
Along tidur sepanjang malam, hanya bangun nak menyusu sahaja.Tiba waktu Subuh, Papa akan hidupkan lampu untuk cerahkan bilik. Bayi bangun menyusu dalam keadaan bilik cerah. Nak mengajar bayi bahawa malam sudah berganti siang pula.
Sepanjang siang, jangan gelapkan bilik atau ruang yang Mama guna. Alhamdulillah sepanjang pantang, bayi tidur di ruang cerah sepanjang siang dan tidur di ruang gelap sepanjang malam. Jadual tidur bayi konsisten tidur sepanjang malam sekitar Isyak dan bangun sekitar Subuh, hanya bangun menyusu sahaja.
Ada ibu bapa muda yang risau anak-anak kecil tidur dalam bilik gelap – this is OK. Tak salah apabila kita risau. Tapi apabila terlalu risau, boleh jadi salah. Kalau tak nak betul-betul gelap, boleh guna night light yang kecil macam kami.
Yang penting, siang itu cerah, malam itu gelap. Siang untuk aktiviti, malam untuk tidur.
3) Teruskan Sepanjang Membesar Dan Sehingga Membesar
Alhamdulillah dari hari pertama Along melihat dunia, disiplin masa tidur yang kami amalkan ini diikut oleh Along.
Cabaran bermula apabila Along sudah mula pandai berjalan, usianya 1 tahun, Along sudah mula kurang tidur siang. Kami mula risau adakah disiplin masa tidurnya akan berubah. Sangkaan kami meleset kerana ikut pengalaman kami, semakin banyak aktiviti anak semasa siang, anak akan kepenatan dan tidur awal pada malamnya. Ketika ini Along merengek nak tidur sekitar jam 5 petang, kami mandikan, sekitar jam 5.15 sudah masuk waktu Maghrib di Australia (musim sejuk), Along akan menyusu dan tidur sepanjang malam sehingga ke sekitar waktu Subuh. Lebih kurang 11 jam cukup untuk tidur malam, selebihnya 2 hingga 3 jam jam tidur siang. Anak seusia 1 hingga 3 tahun perlukan waktu tidur sekitar 12 hingga 14 jam sehari.
4) Anak Kedua Ikut Pattern Tidur Anak Pertama
Along mengikut disiplin tidur ini secara konsisten sehingga berusia 2 tahun 3 bulan ketika menerima kelahiran adiknya, cahaya mata kedua kami iaitu Angah IY.
Mama mula tumpukan perhatian lebih kepada bayi, mengikut disiplin tidur yang sama kami amalkan ketika Along masih bayi dulu. Sekitar waktu Maghrib-Isyak, Mama menguruskan bayi yang nak tidur.
Oleh sebab Mama perlu jaga bayi baru, Papa perlu menguruskan Along. Papa akan pastikan Along melakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang, tidur yang produktif (maksudnya tidur dalam 1 hingga 2 jam pada siang) dan bermain, belajar, pada waktu tidak tidur. Bak kata orang, “Biar anak penat waktu siang, jadi anak akan tidur pada waktu malam…” Lebih kurang beginilah. Alhamdulillah, berjaya.
Angah, dari usia bayinya sehingga membesar dan merangkak, mengikut disiplin tidur malam yang sama seperti Along.
Sepanjang membesar, kami menjangkakan cabaran yang pelbagai. Tetapi semuanya jadi mudah kerana Angah ‘mengikut’ disiplin Along. Along nak tidur, Angah pun jadi nak tidur. Jadi disiplin ini berterusan…
5) Luang Masa Bersama Anak Ketika Nak Tidur
Sudah semestinya anak-anak kecil takkan tidur sewenang-wenangnya sebegitu. Ada beberapa perkara yang kami lakukan untuk ‘tidurkan’ anak-anak. Lebih kurang nak pujuk supaya tidurlah, katakan.
– Bercerita
Anak-anak, sejak kecil, sudah boleh faham apa sahaja kita cakap. Bercerita apa sahaja, anak-anak akan seronok. Apabila Papa tak ada idea nak bercerita, Papa akan bacakan buku cerita. Apabila tak ada idea lain, Papa akan menyanyi lagu-lagu yang menenangkan.
– Bacaan al-Quran dan selawat
Ini paling mujarab. Papa selalu bacakan Surah As-Saff, anak-anak akan mengikut bibir dan akhirnya tidur.
Bahkan Mama lebih konsisten dan istiqamah kerana Mama menyusu badan buat Along dan Angah. Masa yang banyak antara Mama dan anak-anak menjadikan bonding yang cukup kuat. Alhamdulillah… Anak-anak jadi menurut kata, dengar dan taat, alhamdulillah, dari segi disiplin dalam rumah, tidur dan bermain (kemas barang selepas main).
– Tempat Tidur Yang Selesa
Sediakan katil yang selesa, ruang yang menenangkan untuk anak-anak tidur. Kalau bilik bersepah, kita pun tak nak tidur.
– Temankan Anak
Jangan kita arahkan atau suruh anak-anak pergi tidur tapi kita dok depan TV layan drama. Papa akan temankan anak-anak dalam bilik, bercerita dan semuanya, sehingga anak-anak tidur.
– Pamerkan Kasih Sayang
Peluk cium anak-anak kita. Kena buat mereka rasa dilindungi, disayangi dan dihargai. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah seharian di luar, semasa nak tidur inilah masa untuk kita tunjukkan kepada anak-anak tentang we care, we love and we want the kids to know we love them.
6) Bersedia Dengan Cabaran Baru
Oleh kerana Mama menguruskan bayi, Papa bertanggungjawab menguruskan Along dan Angah. Disiplin tidur perlu diikut. Siang untuk aktiviti, tidur siang sekadar 1 hingga 2 jam, dan waktu Maghrib untuk khidmat diri, sekitar selepas Isyak Along dan Angah diajak masuk ke bilik untuk bacaan dan seterusnya tidur.
Alhamdulillah Aboy ikut disiplin yang sama. Kami mandikan sekitar waktu Maghrib dan akan menyusu seterusnya tidur sekitar waktu Isyak.
7) Mama Sedang Hamil Perlukan Disiplin Tidur, Papa Berperanan Urus Anak-anak Yang Besar
Point nombor 1 iaitu “Disiplin Tidur Ibu Mengandung” diamalkan Mama bagi anak kedua dan ketiga. Oleh kerana Mama mengandung, Papa kena main peranan uruskan anak-anak ketika tiba waktu tidur.
8) Pengorbanan Paling Mencabar; Tak Boleh Keluar Malam
Point nombor 8 ini paling simple, tetapi boleh jadi paling mencabar. Apabila senja saja, anak-anak sudah terbiasa untuk khidmat diri (mandi dan pakai baju tidur), tak kisah di mana sahaja. Ikutilah disiplin selagi mana di rumah dan tempat-tempat bersesuaian.
Ketika berada di restoran, seboleh mungkin kami akan pergi sebelum waktu Maghrib. Siap order makanan, Papa Mama bergilir pergi solat – kami wajib pilih restoran yang ada sediakan surau. Makan-makan selepas itu dan seterusnya pulang ke rumah. Bersedialah anak-anak tidur dalam kereta sepanjang perjalanan pulang.
No such things as pergi shopping waktu malam bersama keluarga dan sebagainya. Kalau tetamu datang rumah pada waktu malam pun Papa dan Mama akan mention datang sebelum Maghrib atau selepas waktu Isyak sebab waktu Maghrib-Isyak adalah waktu kritikal kami nak uruskan anak-anak nak tidur.
9) DOA
Doa banyak-banyak moga Allah SWT kurniakan anak-anak yang mudah dijaga, sihat, soleh/ah dan menyenangkan jiwa-jiwa kita sebagai ibu bapa.
Sumber: Syahr Musafir
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Perut Anak Tak Sama Macam Kita, Jangan Paksa Dia Makan Banyak Sangat!

Ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Ketika waktu makan khususnya, kebanyakan ibu akan mengatur apa yang perlu dimakan oleh anak mereka. Sesetengah daripada menu yang disediakan oleh si ibu mungkin tidak menyelerakan bagi anak, jadi jangan salahkan mereka.
Untuk memastikan anak berselera dan suka makan, jangan sesekali memaksa mereka. Perlu dibuat perlahan-lahan dan dengari juga kehendak mereka. Dipetik melalui laman web helloDOKTOR, ada menyebut beberapa kesalahan yang biasa dibuat oleh ibu bapa ketika waktu makan dengan anak.
