Baby Januari! Tarikh 22/01/2022 jadi memori berharga buat penyanyi, pengacara dan penyampai radio, Hunny Madu apabila selamat melahirkan cahaya mata ketiganya.
Berkongsi perasaannya selepas melahirkan bayi ketiganya itu, Hunny yang nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 37, akui dia sedang berusaha untuk menyesuaikan diri apabila kembali bergelar ibu yang ada anak kecil.
“Selama 7 hari selepas lahirkan bayi saya tak berkongsi sebarang perkembangan dan sepanjang tempoh itulah saya sedang cuba menyesuaikan diri dengan kehadiran ahli baru dalam rumah kami.
“Saya sedang belajar semula segalanya dan mengambil tahu tentang banyak perkara termasuk perasaan dia (bayi) dan keperluannya.
“Macam manalah saya boleh lupa untuk menjadi seorang ibu pada anak kecil ini? Rasa-rasanya ada informasi yang tercicir apabila kita tidak mempraktikkannya,” kongsi Hunny di Instagramnya.
Tambah Hunny, dia kini baru mempunyai sedikit ruang waktu untuk kembali ke media sosial selepas menjalani rawatan berurut dua hari lalu.
Hari ini barulah boleh kembali segar selepas dua malam alami pembengkakan, akhirya tukang urut datang untuk meredakan masalah saya.
“Mia Celine kini dah lebih seminggu dilahirkan, dan setiap kali saya memandangnya, setiap kali itulah saya jatuh cinta,” tulisnya.
Dalam perkongsian di instagram itu, Hunny turut berkongsi momen suaminya menemani sepanjang proses bersalin, keterujaan kakak dan abang menyambut kepulangan adik mereka.
Kelahiran Mia Celine ini adalah anak pertama Hunny dengan suami keduanya, Fedrighi Francesco pada 2 Mei 2020.
Sebelum ini Hunny pernah mendirikan rumah tangga bersama Khairul Azhar Abdul Wahid pada 2010 dikurniakan dua cahaya mata, Eva Media, 10 dan Adam Muda, 5. Mereka berpisah pada Oktober 2018.
Kredit: Instagram Hunny Madu
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)