Kekeluargaan

Lawat Kubur Suami Ditemani Kucing Putih, “Waktu Saya Baca Doa, Uteh Pasti Duduk Di Tepi”

Share

Lawat kubur suami ditemani kucing putih, “Waktu saya baca doa, Uteh pasti duduk di tep.” Kucing adalah antara haiwan peliharaan yang paling popular di seluruh dunia. Dengan kecomelan rupa paras, perangai yang manja, dan personaliti yang unik, kucing telah mencuri hati ramai pencinta haiwan.

Lawat Kubur Suami Ditemani Kucing Putih

Bagi Norhamimah, wanita berusia 46 tahun ini, memiliki seekor kucing berwarna putih yang diberi nama Uteh bukan hanya menceriakan hidup malah menjadi peneman setia setiap kali Norhamimah Khalid ke tanah perkuburan.

Menurut Norhamimah, Uteh mula manja dengannya sejak kerap menziarahi pusara Allahyarham suaminya, Azharuddin Said yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung.

IBU LIMA ANAK ITU BERKATA, UTEH ASALNYA KUCING BUANGAN YANG TIDAK TERURUS NAMUN MENJADI GEBU SELEPAS NORHAMIMAH MEMBERI MAKAN SERTA MENYEDIAKAN TEMPAT TIDUR BUAT HAIWAN ITU DEKAT PONDOK DI LUAR TANAH PERKUBURAN.

“Saya jumpa Uteh beberapa bulan selepas suami meninggal dunia dan ia nampak kurus, selain badan berkurap.

“Disebabkan kasihan dan sayangkan kucing, saya mandikan Uteh dan memberinya makan serta minum hingga jadi comel seperti sekarang.

“Waktu Saya Baca Doa, Uteh Pasti Duduk Di Tepi”

“Saya sediakan juga kotak dekat pondok untuk Uteh tidur dan setiap kali datang, Uteh akan sambut saya kemudian saya berinya makan.

“Waktu saya baca doa, Uteh pasti duduk di tepi saya sebagai peneman seolah-olah tak nak saya sedih,” katanya.

Norhamimah berkata, sejak pemergian suaminya pada 15 November 2022, hampir setiap hari dia akan ke tanah perkuburan untuk menziarah pusara.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak membawa Uteh pulang ke rumah kerana haiwan itu dilihat lebih selesa tinggal di situ.

“Saya memang sayang Uteh namun biarkannya hidup bebas kerana nampak Uteh sihat di situ (sekitar tanah perkuburan).

“Ikutkan saya tak risau sangat dengannya cuma pernah tak keruan selepas ke tanah perkuburan baru-baru ini dan tak nampak kelibatnya.

“Lima hari juga Uteh hilang… cari pun tak jumpa sampai saya nekad cari dengan muat naik hantaran dalam kumpulan WhatsApp kawasan perumahan.

“Tapi saya lega kerana tak lama selepas itu, Uteh muncul semula,” katanya.

Norhamimah berkata, sejak berkongsi kisah Uteh di TikTok, ada yang menghantar kiriman mesej kepadanya dan menyatakan hasrat memelihara kucing kesayangannya itu.

“Mulanya nak bagi kemudian tak jadi lepaskan kerana berat hati.

“Jika Uteh tiada nanti, sunyilah saya kerana tiada peneman bila menziarahi kubur suami.

“Lagipun, Uteh mengingatkan saya dengan suami yang sayangkan kucing dan gemar membawa balik haiwan itu ke rumah,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Baca artikel lain juga: Baby Kucing Malaysia Raih Gelaran Juara Dunia!

Angkut 100 Ekor Kucing Kesayangan Berpindah Sewa Lori Khas, Baiknya Hati Owner!

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my

 

 

 

Published by
Has