ANAK KENA IKUT PERATURAN MAKAN
Kebanyakan ibu bapa akan menetapkan peraturan ketika makan. Sebagai contoh, untuk makan manisan yang mereka inginkan, anak-anak harus habiskan sajian utama. Sebenarnya itu salah kerana anak mempunyai kebolehan semulajadi yang tersendiri untuk menentukan kadar pengambilan makanan mereka.
KADANG-KADANG, IBU BAPA SUKA SANGAT PAKSA ANAK UNTUK HABISKAN MAKANAN, SEDANGKAN WAKTU ITU MEREKA SUDAH KENYANG. MEMAKSA MEREKA MAKAN TERLALU BANYAK AKAN MENJADIKAN ANAK TRAUMA DAN MERASAKAN WAKTU MAKAN SESUATU YANG TIDAK MENYERONOKKAN.
Sepatutnya ibu bapa hanya perlu biarkan anak menikmati makanan mereka. Sedikit atau banyak bukan masalah, beri peluang mereka untuk makan sendiri dan nikmati makanan yang ada. Pada waktu lain, anda boleh ambil inisiatif untuk terangkan kepada mereka keburukan membazir atau makan terlalu banyak. Pastikan anak-anak gembira ketika waktu makan.
PAKSA ANAK MAKAN YANG MEREKA TIDAK SUKA
Satu lagi kesilapan lain yang selalu dibuat adalah dengan memaksa anak makan apa yang mereka tidak suka. Biasanya anak-anak tidak sukakan sayur-sayuran. Daripada memaksa mereka makan dengan rupanya yang begitu ‘jelas’, ibu boleh sembunyikannya dalam masakan.
Mengetahui kepentingan nutrisi yang ada di dalam sayuran, hasilkan menu yang menggunakannya tanpa perlu dilihat oleh si manja.
TAK ADA STRUKTUR
Anak-anak suka makan mengikut kehendak mereka. Ketika disuruh makan mereka tidak mahu. Tiba-tiba ketika belum waktu makan, mereka mengadu lapar pula. Biasanya anak akan cenderung untuk meminta snek dari makanan utama. Jangan terlalu diikutkan kerana ia mengganggu struktur pemakanan yang sebenarnya.
Ibu bapa boleh membentuk satu struktur makan yang lebih teratur. Tetapkan waktu makan untuk sajian utama dan snek mengikut waktu yang spesifik. Pastikan jadual makan ini sama setiap hari supaya anak anda dapat membiasakan diri. Jangan terlalu tegas dan mengabaikan permintaan mereka untuk makan jika tidak ‘kena’ dengan waktu yang telah anda tetapkan.
Artikel Lain: [“Macam Mana Anak Nak Pintar Kalau Diracun Jajan Setiap Hari?” Jajan Akan Kecilkan Pusat Memori Otak]
TIADA PILIHAN PELBAGAI
Jangan marah anak jika mereka menolak untuk makan apa yang anda sediakan. Mungkin ada sebab mengapa jadi begitu, tanyakan pada anak apa yang mereka inginkan. Sediakan menu pelbagai dan pastikan ada kandungan nutrisi di dalamnya. Terangkan juga kepada anak apa yang anda sediakan serta kebaikannya untuk mereka.
Artikel Lain: [Jangan Guna Sudu Untuk Bagi Ubat Pada Anak, Sukatan Sudu Tak Tepat. Tak Sedar Beri Bahaya]
JIKA ANAK TIDAK MAHU MAKAN BANYAK PADA KALI PERTAMA, JANGAN BERPUTUS ASA. TERUSKAN BERINOVASI DAN CIPTA RESIPI YANG MENGIKUT SELERA ANAK ANDA. ANAK-ANAK AKAN MAKAN JUGA AKHIRNYA WALAUPUN MENGAMBIL MASA.
Ketika makan, elakkan memarahi atau memaksa anak untuk makan seperti orang dewasa. Dalam proses membesar, mereka masih mencuba dan mencari apa yang mereka suka. Tanyakan pada anak apa yang mereka gemari dan cubalah hasilkan makanan seperti yang mereka inginkan. Jika ada masa yang terluang, ibu boleh libatkan anak-anak ketika proses memasaknya. Pasti mereka lebih teruja untuk memakan hidangan itu.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Anda moms-to-be dan mahu belajar ilmu berpantang yang betul? Jangan ketinggalan untuk menyertai Pa&Ma E Workshop yang akan mengetengahkan tentang kepentingan berpantang serta cara terbaik untuk melakukannya. Nak sertai, klik SINI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI