Tertarik melihat celoteh si manja? Mungkin anda tidak memahami apa yang dibebelkan oleh mereka. Sebagai orang dewasa, siapa yang faham maksud ‘ah goo’, kan?
Namun, di sebalik bebelan itu, mata mereka yang melilau ke sana sini jelas menunjukkan bahawa mereka teruja dengan suasana di persekitaran rumah.
Mungkin mereka bermonolog akan perkara yang akan mereka lakukan selepas pandai bergerak sendiri. Jadi, sebagai ibu bapa, apa yang anda boleh buat untuk membantu si manja anda untuk belajar bergerak dengan lebih cepat?
Aktiviti tummy time boleh dianggap sebagai senaman awal untuk bayi anda. Ia merupakan satu aktiviti di mana bayi akan diletakkan dalam posisi meniarap ketika mereka dalam keadaan terjaga.
Aktiviti ini perlu diawasi oleh ibu bapa memandangkan posisi tersebut boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada si manja. Reaksi bayi berbeza-beza mengikut usia dan keupayaan mereka untuk mengawal pergerakan kepala.
Mungkin ada di antara si manja yang menangis teresak-esak dan ada juga yang membebel sendirian ketika diletakkan dalam posisi tersebut.
Walau apa pun, aktiviti ini mempunyai kebaikannya yang tersendiri seperti:
-Memperkuatkan otot pada bahagian leher dan bahu si manja
-Merangsang perkembangan kemahiran pergerakan kasar (gross motor)
-Mengelakkan terjadinya sindrom kepala rata (flat head syndrome)
-Meningkatkan kekuatan bayi untuk berguling, duduk, merangkak dan berjalan kelak
-Akademi Paediatrik Amerika (AAP) telah menyarankan aktiviti tummy time dibuat sejurus ibu dibenarkan keluar dari hospital. Awal, kan?
Ads
Aktiviti ini boleh dilakukan selama 15 minit sehari dan wajib dipantau oleh ibu bapa. Jika ibu nak ke tandas atau ke dapur, pastikan anda mengubah posisi anak kepada keadaan terlentang terlebih dahulu.
Cara melakukan aktiviti tummy time
-bayi tidur
-Tiada cara khusus yang boleh digunakan sebagai panduan untuk melakukan aktiviti tummy time si manja. Anda perlu ingat bahawa tempoh masa dan teknik anda melakukannya bergantung kepada keadaan bayi anda.
Jika mereka menangis setiap kali anda meletakkan mereka dalam posisi meniarap, bahagikan aktiviti tummy time kepada beberapa sesi.
-Masa yang disarankan untuk anda melakukan aktiviti ini adalah setelah si manja bangun daripada tidur
-Tukar lampin mereka dan pastikan keperluan mereka dipenuhi terlebih dahulu
-Pastikan kawasan yang anda ingin gunakan untuk melakukan aktiviti ini selamat. Bentangkan kain pelapik atau tilam dan letakkan bayi anda di atasnya
-Gunakan permainan bagi menggalakkan si manja anda untuk cuba bergerak
-Jika mereka menangis, lakukan aktiviti tummy time ini dalam tempoh masa pendek.
Apabila mereka sudah biasa, tingkatkan jumlah masa dan sesi aktiviti tersebut
Jika posisi meniarap bagus, bolehkah ibu meletakkan bayi dalam posisi tersebut ketika tidur? TIDAK BOLEH. Ini berikutan tidur meniarap merupakan faktor risiko penting berlakunya sindrom bayi mati mengejut (SIDS). Pastikan bayi anda tidur dalam keadaan terlentang.
Ads
Tempoh masa bagi aktiviti tummy time ini berbeza mengikut usia dan faktor yang lain.
-Sebelum mencecah 1 bulan: 1 hingga 5 minit untuk satu sesi, 2 hingga 3 kali sehari
-1 bulan: 10 minit untuk satu sesi, 2 hingga 3 kali sehari
-2 bulan: 20 minit sehari. Bahagikan kepada beberapa sesi sehingga mencapai saranan tempoh masa
-3 bulan: 30 minit sehari. Bahagikan kepada beberapa sesi sehingga mencapai saranan tempoh masa
-4 bulan: 40 minit sehari. Bahagikan kepada beberapa sesi sehingga mencapai saranan tempoh masa
-5 hingga 6 bulan: Selagi bayi tidak meragam, boleh lakukannya selama 1 jam
Apabila bayi anda mencapai usia 6 bulan, kebiasaannya mereka boleh berguling sendiri kepada posisi meniarap. Walau bagaimanapun, aktiviti tummy time ini masih perlu dipantau oleh ibu bapa.
Walaupun nampak mudah, ia bukanlah satu aktiviti yang boleh dipandang ringan. Dalam keadaan tertentu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti tummy time.
Ads
Bagi ibu yang ingin melakukan aktiviti ini terhadap bayi yang belum mencapai usia 1 bulan, boleh letakkan mereka dalam posisi meniarap di atas riba atau dada anda.
Aktiviti ini bukan sahaja boleh membantu meningkatkan perkembangan si manja malah ia juga boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan bayi. Antara perkara yang boleh anda lakukan sewaktu aktiviti ini adalah:
-Baring di sebelah mereka. Bacakan sesuatu untuk mereka, senyum dan buat muka bagi berinteraksi dengan si manja anda
-Bercakap atau nyanyikan lagu untuk mereka
-Ikut ekspresi muka bayi anda
-Berikan permainan yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna bagi merangsang otak mereka
-Tunjukkan cermin plastik kepada mereka. Biar mereka lihat sendiri rupa mereka yang comel itu
Aktiviti tummy time bukan sahaja dapat membantu menguatkan otot bayi bagi perkembangan pergerakan kasar mereka, ia juga boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan bayi.
Walaupun penulis telah memberikan panduan tempoh masa mengikut usia bayi, anda perlu ingat bahawa setiap bayi adalah unik. Mereka mempunyai reaksi yang tersendiri terhadap aktiviti tummy time.
Jika bayi anda meraung apabila diletakkan dalam posisi meniarap, jangan paksa. Angkat mereka dan tunggu sebentar. Ulang semula apabila mereka berada dalam keadaan baik.
Aktiviti ini dapat memberikan pelbagai kebaikan kesihatan kepada bayi anda. Jika anda tidak pernah mencubanya, lakukannya sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Susah hati dan risau bila bila anak tak nak menyusu? Hidung tersumbat, batuk & cirit birit selalu buat bayi menolak dari menyusu. Elakkan daripada kesilapan, mesti tahu teknik betul supaya bayi boleh menyusu dengan selesa.
Adib sudah dua hari mengalami demam, selesema dan batuk. Tidak mahu menyusu lama dan ada kalanya menolak terus. Keadaan ini amat merisaukan si ibu kerana bimbang Adib kelaparan dan mengalami kekurangan nutrien untuk tumbesaran.
Keadaan ini tentu pernah terjadi kepada si kecil anda pada waktu-waktu tertentu seperti sedang sakit. Selesema, demam, sakit tekak, batuk, cirit birit atau hidung tersumbat kerap kali membuatnya menolak susu ibu.
Menurut, Dr Ezura Madiana Md Monoto, IBCLC dan Pensyarah & Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan UKM apabila bayi sedang sakit, adalah disarankan penyusuan susu ibu diteruskan dan lebih kerap agar bayi boleh cepat sembuh dengan mendapat lebih banyak antibodi daripada susu ibu. Terdapat cara-cara tertentu yang boleh dilakukan supaya bayi boleh menyusu dengan selesa.
HIDUNG TERSUMBAT
Bagi bayi yang mengalami masalah pernafasan seperti hidung tersumbat dan menolak penyusuan, ibu disarankan untuk menyusukan dalam keadaan bayi menegak atau upright position.
Bahagian kepala bayi juga dicadangkan dalam kedudukan yang lebih tinggi daripada biasa ketika menyusu atau keadaan semi-upright position agar dapat mengurangkan simptom hidung tersumbat yang dialami. Kedudukan menyusu “biological nurturing” di mana ibu berbaring dalam keadaan kepala ibu di kedudukan 45 darjah dan meletakkan bayi di atas dada ibu untuk menyusu turut dapat mengurangkan kesukaran bayi menyusu akibat hidung tersumbat.
BATUK, SAKIT TEKAK DAN JANGKITAN PADA TELINGA
Keadaan batuk, sakit tekak dan jangkitan akan menyebabkan bayi merasa tidak selesa dan sakit di bahagian tersebut, secara tidak langsung bayi akan menolak untuk menyusu secara terus dari payudara ibu.
Ada kalanya bayi akan menyusu dalam tempoh yang singkat dan mungkin kerap. Penolakan ni selalunya hanya bersifat sementara sehingga bayi sembuh. Ibu boleh memperbanyakkan sentuhan kulit ke kulit dan berikan perhatian yang lebih kepada bayi semasa tempoh ini.
Minimumkan pakaian baju ke atas bayi,cukup sekadar lampin dan anda pula boleh mengurangkan pemakaian coli bagi menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dan memudahkan bayi kepada akses terus kepada payudara untuk menyusu. Alternatif lain, ibu boleh memberikan susu ibu yang diperah.
CIRIT BIRIT DAN MUNTAH
Bagi bayi yang diserang acute gastroenteritis atau radang usus yang menyebabkan simptom muntah dan cirit-birit, penyusuan susu ibu perlu diteruskan. Hal ini kerana ia dapat menenangkan bayi yang sedang sakit dan paling mustahak, susu ibu yang mengandungi banyak antibodi berupaya mempercepatkan proses penyembuhan bayi.
Penyusuan perlu diteruskan untuk mengurangkan kadar dehidrasi dalam badan bayi akibat kekurangan air dalam badan disebabkan muntah dan cirit-birit. Di samping itu, susu ibu amat mudah dihadamkan. Walaupun bayi muntah atau cirit-birit sejurus selepas menyusu, masih terdapat kandungan nutrien yang dapat diserap oleh badan si kecil. Namun, sekiranya terdapat tanda-tanda dehidrasi atau bayi langsung tidak dapat menyusu, dapatkan pemeriksaan perubatan lanjut dengan segera.
ANAK SAKIT,MAMA PERLU PERAH
Bagi sesetengah bayi, menyusu secara terus daripada payudara menjadi lebih sukar pada waktu sedang sakit. Hal ini kerana penyusuan terus daripada payudara memerlukan lebih banyak tenaga dan pergerakan mulut yang lebih banyak berbanding diberi susu perahan melalui kaedah lain seperti penggunaan cawan kecil, picagari ataupun Supplemental Nursing System (SNS).
Justeru, ibu bolehlah memberikan susu ibu perahan untuk sementara waktu. Selalunya bayi akan kembali menyusu secara terus daripada payudara apabila dia berasa sihat semula. Penggunaan botol susu perlu dielakkan bagi mengelakkan bayi keliru puting.
MACAM MANA MAMA NAK HADAPI SUSU DROP MASA ANAK SAKIT
Susu ibu kerap kali akan mengalami kemerosotan apabila bayi kurang menyusu dan keadaan diri ibu yang penat menjaga anak yang sakit. Ketika bayi jatuh sakit, ibu tentunya merasa risau dan stres dan mungkin juga tidak mendapat tidur yang mencukupi. Faktor ini boleh menyebabkan susu ibu boleh berkurangan. Ditambah pula jika bayi kurang menyusu atau tidak mahu menyusu secara terus dari payudara ibu. Maka, ibu perlu mengelakkan diri daripada stres.
Cuba tenangkan diri dengan memasang muzik yang mendamaikan ataupun mengalunkan zikrullah yang menenangkan, meletakkan bau-bauan aromaterapi, meminum minuman hangat kegemaran ibu sebelum menyusukan atau memerah susu. Langkah ini boleh merangsang penghasilan dan pengeluaran susu ibu. Secara tidak langsung, ia akan menenangkan bayi yang meragam dan mendorongnya untuk menyusu secara terus dengan ibu.
Sebaik-baiknya ibu cuba untuk meneruskan penyusuan secara terus dan memerah susu sekiranya bayi tidak menyusu dengan kerap seperti sebelumnya. Ini akan mengelakkan masalah seperti bengkak payudara atau saluran susu tersumbat daripada berlaku, selain daripada memastikan penghasilan susu yang konsisten. Apabila bayi kembali menyusu dengan anda, tiada masalah kekurangan susu akan berlaku.
5 SEBAB PENYUSUAN PERLU DITERUSKAN KETIKA BAYI SAKIT?
Susu ibu dijamin kebersihan dan steril
Susu ibu mengandungi antibodi yang tinggi yang dapat mempercepatkan proses penyembuhan bayi
Susu ibu mudah dihadamkan dan tidak menyebabkan alergi
Susu ibu memberikan nutrien, vitamin, mineral dan keperluan air yang cukup untuk bayi kekal hidrat
Penyusuan susu ibu merupakan satu kaedah terapi pemulihan yang dapat memberikan pemulihan fizikal dan emosi bayi yang sedang sakit
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mujur ibu adik Insyirah cepat sedar dan bertindak menyelamatkan anaknya daripada dibawa oleh seorang wanita yang tidak dikenalinya di sebuah surau baru-baru ini.
Pernah tak anda alami situasi semasa di surau atau tempat awam iaitu orang yang tidak dikenali datang memuji anak anda comel, pandai mengagah anak dan berbual-bual dengan anak dengan ramah. Tidak mahu prasangka buruk, namun hakikatnya kadang-kala perlu
Begitulah situasi yang dialami oleh Puan Rohasliza Abu Bakar yang bertukar menjadi igauan mendebarkan buat dirinya apabila seorang wanita yang tidak dikenali dalam cubaan membawa anaknya ke tempat lain.
Namun mujur tindakan pantas ibu ini, menyelamatkan keadaan. Walau apapun niat wanita yang tidak dikenali itu, apa yang penting perkongsian ini diharap menjadi ikhtibar buat ibu ayah supaya lebih berhati-hati dengan persekitaran luar yang tidak diduga dan diluar jangkaan kita. Ikuti perkongsian ibu ini melalui laman sosialnya dua hari lepas.
Detik cemas dua hari yang lalu.. Selepas ini harus lebih peka dan berhati2.. Kisah berlaku di Aeon Shah Alam..
Selepas meraikan abg Sheman grade di Uitm Shah Alam, Umi & baby Insyirah ke Aeon sementara menunggu ayah habis kerja jam 5.30 ptg.. Kami dihantar oleh Maklong Rokiah Abu Bakar sekeluarga dlm jam 2.30 ptg..
Setelah Mak Long beredar umi bawa Insyirah masuk ke Aeon. Melihat jam baru 2.40 petang umi singgah ke level 2 Aeon dulu untuk habiskan voucher Jusco . Setelah selesai dalam jam 3 Umi & baby masok ke surau..
Kisah berlaku di surau. Sampai di surau, Umi susukan dia . Alhamdulilah dia tidur . Umi cepat-cepat bangun untuk solat. Elok habis solat dia jaga. Syukur dah selesai. Tetiba Insyirah membuang pulak.
Umi nak tukar pampers tengok habis semua seluar dia kena. Umi ambil keputusan mandi kan je la dia terus. Tengah-tengah nak membasuh tiba-tiba ada hamba Allah ni datang terus ambil Insyirah dari tangan umi. Dan kata meh saya tolong bawa dia. Umi terpana sekejap. Ehh kenapa dia ambil sebab umi nak mandikan dia. Terus umi ambil semula Insyirah dari tangan dia tetap mata umi memang terus pandang terus mata dia masa tu. Umi cakap, saya nak mandikan dia.
Setelah selesai bersihkan dan mandikan, terus bawa ke satu sudut untuk siapkan dia. Hamba Allah ni ikut ke situ. Siap bual-bual dan tanya macam-macam. Umi layan jer la sebab nampak macam orang yang berminat dengan budak. Insyirah pulak ramah melayan dia dengan senyum sengihnya dan borak-borak.
selepas dah siap, umi minta dia tunggu Insyirah kejap umi nak letak barang-barang Insyirah dalam beg dekat stroller sebelah dengan sudut umi siapkan Insyirah. Tengah letak barang hamba Allah ni dukung anak umi nak bawa keluar. Nyaris Allah tak lekakan umi masa letak brg. Umi tengok dia nak pakai kasut bawa Insyirah.. Umi tanya dia, ehhh nak bawa ke mana tuuu.. Dia kata nak bawa tunjuk kawan sekerja dia. Aduhaii boleh pulak dia nak bawa pergi jumpa kawan dia. Umi terus rampas Insyirah dari tangan dia.. Tapi waktu tu umi tak fikir apa-apa pun. Umi ambil dan terus masuk ruang solat tempat umi & Insyirah duduk sebelum tu sebab barang kami ada disitu. Tapi badan umi rasa menggigil tak tahu kenapa.
Bila dah balik rumah. Tengah susukan Insyirah dan tido kannya. Tiba-tiba teringat balik kejadian tadi. Masa ni baru umi macam tersedar.. Apa niat hamba Allah tadi nak bawa anak umi keluar dari surau tu.
Bayangkan jika umi tak sempat halang macam mana umi nak kejar dengan keadaan pakai scaft jer sebab nak tunggu solat asar sekali. Baru umi macam tersedar dan istighfar. YaAllah Engkau lindungi anakku. Jika tak mungkin umi kehilangan anak umi ni.
Sangat-sangat memberi pengajaran supaya jangan percaya sangat orang dan jangan nak ramah-ramah sangat dengan orang yang kita tak kenal. Semoga Allah SWT sentiasa lindungi kita semua di mana-mana sahaja kita berada. Sujud Syukur atas kejadian yg berlaku. Allah nak kita supaya lebih berhati-hati.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semua ibu tidak mahu susu tidak merosot selepas cuti bersalin. Menjadi impian setiap ibu berkerjaya yang menyusukan bayi untuk mempunyai pengeluaran susu yang stabil walau pun sudah mula bekerja semula.
