Bila mana anda melawat ibu yang baru bersalin, adalah lebih baik anda bercakap tentang perkara yang positif sahaja. Ini kerana emosi ibu yang sedang berpantang agak rapuh dan mudah terganggu. Terutama sekali apabila melibatkan dirinya dan anaknya yang dikandung 9 bulan.

Atau lebih baik anda menangguhkan dahulu keinginan untuk melawat dan berikan si ibu masa untuk pulih daripada proses melahirkan. Jika anda merancang untuk melawat juga, elak daripada mengajukan soalan-soalan seperti ini.

Anda kelihatan letih!

Sebagai ibu baru, siapa sahaja yang tidak mengalami masalah tidak cukup tidur malam? Setiap ibu baru tentunya sedar akan rutin baru mereka itu membuatkan wajah mereka kelihatan lesu, jadi, anda tidak perlu menegurnya tentang lingkaran gelap bawah mata dan bengkak mata pada wajahnya. Kata-kata anda, walaupun dinyatakan secara simpati, hanya akan mengguris perasaan ibu sahaja.

Bila anda boleh masuk semula bekerja?

Ibu baru bersalin ingin selalu dekat dengan bayinya. Jadi, ibu akan sering berasa bimbang untuk kembali semua bekerja dan meninggalkan bayi kepada pengasuh. Oleh itu, jangan tambahkan tekanan kepada ibu baru dengan menanyakan soalan tersebut.

Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata seperti berikut jika ibu sudah kembali bekerja, seperti “Adakah kerja anda lebih penting daripada bayi anda?” atau “Bagaimana anda boleh meninggalkan bayi anda yang masih kecil di pusat jagaan harian bayi?” Kata-kata ini boleh mengurangkan keyakinan ibu baru dan menambahkan kerungsingannya tentang kerja dan anak.

Selain itu, jika seseorang ibu itu memutuskan untuk berhenti kerja bagi menjaga bayi sepenuhnya di rumah, jangan sesekali anda meluahkan pendapat bahawa keputusannya untuk berhenti bagi membesarkan bayi adalah keputusan yang salah.

Bayi anda tidak kelihatan seperti anda!

Kebanyakan ibu berkongsi bahawa ramai yang mengatakan wajah bayi mereka kelihatan seperti bapa atau tidak mewarisi wajah ibunya. Walaupun anda hanya berjenaka, namun sebenarnya, ia bukanlah sesuatu yang perlu diungkapkan. Anda perlu faham bahawa ibu yang bersusah payah mengalami proses kelahiran yang menyakitkan untuk melahirkan bayi. Jadi, kebanyakan ibu pasti akan terasa jika menerima jenaka yang tidak sensitif seperti itu. Begitu juga, jika anda menyatakan bayi yang dilahirkan tidak kelihatan seperti si bapa, itu juga adalah tidak patut. Mengapa tidak jika anda hanya mengatakan “Comelnya bayi anda!

Anda perlu memberikan bayi susu badan

Semua orang tahu bahaya penyusuan susu ibu adalah yang terbaik. Walau bagaimanapun, bukan semua ibu boleh menyusukan bayi dengan susu badan mereka sendiri. Oleh itu, jika ibu baru tidak mempunyai pilihan untuk menyusukan bayi mereka, tetapi terpaksa memberikan bayi susu formula, janganlah menghakimi ibu tersebut kerana ia hanya akan membuatkannya rasa lebih bersalah.

Sebagai tambahan, jangan pula anda bertanyakan ibu berapa lama dia berhasrat untuk menyusukan bayinya. Meskipun kebanyakan pakar menyarankan ibu baru untuk menyusukan bayi mereka sekurang-kurangnya enam bulan pertama, namun ada ibu yang akan menyusukan bayi lebih pendek atau lebih panjang berbanding yang disarankan. Jadi ianya tiada kaitan dengan anda. Itu adalah tubuhnya, bayinya dan itu juga pilihannya. Jadi, simpan pendapat anda untuk diri anda sahaja.

Bercakap mengenai berat badan ibu baru

Jangan katakan sesuatu tentang berat badan ibu! Ini adalah sesuatu yang sensitif. Kata-kata ini akan hanya membuatkan ibu bertambah kecewa dan malu.

Sumber: Hello Doktor