Kurma Sangat Bermanfaat Dalam Proses Bersalin. Doktor Ini Terangkan Kelebihannya

Share

Makanan sunah seperti kurma sangat digalakkan untuk diamalkan oleh ibu hamil termasuklah ketika dalam proses bersalin. Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) menerangkan dengan lebih lanjut kenyataan ini.

Kurma adalah antara makanan jenis buah yang sangat kaya dengan pelbagai nutrien. Ia kaya dengan gula (80%) dan selebihnya adalah protein, serat dan mineral penting seperti kalsium, zat besi, magnesium, manganese, potassium, sodium, phosphorus,  selenium dan zink. Kurma juga mempunyai vitamin yang pelbagai. Antaranya vitamin A,  B kompleks termasuk folate; C, E dan K.

Di  dalam 100gm kurma terkandung 282kcal yang terdiri daripada karbohidrat 75gm, lemak baik 0.4gm dan protein 2.45gm. Ia mempunyai indeks glisemik yang sederhana (bergantung kepada jenis kurma). Sebagai contoh, kurma khalas mempunyai indeks glisemik 35.5, barhi 49.7 dan bo ma’an 30.5.

Jadi, dapat dirumuskan bahawa kurma mempunyai indeks glisemik yang rendah. Walaupun manis, ia mempunyai banyak serat yang melambatkan penyerapan gula dalam darah. Dianggarkan terdapat 8gm serat di dalam 100gm kurma.

Diakui bermanfaat

Secara amnya pengambilan kurma sememangnya bagus untuk orang yang sihat, apatah lagi wanita hamil. Dr Zubaidi berpendapat, pengambilan kurma yang betul (tidak diambil secara berlebihan) memberikan manfaat kepada wanita hamil sama ada di awal kehamilan malah di minggu-mingu terakhir sebelum melahirkan anak.

Ramai pengkaji mendapati bahawa pengamalan kurma terutamaya pada minggu akhir kehamilan membantu proses kelahiran kerana ia meningkatkan tindak balas rahim terhadap hormon oksitosin. Hormon ini bertindak dengan mengecutkan rahim. Dengan itu, ia dapat mengurangkan pendarahan yang biasa berlaku selepas bayi dikeluarkan daripada rahim.

Selain daripada itu, kurma memiliki banyak nutrisi yang sangat penting untuk  digunakan semasa proses melahirkan anak. Kurma mengandungi lemak asid tepu dan tidak tepu seperti asid oleic, asid linoleic dan asid linolenic yang mampu membekalkan banyak tenaga di mana anda amat memerlukannya semasa melahirkan anak.

Asid-asid lemak ini juga sangat penting untuk membina bahan prostaglandin (yang digunakan dalam proses pengecutan rahim). Selain itu, tannin dan kalsium dalam kurma juga penting dalam aktiviti pengecutan otot-otot rahim. Mari kenali nutrisi kurma lainnya, yang memberikan kebaikan kepada wanita hamil.

  1. Gula ringkas glukosa dan fruktosa,mudah dihadam untuk ditukarkan kepada tenaga yang banyak.
  2. Serat, membantu memudahkan proses pembuanganair besar dan mengelakkan sembelit yang biasanya menjadi masalah utama bagi wanita yang hamil akibat saiz rahim yang semakin membesar. Antara lain, pengambilan serat yang banyak dapat mengurangkan risiko diabetis akibat kehamilan (gestational diabetes).
  3. Potassium,mengekalkan kestabilan antara mineral dan air bagi mengawal tekanan darah yang lebih baik.
  4. Magnesium,mengelakkan rasa kejang pada rahim sebelum berlakunya proses kelahiran (sepanjang kehamilan).
  5. Folate, membentuk saraf tunjang bayi yang berada dalam rahim bagi mengelakkan kecacatanneural tube defects.
  6. Vitamin K, membantu pembekuan darah selepas kelahiran anak bagi mengelakkan kehilangan darah yang banyak.

Bantu bukaan servik

Banyak kajian yang menunjukkan pengambilan kurma membantu bukaan pangkal rahim (servik) dengan lebih mudah dan besar. Dalam kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2011, ia menunjukkan wanita yang mengambil enam biji kurma sehari, sekurang-kurangnya empat minggu sebelum melahirkan anak mengalami proses kelahiran yang lebih mudah.

Mereka yang  mengamalkan kurma tidak mengalami pecah selaput ketuban ketika dimasukkan ke hospital untuk melahirkan anak, mudah memulakan proses kelahiran tanpa memerlukan ubat pitocin dan memendekkan fasa pertama dalam proses kelahiran.

Hal ini berlaku kerana pengambilan kurma elembutkan pangkal rahim. Jadi, memudahkan pangkal rahim membuka ‘jalan’ kelahiran bagi bayi dalam rahim untuk keluar. Mereka yang lebih sukar untuk memulakan proses kelahiran juga didapati lebih mudah bertindakbalas dengan ubat pitocin berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan kurma sepanjang kehamilan.

Dalam penulisan yang diterbitkan dalam The Journal of Midwifery and Reproductive Health), mereka yang mengamalkan kurma mempunyai bishop scores (satu penilaian terhadap kesediaan wanita yang mahu melahirkan anak dengan mudah), pembukaan ‘jalan’ kelahiran lebih luas kerana pangkal rahim lebih lembut dan mudah bertindak balas terhadap ubat pitocin, jika ia diberikan pada wanita yang mengalami masalah memulakan proses kelahiran.

Pengambilan kurma sememangnya memberikan kesan yang sangat baik. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2017, pengamalan kurma ketika hamil terutamanya di peringkat akhir kehamilan, memberikan kesan positif kepada proses kelahiran tanpa memudaratkan ibu dan bayi yang dilahirkan.

Cara betul makan kurma

Dalam banyak kajian yang dinyatakan tadi, terbukti  pengambilan kurma sangat bermanfaat untuk wanita hamil. Jadi, anda boleh amalkan empat hingga enam biji kurma sehari.

Disarankan ambil dua hingga tiga biji pada waktu pagi dan dua hingga tiga biji pada waktu malam. Kurma boleh dimasukkan ke dalam minuman sebagai pemanis bagi menggantikan gula. Jika tidak pun, campurkan kurma yang dipotong kecil dengan sayur-sayuran atau buah-buahan segar.

Bagi wanita yang tiada masalah kesihatan, boleh ambil enam hingga lapan biji sehari. Jika berada di minggu akhir kehamilan (36 minggu ke atas), boleh ambil lapan hingga 10 biji sehari, bergantung kepada berat badan, ketinggian dan aktiviti seharian.

Namun begitu, wanita yang ada masalah diabetes semasa hamil, perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Dicadangkan agar meninggalkan karbohidrat ringkas seperti kuih-muih dan kek tetapi menggantikannya dengan kurma yang lebih semula jadi dan merupakan karbohidrat kompleks.

Published by
Intan Jastina