Kurangkan Stres Dalam Rumah Kalau Nak Lahirkan Anak Berakhlak Baik Dan Pintar

Share

Bila kita bertanya kepada kebanyakan ibu bapa apa yang mereka mahu daripada anak mereka, apakah jawapan yang biasa kita akan terima?

– Pastilah mereka mahukan anak yang pintar dan sentiasa gembira.

Rata-rata ibu bapa sebenarnya mementingkan pelajaran, keperluan dan akhlak keperibadian anak-anak berbanding  perkara lain.

Jika baik akhlak anak sejak kecil, apabila semakin besar mereka akan menjadi anak yang boleh membawa haluan ke arah kehidupan lebih baik. Oleh itu dalam proses mendidik anak-anak yang lebih pintar dan berakhlak baik ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

1. Sentiasa tunjukkan contoh yang baik

Ia bukan mengenai apa yang kita nasihatkan, tetapi apa yang kita tunjukkan. Jangan beritahu anak anda bagaimana untuk hidup, tetapi HIDUPlah dan biarkan anak-anak memerhatikan anda.

Amalkan apa yang anda nasihatkan. Tunjukkan cara. Anak kita sentiasa memerhatikan dan akan meniru segala tindak-tanduk dan berusaha untuk menjadi seperti kita.

Luangkan masa dengan mereka, dan ajarkan mereka untuk percaya pada diri sendiri, dengan kita terlebih dahulu menjadi insan yang boleh mereka percaya.

2. Kurangkan stres anda, dan seterusnya tahap stres di dalam rumah

Saya tahu bukan mudah, tetapi percaya atau tidak, apa yang lebih dimahukan oleh anak-anak terhadap ibu bapanya adalah gembira dan kurang stres.

Mereka mahu rumah menjadi tempat tinggal yang aman dan bebas stres.

3. Membesarkan anak dengan meletakkan kepercayaan dalam diri anak

Pujian yang terbesar yang boleh kita berikan kepada anak adalah dengan meletakkan kepercayaan kepada mereka dan biarkan mereka tahu bahawa anda mengambil berat terhadap mereka.

Apabila anda melihat sesuatu yang benar, bagus dan cantik di dalam diri mereka, jangan segan dan ragu-ragu untuk menunjukkan minat anda.

Jika anda terlihat sesuatu yang tidak bagus dan tidak cantik dalam diri mereka, tegurlah secara berhemah.

Walaupun hanya dengan perbuatan ringkas dengan meletakkan kepercayaan dalam diri anak, ia boleh menghasilkan impak yang besar.

4. Puji anak anda atas usaha mereka, bukan atas kebijaksanaan mereka

Apabila kita memuji anak atas usaha mereka, kita membawa mereka kepada sesuatu yang mereka boleh kawal – iaitu berapa banyak usaha yang mereka boleh lakukan.

Ini adalah satu perkara yang penting kerana ia mengajar anak untuk tekun dan meningkatkan perkembangan diri dengan berusaha sekuat mungkin. Mereka akan melihat kejayaan itu adalah hasil dari usaha keras dan bukannya sekadar nasib baik semata-mata.

Dan juga jangan terlampau memuji anak-anak anda tanpa sebarang sebab. Pastikan setiap pujian yang dibuat adalah bersebab.

5. Laksanakan peraturan yang logik dan munasabah

Anak-anak tidak boleh dibiarkan dalam keadaan yang terlampau bebas. Kepercayaan bahawa peraturan yang tegas akan menimbulkan pemberontakan, manakala kebebasan akan membantu kelakuan yang lebih baik adalah karut semata-mata.

Banyak daripada kajian yang dilakukan mendapati bahawa anak-anak yang terlibat dengan pelbagai masalah kebanyakkannya mempunyai ibu bapa yang tidak menetapkan had dan peraturan yang munasabah

Jika ibu bapa jenis sangat penyayang dan menerima walau apa juga apa yang anak lakukan, walaupun mereka buat perkara yang tak betul, anak-anak akan menganggap tindakan ibu bapa itu sebagai tanda bahawa mereka tidak diambil kisah.

Sebaliknya, ibu bapa yang konsisten menerapkan peraturan dan had batasan selalunya akan menjadi insan yang paling rapat anak-anak.

Sumber: Muhamad Naim Abd Manaf

Published by
Wan Amy