Kesan atau lapisan putih pada lidah bayi kerap kali timbul. Adakah ia berbahaya? Bimbang kalau ia boleh menyakitkan bayi!
BAYI MENYUSU SUSU IBU & FORMULA BOLEH ALAMINYA
Kerap kali mama dan papa mendapati kesan ini pada lidah bayi. Ia tidak hanya terjadi kepada bayi yang menyusukan susu formula, malah bayi yang lima bulan dan menyusu susu ibu sepenuhnya juga boleh mengalaminya.
KULAT SUSU
Ramai ibu yang mendapati lapisan putih ini walau pun kerap dibersihkannya dengan kain lembap tetap berulang lagi dalam masa yang singkat. Kesan atau lapisan putih itu dinamakan sebagai oral thrush atau oral candidiasis yang lebih sering dikenali sebagai kulat susu. Ia nya adalah sejenis kulat yang tumbuh pada kesan susu yang mendap di mulut bayi.
Bayi mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan kerana daya ketahanan tubuh yang lemah dan masih berkembang. Bayi yang lahir pramatang (kurang daripada 37 minggu kehamilan) lebih berisiko untuk mengalaminya.
BERSIHKAN SETIAP KALI MANDI
Mama dan papa disarankan untuk mengamalkan untuk membersihkan bahagian dalam mulut bayi setiap kali bayi mandi. Kadangkala kulat susu ini boleh membuat bayi tidak selesa pada bahagian dalam mulut yang boleh mengakibatkan bayi kurang menyusu.
STERIL
Anda dinasihatkan untuk kerap membersihkan dan mensterilkan/ menyahkuman permainan bayi atau teether, botol susu, puting, botol minuman, sippy cup dan segala kelengkapan makan minum bayi. Selain itu, pastikan mama papa dan penjaga mengamalkan membasuh tangan setiap kali selepas menukar lampin bayi.
RISIKO KEPADA IBU MENYUSU
Jika bayi anda mengalami jangkitan kulat susu ini, anda berisiko untuk dijangkiti. Bagi ibu menyusu, ia dinamakan nipple thrush. Antara simptom nipple thrush ialah rekahan atau kesan berkeping pada puting diikuti rasa sakit pada aerola. Malah puting dan aerola juga boleh bertukar warna.
DAPATKAN RAWATAN
Kulat susu apabila terjadi tidak mudah dibersihkan dan mungkin boleh menyebabkan bayi mengalami kesakitan. Mama papa disarankan membawa bayi untuk mendapatkan rawatan sekiranya ia berlarutan. Terdapat ubat yang boleh diberikan oleh doktor untuk tujuan menyembuhkan bahagian dalam mulut dari kulat susu ini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI