Cahaya mata merupakan penyeri hidup, setiap yang berkahwin pasti inginkan cahaya mata. Penantian selama 8 tahun sepasang suami isteri untuk mendapatkan anak sebagai penyeri rumahtangga akhirnya menjadi reality dengan kelahiran cahaya mata pertama melalui kaedah persenyawaan In-Vitro (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Lebih menggembirakan, pasangan itu bukan mendapat seorang anak sebaliknya dikurniakan sepasang bayi kembar lelaki dan perempuan comel yang dilahirkan selang seminit pada jam 11.28 pagi dan 11.29 pagi secara pembedahan.

PELBAGAI IKHTIAR

Puan Norfidiamil sangat bersyukur dengan kehadiran anak itu setelah pelbagai usaha dilakukan beliau bersama suami, En. Zairil Anuar bagi mendapatkan zuriat.

“Selepas berkahwin, kami merancang untuk segera dapat anak tapi saya tinggal berjauhan dari suami. Masuk tahun kedua barulah kami dapat tinggal sekali namun saya masih tidak mengandung walaupun pelbagai cara dilakukan sama ada tradisional mahupun moden”

RAWATAN IUI & IVF

Beliau bersama suami tidak putus berikhtiar dan sanggup berhabis kira-kira RM20,000 sebagai usaha mendapatkan anak.

Akhirnya, pasangan itu mengambil keputusan mendapatkan rawatan kesuburan di HSNZ pada tahun 2014 dan doktor menyarankan mereka menjalani kaedah permanian beradas (IUI).

“Kami buat IUI sebanyak empat kali tapi masih tiada rezeki apabila kesemuanya gagal. Selepas itu doktor saran buat IVF pula bermula tahun 2016 dan kali ketiga barulah saya disahkan mengandung iaitu pada Mei tahun lepas.”

KANDUNGAN DISAHKAN KEMBAR

Pasangan suami isteri itu kemudian mendapat khabar gembira kedua apabila bayi yang dikandung Puan Norfidiamil disahkan kembar dan dia berusaha menjaga kandungan sebaik mungkin termasuk makan makanan yang berkhasiat, elakkan fikiran negative dan mempertingkatkan hubungan dengan Allah SWT

“Terima kasih atas doa ibu bapa dan keluarga kami. Insay-ALLAH saya berhasrat untuk mengandung lagi selepas tiga tahun kerana embrio yang diambil masih ada”

Sumber: Sinar Harian

Tinggalkan Komen