Lapar Minta Susu, Dah Kenyang Susu Tak Nak Makan. Ibu Ayah Jangan Biar!

Share

Situasi yang sering berlaku. Apabila anak lapar minta dibancuhkan susu. Namun apabila diberikan susu & kenyang susu makanan tidak dijamah/tidak berminat pula. Ibu ayah jangan biarkan situasi ini berlarutan, tidak elok untuk perkembangannya.

Dr Aimi Jaafar berkongsi mengenai kebiasaan yang berlaku di mana kanak-kanak 2 tahun ke atas. Hal ini jika dibiarkan berlarutan akan memberikan kesan negatif kepada tumbesarannya kerana pemakanan tidak seimbang.

Dr Aimi juga turut mencadangkan lapan cara yang boleh dilakukan untuk membantu si kecil beradaptasi dengan makanan dan susu. Beliau mencadangkan anak berusia 2 tahun beralih kepada susu segar / penuh krim / susu tanpa gula.

“ANAK TAKNAK MAKAN, NAK MINUM SUSU SAJA”

Ciri-ciri anak (lebih 2 tahun) minum susu terlalu banyak (kebiasaannya)
1. Minum susu lebih 3 botol sehari untuk anak lebih 2 tahun. Kalau dah 3, 4 tahun tu lagi lah kena kurang susunya. Paling pun 1 -2 botol sehari.
2. Bila lapar minta susu, dah kenyang susu, taknak makan.
3. Selalu berhingus / batuk berkahak.
4. Terlalu memilih makanan, hujung-hujungnya kena kasi susu juga.
5. Sembelit.
6. Kulit yang kering dan gatal.

TIP & CARA TANGANI

#1. Berikan kata dua pada anak. Makan dulu baru susu. Selagi tak makan, tak ada susu.

#2. Ibu bapa harus sepakat dan hati kental. Jangan ada yang mengalah bila tengok anak menangis dan protes enggan makan.

#3. Bila anak dah rasa sendiri yang dia lapar kalau tak makan, dan susu tak ada sebagai pengganti makanan, anak akan belajar untuk makan.

#4. Berikan 2 menu makanan, dan berikan anak kuasa untuk memilih. Contohnya, “Abang nak makan nasi ayam atau bihun sup malam ni?”. Jangan tanya terlalu umum seperti “Abang nak makan apa malam ni?”, nanti dia jawab nak aiskrim pula hehehe.

#5. Pilih susu segar / penuh krim / susu tanpa gula. Anak tak perlukan lagi susu formula setelah 2 tahun ke atas. Nutrisi akan diperoleh dari pemakanan yang sihat.

#6. Ajar anak minum susu dalam cawan. Kalau anak bergantung pada botol untuk tidur, berikan hanya untuk tidur. Boleh kurangkan jumlah sedikit demi sedikit.

#7. Berikan masa yang spesifik di mana anak seharusnya berhenti botol. Contohnya dari awal harus katakan pada anak “Abang bila dah masuk 3 tahun, tak perlu susu botol dah. Abang dah besar, boleh minum dari cawan saja macam ibu”. Selalu ingatkan, sampailah pada hari tersebut, harus terus berhenti.

Beli lah cawan dengan design paling disukainya sebagai motivasi. Kalau anak belum bersedia, boleh anjakkan tapi berikan syarat seperti kurangkan jumlah / jarakkan selang sehari. Sehingga anak boleh terima dan rasakan sebenarnya botol itu tak penting.

#8. Tapi jangan la pula gantikan susu dengan makanan instant seperti roti, biskut dan jajan. Lagi kurang nutrisi anak nanti. Kalau susah nak sediakan makanan khas untuk anak, berikan apa yang kita makan.

Biasanya anak-anak akan lebih cepat lapar berbanding kita yang dewasa, sentiasa sediakan makanan sihat / buah-buahan untuk dikunyah.

PEMAKANAN SIHAT PENTING BAGI KANAK-KANAK

Rasanya sudah banyak info mengenai susu. Yang penting ibu bapa harus ingat, kita nak besarkan anak-anak jadi pemakan makanan sihat, dan seterusnya jadi manusia yang sihat. Bukan peminum susu sehingga besar, dengan masalah kesihatan yang berulang-ulang.

Targetlah setelah 2 tahun, berhenti susu. Kalau masih perlukan susu atas sebab-sebab tertentu, pastikan MAKANAN SIHAT DIDAHULUKAN.

Setuju ke tak?

Sumber: Aimi Jaafar

Artikel berkaitan: Buntu Anak Picky Eater? 6 Cara Ini Buat Anak Seronok Nak Makan Tanpa Perlu Di Paksa!


Published by
Azma ML