Akhirnya, anda merancang untuk mendapatkan anak. Tahniah! Jangan risau! Anda akan menjadi ibu/bapa yang baik. Namun begitu, sebelum bermulanya perjalanan ini, tidak salah jika anda ingin mengajak teman hidup anda untuk mempersiapkan diri dari segi emosi, fizikal dan mental sebelum menempuh fasa hidup yang baru.
Berikut merupakan 5 perkara yang perlu anda lakukan bersama pasangan anda sebelum anda cuba untuk mendapatkan anak. Ikuti artikel ini untuk maklumat selanjutnya.
1. Rancang kewangan anda
Perancangan kewangan adalah merupakan perkara utama yang perlu dilaksanakan sebelum anda membuat keputusan untuk mendapatkan anak. Bak kata pepatah “Mereka yang gagal merancang merancang untuk gagal”, pastikan anda mengambil kira segala kos keperluan bayi seperti kos lampin, peralatan, baju dan lain-lain. Mula menyimpan duit sedikit demi sedikit. Cara yang paling mudah adalah dengan meletakkan objektif spesifik jumlah wang simpanan setiap minggu/ bulan.
Di Malaysia, terdapat pelbagai inisiatif kerajaan yang dibuat khas untuk membantu rakyat tempatan. Pelan wang simpanan sejak kecil seperti ADAM50 dan TAWAS (oleh kerajaan negeri Selangor) boleh memberikan manfaat jangka masa panjang buat anak-anak anda. Kaji berkenaan dengan bantuan kerajaan yang boleh dipohon bagi memudahkan anda dalam merancang kewangan anda. Pastikan masa depan anak anda terjamin dan tidak terbatas disebabkan masalah kewangan.
2. Berhenti merokok!
Secara amnya, merokok membahayakan kesihatan. Kajian telah menunjukkan bahawa merokok adalah punca kepada 100 jenis kanser, yang 9 daripadanya adalah jenis kanser paru-paru. Ia juga dapat memberikan komplikasi serius terhadap fetus yang sedang membesar seperti bayi pramatang, kecacatan kekal pada mulut dan keterencatan perkembangan otak kekal.
Penting bagi anda dan pasangan anda untuk berhenti merokok bagi menjamin kesihatan diri seterusnya fetus yang sedang membesar. Tiada gunanya jika isteri anda berhenti merokok / tidak merokok namun anda masih merokok kerana kesan daripada asap rokok tidak tertumpu kepada orang yang menghisap sahaja, malah orang di sekeliling yang terbau asap tersebut. Masih belum terlambat untuk anda berhenti jadi jika anda menghadapi masalah, dapatkan bantuan dan nasihat daripada doktor untuk berhenti merokok sekarang.
3. Percutian ke tempat menarik
Sokongan moral daripada pasangan adalah merupakan aset berharga sepanjang tempoh kehamilan kelak. Dalam menguatkan jalinan kasih sayang di antara suami dan isteri, pergilah bercuti ke mana-mana negara atau lokasi pelancongan tempatan bagi menenangkan fikiran masing-masing. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang mengambil cuti pendek dapat meningkatkan kestabilan emosi dan mengawal tahap tekanan perasaan dengan lebih baik. Kebaikan fisiologikal ini kekal selama 30-45 hari selepas tamat tempoh percutian.
Penting untuk anda mengekalkan tekanan emosi pada paras yang rendah jika anda ingin mencuba untuk mendapatkan anak kerana hormon stres, kortisol, boleh mengurangkan rembesan hormon estrogen, seterusnya menyukarkan proses untuk suami isteri mendapatkan anak. Tiada stres, kurang kortisol, maka akan meningkatlah kebarangkalian anda untuk mengandung. Agaknya sebab itulah banyak babymoon, ye?
Kurangkan minuman berkafein
Jika anda merupakan peminum kopi tegar, ini adalah perubahan yang sukar buat anda. Walau bagaimanapun, perubahan ini penting untuk memastikan kesihatan bakal ibu dan fetus berada pada tahap optimum ketika fasa kehamilan kelak. Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan minuman berkafein bagi wanita mengandung perlu dihadkan kepada 200 mg sehari. Jika melebihi had yang ditetapkan, anda berisiko untuk mengalami keguguran dan bayi lahir pramatang. Panduan pengambilan kafein sehari oleh wanita mengandung secara objektifnya adalah 1 cawan espresso atau 3 cawan kopi segera atau 4 cawan air teh.
Mereka yang kebiasaannya minum kopi pada kepekatan yang tinggi akan melalui fasa withdrawal. Fasa ini kebiasaannya dapat dikenal pasti pada simptom seperti mudah marah, pening kepala dan sembelit. Jika anda melalui simptom ini, usah risau kerana kebiasaannya ia akan beransur pulih dalam masa seminggu dua. Jika ia berlarutan dan mengganggu kualiti hidup anda, sila berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan fizikal dan rawatan susulan.
Pergilah menonton wayang, teater atau konsert siaran langsung
… jika anda berkemampuan. Ini merupakan salah satu perkara yang hanya boleh dinikmati secara penuh sebelum tempoh kehamilan. Ini kerana apabila wanita mula berbadan dua (atau tiga) frekuensi keinginan mereka untuk membuang air kecil akan meningkat, kesan daripada fetus yang sedang membesar menekan pundi kencing ibu. Pergerakan si ibu akan terbatas dan mereka akan cepat penat jadi jika anda merancang untuk menikmati apa jua persembahan siaran langsung, lakukannya sebelum anda mula mengandung.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI