Dunia pendidikan Malaysia bakal melangkah ke fasa baharu yang lebih segar dan menyeronokkan! Mulai tahun 2027, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan Kurikulum Persekolahan 2027. Satu pembaharuan yang memberi penekanan kepada pembelajaran holistik, nilai murni dan pendekatan kreatif dalam bilik darjah.

Co-Teaching: Dua Guru, Satu Kelas Lebih Kreatif & Berkesan

Antara pembaharuan paling menarik dalam Kurikulum Persekolahan 2027 ialah kaedah ‘Co-Teaching’ atau pengajaran berpasukan, di mana dua guru akan mengajar dalam satu kelas secara serentak. Pendekatan baharu ini dijangka menjadikan sesi pengajaran lebih interaktif, menyeronokkan dan memberi lebih perhatian kepada keperluan setiap murid.

Kurikulum Persekolahan 2027: Revolusi Co-Teaching Baharu Dalam Pendidikan Malaysia
pendidikan-karakter-kpm

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa pendekatan ini membuka ruang kepada guru untuk berkreativiti dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam merancang serta menyampaikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Dalam kaedah ini, dua guru bekerjasama sepenuhnya dalam satu kelas, bukannya guru dan pembantu pengajar. Gabungan dua tenaga pendidik akan menjadikan suasana PdP lebih menarik dan berkesan,” jelasnya.

Melalui kaedah co-teaching, guru bukan sahaja dapat menyampaikan pelajaran dengan lebih berkesan, malah dapat memberi tumpuan kepada pelajar mengikut tahap kemampuan mereka. Ujian rintis yang telah dijalankan melibatkan 130 guru menunjukkan hasil yang positif dengan pelajar lebih fokus, bersemangat dan suasana kelas menjadi lebih hidup.

‘Alam dan Manusia’: Subjek Baharu Untuk Anak-Anak Tahap 1

Kaedah co-teaching akan diterapkan bagi subjek baharu ‘Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu’ di Tahap I. Subjek ini menggabungkan elemen Sains, Bahasa dan Sosial, membolehkan anak-anak belajar secara holistik, bukan sekadar menghafal fakta semata-mata.

Ads
Kurikulum Persekolahan 2027: Revolusi Co-Teaching Baharu Dalam Pendidikan Malaysia
Foto: Utusan Malaysia

Menariknya, dalam Kurikulum Persekolahan 2027 ini, nilai dan akhlak tidak lagi diajar dalam satu subjek khas seperti Pendidikan Islam atau Moral sahaja. Sebaliknya, setiap mata pelajaran akan menerapkan nilai murni dan adab dalam pembelajaran.

“Guru Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris juga akan menerapkan nilai murni dan adab dalam pengajaran mereka. Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berakhlak dan berdisiplin,” ujar Fadhlina.

Program Pembentukan Karakter: Bentuk Jiwa & Sahsiah Pelajar

Selain co-teaching, KPM turut memperkenalkan Program Pembentukan Karakter yang akan dijalankan 60 minit seminggu dalam jadual waktu persekolahan. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menghayati nilai positif, adab dan akhlak dalam kehidupan seharian. Ia juga bertujuan membentuk pelajar yang berhemah tinggi, berempati dan menghormati orang lain.

Fadhlina berkata, pendekatan ini bukan sekadar untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, tetapi turut akan dimulakan di peringkat prasekolah mulai tahun hadapan.

Ads

“Murid prasekolah mudah dibentuk kerana mereka belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Jadi, ibu bapa dan guru perlu berganding bahu dalam membentuk karakter anak-anak,” katanya.

Persediaan Guru Bermula Awal

Bagi memastikan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 berjalan lancar, latihan profesionalisme guru (penataran) bagi sesi akademik 2025/2026 telah pun bermula. Ramai guru menunjukkan keterujaan mencuba pendekatan baharu ini kerana ia memberi peluang untuk berinovasi dan berkolaborasi dalam pengajaran.

Kurikulum Persekolahan 2027: Revolusi Co-Teaching Baharu Dalam Pendidikan Malaysia
Gambar HIasan AI

Dengan dua tenaga pengajar dalam satu kelas, KPM yakin kaedah co-teaching dapat menangani isu keciciran pelajar dan memastikan setiap murid mendapat perhatian sewajarnya, sesuatu yang sering menjadi cabaran dalam sistem pendidikan sebelum ini.

Pendidikan Baharu Untuk Generasi Baharu

Kurikulum Persekolahan 2027 bukan sekadar mengubah struktur pembelajaran, tetapi mengubah cara anak-anak kita belajar, berfikir dan berinteraksi dengan dunia. Dengan co-teaching yang kreatif, pembelajaran bersepadu dan penekanan terhadap nilai murni, anak-anak akan membesar bukan sahaja bijak akademik, tetapi juga berjiwa besar, berakhlak dan yakin diri.

Ads

Inilah langkah ke arah pendidikan masa depan dengan mendidik anak bukan sekadar untuk cemerlang dalam peperiksaan, tetapi untuk menjadi manusia yang baik dan berguna.

✨ Majalah Pa&Ma menyambut baik inisiatif Kurikulum Persekolahan 2027 kerana ia sejajar dengan aspirasi ibu bapa masa kini yang mahu melihat anak-anak bukan hanya pandai di sekolah, tetapi juga berbudi bahasa, berakhlak dan seimbang dari semua aspek kehidupan.

Sumber: Berita Harian, (Foto) Cikgu HailmiUtusan Malaysia

BACA LAGI : Hari Raya Aidilfitri 2026 Jatuh Dalam Cuti Sekolah, Ibu Ayah Tarik Nafas Lega!

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads