Sekiranya anda memperuntukkan setiap bulan, RM50 bagi seorang anak sebagai simpanan dalam produk kewangan yang memberikan pulangan 6% setahun, pada umur anak 18 tahun nanti, jumlah simpanan itu berkemungkinan boleh menjadi RM19,656.
Namun, cukupkah ia untuk menjadi belanja biaya pengajiannya kelak? Sebagai ibu bapa, anda perlu mengajar anak menyimpan untuk kebaikan dirinya sendiri di masa depan. Anda perlu memupuk budaya menyimpan kepadanya seawal mungkin.
Ini langkah awal yang perlu diri anda mulakan terlebih dahulu sejak daripada bulan-bulan awal kelahiran dan diteruskan oleh anak itu dengan menyimpan secara berdikit-dikit.
1. Buka akaun simpanan khase
Beberapa bulan selepas anak lahir, bukalah akaun simpanan yang khusus seperti akaun Tabung Haji, unit amanah, akaun bank dan apa-apa medium simpanan yang seumpama dengannya.
2. Tetapkan jumlah simpanan
Setiap bulan, simpan duit secara konsisten walaupun sedikit. Dengan hanya simpan RM50 sebulan, selama 18 tahun dalam akaun yang memberikan pulangan konsisten 6% setahun, anak anda boleh mendapat jumlah simpanan hampir RM 20,000!
Jadi, adalah lebih baik tetapkan jumlah simpanan setiap bulan. Jika jumlahnya lebih besar sudah pasti jumlah simpanan nanti akan jadi lebih banyak.
Pada awalnya, anda sendiri yang perlu keluarkan wang daripada poket sendiri dan terus masuk ke dalam akaun simpanan anak. Namun, apabila anak sudah ada tabung sendiri, minta dia berikan wang simpanan itu untuk anda kira bersama-samanya dan terus simpan di dalam akaun.
Jika jumlah tabungan itu kurang daripada apa yang telah ditetapkan setiap bulan, anda perlu bantu menambah jumlah wang agar ia cukup dengan nilai simpanan tetap.
3. Maklumkan kepada anak
Mulakan tabiat menyimpan ini seawal mungkin. Sebaik-baiknya apabila anak sudah pandai mengira dengan baik.
Apabila anak sudah mencapai usia remaja, terangkan tentang simpanan tersebut. Beritahu matlamat simpanan tersebut dan nyatakan tempoh waktu yang sesuai untuk dia menguruskan sendiri duit tersebut.
Sebagai ibu bapa, anda hanya memegang amanah. Duit simpanan yang ada itu adalah milik si anak.
Jika anda menunjukkan budaya menyimpan daripada awal kepada anak, itu bererti anda telah mempersiapkan dirinya dengan persekitaran kewangan yang lebih baik.
Sumber: Suzardi Maulan