“Puas sudah Anis memerah tetapi penghasilan susunya semakin sedikit. Stok susu ibu perahan menyusut ekoran pengumpulan susu di pejabat yang semakin sedikit. Dahulu boleh mengumpul 20oz sehari, kini hanya mampu mengumpul 10oz atau kurang. Anis cukup risau jika perkara ini berlarutan kerana tempoh penyusuan eksklusif kepada bayinya masih panjang.”
Mungkin ada yang mengalami situasi yang dialami Anis. Menurut kaunselor laktasi, Faliyana Muda, kebanyakan ibu mengalami masalah untuk memerah payu dara setiap tiga hingga empat jam sekali apabila mula bekerja. Ia lazimnya dialami selepas cuti bersalin kerana tuntutan tugas dan kekangan masa. Hal ini dan beberapa faktor lain berkemungkinan besar menjadi penyebab penghasilan susu oleh payudara menjadi perlahan dan sedikit.
Menyedari risiko penghasilan susu yang bakal menjunam selepas kembali bekerja ibu-ibu yang menyusukan perlu lebih kreatif dalam menangani isu ini menggunakan pelbagai kaedah.
MIND SET
Elakkan daripada merasa perlunya tempat spesifik untuk memerah.
KEMUDAHAN
Gunakan kemudahan yang ada seperti nursing cover yang boleh menutup bahagian dada ketika memerah. Maka sesi memerah tidak dirasakan sesuatu yang membebankan ibu-ibu kerana boleh memerah di mana sahaja.
ALAT BANTU
Menggunakan peralatan bantuan memerah seperti Freemie iaitu alat untuk menakung susu ibu yang boleh digunakan dengan mana-mana pam yang mempunyai tubing. Dengan adanya alat ini dan pam payudara yang boleh dicas, proses memerah masih boleh dilaksanakan dengan bebas tangan semasa ibu bekerja.
Kebanyakan ibu mengalami masalah untuk memerah payudara setiap tiga hingga empat jam sekali apabila mula bekerja kerana kekangan masa & tugas.
ELAK EMOSI CEMAS
Emosi cemas dan tertekan perlu dijauhi sebaliknya cari jalan penyelesaian dengan tenang. Misalnya sekiranya tidak boleh memerah kerana suntuk masa atau perlu berkursus, cuba cari jalan untuk melakukannya dengan cara lain. Misalnya memerah semasa berkursus tanpa perlu ke surau dengan cara memakai nursing cover, jaket atau menutupnya dengan tudung.
STIMULASI PAYUDARA
Lakukan stimulasi pada payudara. Perlu difahami penghasilan susu bergantung kepada supply and demand. Permintaan tinggi akan menyebabkan penawaran (penghasilan susu) meningkat. Cara untuk mengelakkan penghasilan susu ibu merudum ialah dengan sentiasa memberi stimulasi payu dara sama ada dengan menyusu secara terus ataupun memerah.
PERAH TIGA JAM SEKALI
Wujudkan sesi memerah yang konsisten setiap tiga jam sekali dan jangan hanya memerah apabila merasa payudara sudah penuh. Sesi perahan yang dilakukan bukan semata-mata untuk mendapatkan susu ibu perahan tetapi adalah satu cara memberi signal kepada otak supaya menghasilkan lebih banyak susu.
Proses untuk menghasilkan susu baru tidak akan nampak dalam jangka masa singkat. Perlu diketahui, sekiranya hari ini ibu menambah sesi perahan, peningkatan penghasilan susu tidak akan dapat dilihat keesokannya. Ia akan mengambil masa seminggu atau dua minggu bergantung kepada individu.
SOKONGAN
Dapatkan sokongan daripada orang terdekat seperti suami, ibu bapa, rakan-rakan, adik beradik, pengasuh dan majikan. Beri penjelasan dan penerangan kepada orang di sekeliling supaya mereka memahami dan menyokong amalan penyusuan susu ibu yang sedang anda lakukan.
FIKIRKAN SESUATU YANG INDAH
Fikirkan yang indah dan keseronokan semasa memerah. Tinggalkan segala masalah buat seketika. Relaks dan perahlah payu dara dengan gembira. Tatap gambar dan video bayi anda semasa memerah bagi membantu hormon oksitosin iaitu hormon kegembiraan yang membantu penghasilan maka susu bertambah. Elakkan stres kerana ia boleh menyebabkan penghasilan susu merosot.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.